Pages

Saturday, September 12, 2009

Baju

Salam ramadan rakan-rakan.

  1. Ramai saudara dan rakan-rakan saya tertanya tentang cara saya mencuci dan menjemur pakaian di Edmonton. Malah ada antara individu terbabit yang membuat telahan nakal bahawabaju saya dikeringkan melalui proses pembekuan.
  2. Malahan ada yang kehairanan apabila memikirkan kain di jemuran boleh kering pada suhu - 15 darjah celcius. Pada pandangan mereka suhu yang tinggi amat diperlukan dalam proses pengeringan. Jawapan ini betul tetapi kurang tepat kerana keadaan yang panas dan kering yang amat membantu proses pengeringan. Walaupun Edmonton mempunyai suhu yang amat rendah tetapi kelembapan udara adalah amat rendah sekali.
  3. Jawapannya, saya tidak pernah menjemur pakaian di ampaian sepanjang saya berada di bumi Edmonton. Sebaliknya, pakaian yang telah dibasuh hanya dimasukkan ke dalam mesin pengering (dryer). Jika di Malaysia, mesin ini hanya terdapat di kedai-kedai dobi tetapi mesin ini merupakan satu kemestian bagi setiap rumah di Kanada.
  4. Mesin ini tidak sesuai digunakan di Malaysia kerana negara kita menerima cahaya matahari yang panjang untuk sepanjang tahun. Berbeza di Edmonton, waktu siang amat pendek ketika musim sejuk. Tambahan pula, suhu amat sejuk agak menyukarkan penduduk Edmonton untuk memegang kain yang basah. Jadi, mesin pengering merupakan alternatif terbaik untuk mengeringkan pakaian di Edmonton.
  5. Walaupun Malaysia menerima cahaya matahari sepanjang tahun, saya percaya mesin pengering juga akan menjadi satu keperluan bagi setiap rumah pada masa depan kerana kemudahan yang ditawarkan oleh mesin ini.
  6. Walaubagaimanapun, saya kurang senang dengan kain yang dikeringkan menggunakan mesin kerana pakaian menjadi terlalu kering hingga mudah reput.
  7. Di bawah ini saya kongsikan bersama beberapa gambar bersama rakan-rakan.

Bilik dobi "HUB Mall"

Bahagian dalam bilik dobi

Mesin basuh


Mesin pengering

Baju yang selesai dikeringkan


p/s: Semalam saya terlepas berbuka puasa kerana tertidur disebabkan demam panas
p/p/s: Orang Malaysia gemar menggunakan perkataan basuh baju daripada menggunakan basuh pakaian mahupun basuh seluar.

Thursday, May 28, 2009

Bagai Harimau tanpa gigi dan kuku

Salam rakan-rakan,

Selepas ayat salam di atas, semestinya rakan-rakan akan menjangka ayat "kebiasaan" saya iaitu permohonan maaf kerana tidak "mengemaskini" blog ini sekerap seperti yang dijanjikan. Alasannya tidak perlu saya terangkan dengan lebih lanjut kerana rakan-rakan pasti sedar akan status saya sebagai pelajar sepenuh masa.



  • Saya amat terkejut apabila membaca akhbar tentang nasib 3 orang peminjam "Along" yang dilayan lebih teruk daripada binatang. Anjing pun tidak dirantai sepanjang masa dengan rantai yang sebesar itu. Bagi sesiapa yang kurang peka dengan istilah "Along", ia bermaksud golongan pemberi hutang yang tidak mempunyai lesen. Golongan ini amat mudah memberi pinjaman kepada mana-mana pihak tetapi mereka juga tanpa segan silu akan menggunakan kekerasan bagi mendapatkan hutang bersama dengan bunga yang amat tinggi.


Sumber Berita Harian

  • Sebagai pembaca dan juga rakyat Malaysia, terlintas beberapa soalan di kotak minda saya ketika membaca berita yang menyedihkan ini. Ini bukannya kejadian pertama membabitkan kerakusan golongan yang tidak menghormati undang-undang negara.
  • Sebelum ini kita pernah disajikan dengan pelbagai berita yang terpampang di dada akhbar-akbar perdana mengenai "Along". Mereka ini bertindak seolah-olah nyawa insan yang meminjam wang daripada mereka terletak sepenuhnya dalam tangan mereka.Penjenayah ini seolah-olah berpijak di bumi yang tiada undang-undang.
  • Sesetengah pihak mungkin akan menuding jari kepada golongan peminjam kerana kealpaan mereka meminjam daripada "along" yang akhirnya menjerumuskan diri dan keluarga ke arah kemusnahan. Memang benar ada sebahagian peminjam ini membuat pinjaman setelah kalah berjudi tetapi adakah semua peminjam sanggup menjerat diri hanya kerana judi? Sudah tentu jawapannya tidak. Amat mudah untuk kita menyalahkan orang lain lebih-lebih lagi apabila perkara sebegitu tidak menimpa diri kita.
  • Kos hidup pada masa kini merupakan salah satu penyebab yang menekan sang peminjam untuk berkasih sayang dengan along. Persoalannya, sanggupkah seorang ibu atau ayah melihat anaknya kebuluran kerana tiada bekalan makanan yang mencukupi? Sanggupkah insan yang bergelar ibu/bapa ini melihat anak mereka tidak bersekolah dek kerana kemiskinan yang menghimpit hidup. Sesetengah daripada kita mungkin mudah berkata kata kerana kita dilahirkan dalam keluarga yang bahagia dengan segalanya serba lengkap. Namun begitu, sedarlah tidak semua orang mempunyai nasib yang sama seperti kita.
  • Seperkara lagi, saya agak tertarik dengan beberapa pendapat beberapa insan yang menyalahkan golongan peminjam kerana malas berusaha demi mencari rezeki. Memang benar yang rezeki Allah itu ada di mana-mana sahaja.Tetapi sedarkah kita apakah jenis pekerjaan yang mampu dilakukan oleh seorang bapa yang hanya berkelulusan UPSR dan mempunyai anak seramai 5 orang. Berapa ringgit yang mampu dicari oleh bapa dengan kelulusan yang ada walaupun terpaksa membanting tulang pagi dan petang?
  • Kalau tiada permintaan pasti tiada bekalan. Saya bersetuju yang jika tiada peminjam pastinya tiada pemiutang.Namun begitu, adakah kita sebagai golongan intelektual berpeluk tubuh melihat norma kehidupan yang teruk ini terus berlaku? Jangan lupa bahawa kemiskinan melampau antara penyebab kepada masalah kronik ini. Jika kita ingin menghapuskan penyakit ini, kita harus membasmi kemiskinan terlebih dahulu sebelum ianya bertukar menjadi kanser amat sukar diubati.
  • Semestinya tanggungjawab untuk menghapuskan kemiskinan ini terletak kepada bahu semua pihak terutamanya pemerintah dan golongan intelektual. Jika kita mengaku kita pemimpin rakyat yang tidak kering dengan slogan dan tema, sila lupakan nikmat dunia bagi merasai penderitaan rakyat agar kita tidak disoal dengan di akhirat. Jika kita mengaku kita golongan intelek, bijak dan rasional, lakukan sesuatu untuk membantu rakyat-rakyat yang kurang bernasib baik. Kalau kita asyik berbangga dengan segulung ijazah tetapi hanya mampu menuding jari kepada insan yang berkelulusan UPSR, saya berpendapat ijazah tersebut harus dibakar sahaja.
  • Apakah yang mampu dilakukan oleh kita untuk mengubah keadaan ini? Jika kita mengaku kita adalah rakyat Malaysia, kita seharusnya sedar mengenai peranan dalam memerangi sebarang bentuk jenayah dan penindasan terhadap mana-mana pihak. Saya tidak akan menghuraikan dengan lanjut mengenai perkara yang patut dilakukan oleh kita kerana ia bukannya tajuk utama "post" saya ini.

Tajuk utama: Kedaulatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan

  • Undang-undang umpama harimau tanpa gigi dan kuku jika undang-undang tidak diletakkan di tempat yang sepatutnya. Adakah rakan-rakan akan ketakutan melihat sang belang yang tidak mempunyai gigi mahupun kuku? Semestinya kita akan ketawa melihat sang belang yang kelihatan amat kelakar tanpa aset pentingnya.
  • Segelintir pihak pasti akan mengambil kesempatan apabila menyedari golongan yang sepatutnya memelihara dan memperjuangkan undang-undang tidak melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Yang dimaksudkan oleh saya adalah penguatkuasaan. Undang-undang perlu ditiup dengan roh penguatkuasaan yang berterusan. Undang-undang hanya sekadar sebutir peluru tanpa pistol jika tiadanya penguatkuasaan yang berterusan.
  • Saya memohon maaf jika pendapat saya seolah-olah menyalahkan golongan penguatkuasa. Namun siapakah yang harus diharapkan oleh rakyat yang hina bagi membela nasib mereka jika bukan terhadap golongan ini yang bersumpah setia atas nama Yang Dipertuan Agong bagi menjulang kedaulatan undang-undang.Sedarlah yang setiap sumpah itu akan disoal di akhirat kelak jika kita tidak menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan.
  • Tidak dinafikan yang penguatkuasa menjalankan tugas mereka bagi membendung jenayah daripada berlaku dalam masyarakat. Namun begitu penguatkuasaan yang longgar dan tidak berterusan membuka semula ruang jenayah kepada golongan yang tidak berperikemanusiaan.
  • Sebagai contoh, saya masih teringat satu masa dahulu ketika kisah along mendapat perhatian. Rakyat disajikan dengan kekejaman along dan perniagaan kotor golongan jahanam ini. Penguatkuasa juga berikrar akan memerangi "along" habis-habisan bagi menyelamatkan golongan yang kurang bernasib baik. Hasilnya, kegiatan "along" ini semakin sayup kedengaran di corong televisyen dan semakin segan untuk muncul di dada akhbar.Setelah beberapa ketika, kegiatan jijik ini muncul kembali dek penguatkuasaan yang semakin longgar. Akibatnya, rakyat yang lemah kembali terjerumus dalam perangkap yang memeritkan.
  • Pada satu ketika dahulu juga, rakyat dijanjikan bahawa pendaftaran nombor telefon bimbit prabayar akan melumpuhkan kegiatan "along" kerana penguatkuasa mampu mengesan nombor telefon yang kebiasaannya ditampal di merata-rata tempat.
  • Setelah bertahun lamanya program pendaftaran, saya masih belum melihat mana-mana lagi kes membabitkan "along" ditahan kerana menjalankan kegiatan haram. Adakah nombor mereka seolah-olah ghaib atau kebal di mata penguatkuasa. Jika tiada bukti mereka melakukan keganasan, saya percaya undang-undang yang sedia ada cukup untuk mengheret penjenayah ini ke muka pengadilan kerana melakukan perniagaan haram dan mampu disabitkan dengan pelbagai lagi jenis kesalahan.
  • Penguatkuasa seharusnya berusaha ke tahap yang terbaik bagi memberikan perkhidmatan dan perlindungan yang optimum kepada masyarakat bertepatan dengan status mereka sebagai penjawat awam. Jika mentaliti golongan korporat untuk sentiasa mencari keuntungan agak sukar diubah, mentaliti penjawat awam wajib menjurus untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat.
  • 1000 jenis undang-undang boleh digubal untuk mengekang jenayah tetapi ianya hanya sia-sia tanpa penguatkuasaan.
  • Syabas dan terima kasih kepada penguatkuasa dan penjawat awam yang sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Malaysia. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada pihak polis yang berjaya menyelamatkan tiga rakyat Malaysia yang diseksa oleh penjenayah yang tidak berperikemanusiaan.




Monday, March 30, 2009

Separuh perjalanan.

Salam rakan-rakan,

  1. Pertama sekali saya ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemas kini blog yang kerdil ini. Saya terasa seperti saya baru sahaja 'update' blog ini tetapi rupa-rupanya laman ini sudah bersawang hampir sebulan lamanya. Baru lah saya sedar yang masa berlalu dengan pantas tanpa kita sedari. Jika sebelum ini saya pernah bercakap mengenai peperiksaan pertengahan semester tetapi pada masa ini saya bakal menempuh peperiksaan akhir semester saya dalam tempoh kurang daripada dua minggu.
  2. Semester ini merupakan semester akhir bagi pengajian tahun kedua saya dalam kejuruteraan elektrik kuasa di University of Alberta. Ini bermakna saya sudah hampir melengkapkan separuh perjalanan saya di perantauan yang masih berbaki dua tahun.
  3. Dalam tempoh dua tahun yang akan datang saya akan dapat membayangkan diri saya meluangkan sebahagian besar masa saya di bangunan fakulti kejuruteraan elektrik. Saya sudah berjaya mendaftar subjek-subjek bagi semester yang mendatang namun bilangan makmal elektrik sebanyak empat dalam seminggu agak mengejutkan saya. Rupa-rupanya cerun di bahagian atas gunung ternyata lebih sukar didaki berbanding dengan cerun di bahagian kaki gunung.
  4. Separuh perjalanan juga bermakna saya sudah dua tahun tidak menjejakkan kaki di tanah air tercinta. Insya allah jika tiada aral melintang saya dan beberapa rakan akan pulang ke tanah air bagi meluangkan masa bersama insan-insan yang tersayang.
  5. Separuh perjalanan ini juga menuntut diri saya untuk menjadi lebih tabah dan tekun berusaha agar perjalanan yang ditempuhi sebelum ini tidak menjadi usaha yang sia-sia.
  6. Bayangkan jika kita berada dalam perjalanan untuk menawan puncak gunung tetapi di pertengahan perjalanan kita digoda untuk keluar daripada saf perjuangan kita. Kita mungkin tergelincir ke dalam gaung tanpa dapat diselamatkan oleh rakan-rakan seperjuangan.
  7. Bayangkan di pertengahan jalan kita membuat keputusan bahawa kita telah mendaki gunung yang salah. Adakah kita sanggup turun semula ke kaki gunung itu dan mendaki gunung idaman kita? Sesetengah pihak tidak sanggup untuk berpatah semula kerana ianya merupakan pembaziran masa, keringat dan wang. Namun sesetengah pejuang mungkin bertekad untuk berpatah semula demi menggapai sebuah impian. Sesungguhnya berada di pertengahan perjalanan bukannya merupakan perkara yang mudah kerana setiap keputusan yang diambil mempunya risiko yang tersendiri.
  8. Di pertengahan perjalanan ini juga terdapat ramai perjuang berputus asa dalam meniti baki perjalanan kerana terkenangkan jarak perjalanan yang seperti infiniti jaraknya. Namun golongan yang cekal akan terus melangkah biarpun terpaksa berkaki ayam meredah batu-batu tajam. Kesakitan yang dialami tidak dihiraukan atas kesedaran ada pihak yang sentiasa menyayangi dan menunggu mereka pulang dengan kejayaan menawan impian.
  9. Walaupun apa pun keputusan yang diambil, setiap individu harus membuat pertimbangan yang sewajarnya. Ingatlah bahawa setiap keputusan yang diambil oleh kita pada hari ini akan memberi kesan kepada kehidupan kita pada masa depan. Keputusan yang diambil kita juga akan memberi impak kepada komuniti kita terutamanya kepada insan-insan yang rapat dengan kita. Oleh itu, kita harus membuat keputusan yang berani tetapi BIJAK demi kebaikan semua pihak.


p/s: sila doakan saya dalam peperiksaan akhir.

Thursday, February 26, 2009

Permintaan daripada ASiSKL

Salam rakan-rakan,

Saya ingin memohon kepada semua rakan-rakan seperjuangan yang berada di perantauan agar menyahut permintaan pihak pengurusan Sekolah Menengah Sains Alam Shah. Sebagai pelajar, agak sukar untuk kita memberi sumbangan kewangan kepada alma mater yang tercinta namun kita boleh menyumbang menggunakan pelbagai cara yang relevan. Dibawah ini saya sertakan surat permintaan Encik Ahmad Shafrin kepada semua insan yang pernah bergelar pelajar ASiS.

Assalamualaikum pada semua OASIS,

Pihak sekolah bercadang untuk menayangkan video berupa ucapan dan kehidupan OASIS di seluruh dunia pada Makan Malam Amal dan Anugerah Cemerlang yang akan diadakan pada bulan April nanti.

Oleh itu, pihak sekolah memohon jasa baik semua OASIS di luar negara untuk menghasilkan video tersebut dan masukkan dalam youtube atau kirimkan dalam bentuk CD. "Duration" sekitar 2-3 minit. Jangan lupa email kepada "admin.asiskl@gmail.com" apabila video tersebut telah di"upload" ke dalam youtube atau telah siap dalam bentuk CD. Harapnya dalam pertengahan bulan Mac video tersebut siap.

Sila sampaikan maklumat ini kepada kawan-kawan yang lain yang cikgu tak dapat alamat email mereka. Harap projek ini akan berjaya. Terima kasih.

Daripada

Cikgu Ahmad Shafrin bin Abdul Aziz
b.p Pengetua
Sekolah Menengah Sains Alam Shah
Kuala Lumpur

p/s: pohon kerjasama rakan-rakan untuk 'post' surat ini di blog masing-masing agar permintaan dapat dibaca dengan lebih meluas



Sunday, February 22, 2009

Hari yang berlalu...

Salam rakan-rakan,

Syukur alhamdullilah rancangan pelajar University of Alberta dan University of Saskatchewan berjalan dengan lancar.

16 Februari 2009

  1. Kami bertolak ke Windsor Park untuk mengambil Sulaiman tepat jam pukul 4 pagi. Pemandu kereta pada waktu tersebut ialah saudara Shakir.
  2. Setalah 30 minit perjalanan dari Edmonton, saudara Shakir hanya ditemani oleh alat GPS manakala rakan-rakan yang lain termasuk saya sedang enak diulit mimpi.
  3. Kami dijangka tiba di Banff National Park dalam jam 8.50 pagi. Pada jam 6.30 pagi, hampir kesemua orang dalam kereta sudah terjaga dari tidur.
  4. Kami berhenti seketika di sebuah stesen minyak untuk menunaikan solat subuh dan mengisi tangki minyak yang hampir kosong.
  5. Alhamdullilah, kami tiba di Lake Louise Ski Resort tepat jam pukul 9.03 pagi. Kelihatan kawasan meletak kereta sesak dipenuhi oleh pengunjung-pengunjung walaupun Lake Loise Ski Resort baru sahaja dibuka pada jam 9.00 pagi.
  6. Saya, Rahman dan Sulaiman hanya membeli tiket 'ski lift' sahaja kerana kami sudah mempunyai 'snowboard' sendiri. Manakala Shakir hanya membeli tiket untuk 'T-Bar Area' kerana hatinya gundah gulana teringatkan seseorang. Khusairie terpaksa menyewa 'snowboard' manakala Fayuti pula memilih untuk bermain 'ski'.
  7. Kami bermain di 'resort' berkenaan sehingga jam 4.00 petang lalu terus bergerak ke pekan Banff yang terletak 50 km dari 'resort' bagi mencari hotel yang ditempah.
  8. Waktu malam kami dihabiskan dengan merehatkan badan dalam kolam renang, kolam air panas dan 'dry sauna' yang disediakan oleh pihak hotel. Kemudahan ini sedikit sebanyak melegakan otot-otot yang kejang setelah bermain di kawasan yang lasak hampir satu hari
  9. Sebelum melelapkan mata, kami semua bersetuju untuk tidak pergi ke Lake Louise pada keesokan tetapi memilih Sunshine Village Ski Resort.

Pemandu-pemandu

Kaki Gunung
Beratur menunggu T-BarKetika berada dalam gondola

Di salah satu puncak
17 Februari 2009

  1. Kami bertolak dari hotel pada jam 11.00 pagi dan tiba di Sunshine Village pada jam 11.25 pagi. Kami agak kagum melihat 'resort' ini yang tenyata lebih besar daripada Lake Louise
  2. Pada hari ini, Shakir hanya mahu menikmati pemandangan yang indah lalu beliau enggan bermain 'snowboard'.
  3. Setelah menaiki gondola selama hampir 20 minit kami tiba di stesen yang menghubungkan jalan-jalan 'ski' yang utama. Namun begitu, saya kurang berpuas hati dengan beberapa jalan yang terlalu landai hingga memaksa kami membuka 'snowboard' untuk bergerak.
  4. Saya,Sulaiman,Rahman dan Khusairie telah berjaya menawan salah satu puncak tertinggi di Sunshine Village dan berjaya menuruni cerun yang sangat curam dalam keadaan selamat.
  5. Ketika perjalanan pulang dari tengah gunung kami memilih untuk tidak menaiki gondola sebaliknya menggunakan denai sempit yang agak merbahaya. Akibatnya, beberapa rakan dan saya menghadapi masalah ketika menuruni denai sempit berkenaan. Silap langkah boleh menyebabkan kami terbabas ke dalam gaung pada bila-bila masa.
  6. Sebaik sahaja tiba di kaki gunung, saudara Shakir sudah menanti dengan sabar. Kami terus bergerak ke Banff Upper Hot Spring yang terletak tidak jauh dari situ.
  7. Agak meloyakan apabila memasuki bilik menukar pakaian kerana ramai LELAKI berbogel tanpa seurat benang.
  8. Setelah selesai aktiviti kami di situ kami terus bergerak ke bandar Calgary. Syukur alhamdullilah, kedatangan kami disambut dengan makanan yang disediakan oleh rakan-rakan yang belajar jurusan perubatan di University of Calgary.


3 orang pemain 'snowboard'
Khusairie.... lihat dadanya..


Apabila Fayuti terhempas ketika terbang

Sebelum menaiki gondola

18 Februari 2009
  1. Kami bertolak dari rumah rakan-rakan di Calgary pada jam 7.00 pagi ke Konsulat Amerika Syarikat untuk menyelesaikan urusan visa saya
  2. Sebaik sahaja selesai urusan visa, kami terus bergerak pulang ke Edmonton dan berjaya tiba di HUB MALL pada jam 12.45.


Video yang dihasilkan oleh saudara Rahman

PENGHARGAAN.

  1. Kesemua rakan-rakan yang terlibat dalam menjayakan rancangan ini
  2. Khusairie dan Fayuti yang sudi datang dari Saskatoon.
  3. Rahman, Shakir, Fayuti, Sulaiman, Khusairie kerana berkongsi gambar.
  4. Zaki,Budin, Bulat,Mustaq, Acap dan Mas.

p/s: insya allah jika ada kesempatan saya akan berkongsi lebih banyak gambar,video dan cerita mengenai perjalanan kami.