Pages

Thursday, December 13, 2018

Cebisan Memori

"Ahmad. Boleh awak cuba fikir perkara yang lebih positif?" soal Dr Sofia.

"Maaf doktor," jawab Ahmad.


Sebenarnya Ahmad akur dengan pesanan Dr Sofia cuma mungkin dia masih belum cukup kuat untuk benar-benar melawan perasaan itu.

Ahmad sudah bertekad sekurang-kurangnya buat masa ini, dia akan cuba menulis apa yang terlintas atau cebisan memori yang dapat dia ingati. Biar ia manis atau pahit, Ahmad mahu menulis.


Wednesday, December 12, 2018

Anak Petani


" Man. Jomlah singgah rumah aku. Kita sambung main, " ajak Mael.

" Takpelah mael. Aku nak balik rumah terus sebab dahaga sangat ni, " balas Man sambil mengayuh laju basikal.

"Man!!! Tunggu la sat. Mai minum ayaq kat rumah aku. Lepas minum kita sambung la main. Awal lagi man. Takkan ayah hang marah kot kalau balik lambat sikit," jerit Mael sambil mengejar dari belakang.

Man terus membrek basikal di tepi selekoh yang juga mempunyai jalan kecil ke teratak keluarga Mael. Man memang selalu singgah di rumah Mael kerana lokasi teratak yang berada dalam laluan pulang ke rumahnya. 

Namun hari ini, Man bertekad untuk pulang terus ke rumah walau dia sedar Mael masih belum berpuas bermain dengannya di sekolah selesai kelas kafa tadi.

"Sorry Mael. Aku nak balik rumah terus hari ini. Kita jumpa semula esok la ye. Esok pagi pukul 7 pagi aku sampai rumah hang," tutur Man perlahan.

"Man. Aku minta maaf tau kalau selama ni aku ada buat salah dekat hang. Bye," balas Mael sambil tersengih. 

Mael memang seorang ceria dan gemar tersenyum. Dia seorang anak petani yang agak susah tetapi tidak pernah sekali pun beliau merungut dengan kekurangan keluarganya. Di saat rakan-rakan ke sekolah dengan basikal lengkap dengan gear, Mael pula selesa menunggang basikal tua hitam milik ayahnya. Rumah Mael tiada telefon dan juga paip air namun syukur ada bekalan elektrik. Isi rumahnya bergantung kepada sebuah telaga yang berada di sisi rumah. 

Peti ais juga tiada dalam rumah itu. Tetapi entah mengapa Man gemar untuk melepak di rumah Mael. Mungkin kerana Mael yang sentiasa menanti dia dengan senyuman.

Tersenyum lega Man saat meneguk air setibanya di rumah. Sayup-sayup mata Man melihat daun kipas siling sebelum dia terlelap di atas katil.

"Abang. Abang. Bangun. Kawan telefon tu,"kejut Mak.

Sambil menenyeh mata dia melangkah ke arah telefon. Man berjalan keluar rumah sebaik dia selesai bercakap dengan Sayuti. Man memandang ke arah basikalnya yang diletakkan di bawah pokok durian muda sambil menghela nafas panjang. Dia sendiri pun tak pasti dengan perasaannya pada waktu itu.

"Abang. Jom ikut abah cepat," ajak Abah sambil menolak motor keluar.

Man hanya akur tetapi melangkah berat ke ke arah motor.

"Man. Mael dah takda. Dia baru je meninggal tadi. Mael dah mati. Aku nak pi rumah Mael ni," tutur Sayuti dalam telefon.

Man cuma terdiam. Dia tak tahu nak balas apa. Gagang telefon cuma dipegang. Betul ke rakan baik dia yang baru berumur 10 tahun dah pergi selamanya. Tapi Man tak boleh menangis. Nak Nak senyum lagi lah tak boleh.

Dalam perjalanan, Man cuma terdiam seribu bahasa. Dia masih lagi terbayang detik terakhir dengan Mael.

"Kalaulah aku...." bisik Man setibanya di rumah Mael. Kali ni pipi dia benar panas dengan air mata yang entah terbit dari mana. Man terpandang basikal tua Mael yang bersandar di tepi teratak. Seakan Mael sedang melambai tersengih. Man kesal kerana dia enggan singgah di rumah Mael pada hari itu kerana dia mementingkan keinginan untuk meneguk air sejuk dari peti ais. Air minuman di rumah Mael rasa agak payau kerana dari telaga dan juga tidak sesejuk ais. Selalunya Man minum sahaja air itu tanpa banyak songeh tetapi entah mengapa hari itu dia lebih memilih itu mementingkan diri.

Kelihatan sekumpulan lelaki tua berkopiah putih menunggu di luar pintu. Man mula menerima hakikat yang Mael sudah meninggal dunia.

Sehingga selesai jasad Mael disemadikan, Man langsung tidak berganjak untuk menatap wajah rakan baiknya buat kali terakhir. Man seolah hilang kekuatan walau hati dia meronta nak melihat Mael.

Setibanya di rumah, Man tak putus menyalahkan diri. Kalaulah dia setuju untuk singgah di rumah Mael. Mungkin Mael masih ada lagi untuk bersama-sama ke sekolah. Dan mungkin Mael takkan mati kerana terjerut tali yang diikat di tetulang atap rumah. Leher Mael terjerut semasa beliau cuba bermain tali itu sambil disaksikan oleh adik kecilnya.

Man langsung tidak melihat jenazah Mael apatah lagi tali yang menjerut leher kecil rakannya. Namun, senyuman terakhir dan pergelutan Mael di saat akhir seolah-olah hidup dalam ingatan Man.

Kini, Mael sudah pergi selama hampir 20 tahun. Susuk dan suara Mael masih lagi jelas dalam ingatan lagi-lagi apabila Man melalui selekoh berhampiran rumah Mael.

"Maafkan aku Mael. Tunggu aku di sana," bisik hati Man.



Tuesday, December 11, 2018

Pudar

Salam,

  • Saya merasakan diri ini tergolong dalam kategori manusia yang mempunyai memori agak kuat. 
  • Saya boleh mengingat dengan jelas cebisan memori seawal umur 5 tahun seperti saya baru sahaja melaluinya. 
  • Dahulu semasa di sekolah menengah, agak mudah untuk saya skor dalam subjek sejarah. Bukan kerana minat yang mendalam tetapi boleh dikatakan apa yang dibaca itu seolah melekat dalam otak. 
  • Ataupun sebenarnya semua orang ada kebolehan seperti ini cuma mereka tidak menulis di sini? Entahlah.
  • Mungkin sebab itu juga saya masih lagi memakai jam tangan yang dibeli semasa umur 16 tahun dan juga sehelai baju yang dipakai sejak 14 tahun. Kerana saya masih ingat detik saya menjawab SPM sambil melihat jam tersebut. Begitu juga saat saya sedih kerana air tertumpah ke atas baju baru itu.

Semakin Pudar

  • Cuma sekarang yang jelas, saya agak sukar mengingat kembali memori lama. Semakin kuat dicuba maka semakin sakit kepala.
  • Akhirnya, potongan memori pahit yang akan diimbas. Yang peritnya apabila potongan itu terkeluar, saya susah untuk keluar dari memori itu.
  • Bukan bermaksud dahulunya saya tiada atau tidak mampu mengingat semula memori pahit. Cuma ianya hanya cebisan hidup yang normal. Contohnya, saya pernah jatuh basikal kerana degil tidak mendengar nasihat mak untuk tidak ............................................... Ianya hanya setakat itu sahaja. Tidak pula saya merasakan kesakitan dan kekecewaan acap kali teringat perkara ini.
  • Kini ianya agak lain. Contoh yang lain, saya ambil masa beberapa hari untuk mengingat semula memori saya bersama Cikgu Gayah. Sepanjang proses itu juga memori pahit yang lebih mudah diingati dan lebih perit.
  • Sebelum lebih banyak memori yang hilang atau saya sendiri yang hilang dalam buih hidup ini. Maka lebih baik saya menulis di sini apa sahaja yang terlintas. 
  • Mungkin diri saya pada hari esok akan lebih memahami dan menghargai diri sendiri pada waktu itu. Dan ia juga menjadi bingkisan buat orang-orang yang ingin melihat, membaca dan mendengar.

p/s      : Ahmad jatuh. Ahmad sakit. Ahmad berdarah. Ahmad terus berjalan. Ahmad terus berfikir. Ahmad terus menerus berfikir. Lalu Ahmad pun sudah jauh pergi. Ahmad .........


Monday, December 10, 2018

Tajam

Salam,


  • Saya teringat semasa sekolah rendah dahulu. Cikgu Rogayah pernah bertanya kepada murid-murid dalam kelas. Apakah benda yang lebih tajam dari pisau?
  • Cikgu Rogayah (nama sebenar) adalah guru bahasa Melayu saya semasa di tahun 4. Wajahnya kelihatan garang tapi beliau sebenarnya seorang yang lemah lembut. Saya cuma sempat belajar dengan beliau selama hampir 6 bulan sahaja kerana beliau berpindah ke negeri Sabah mengikut suami. 
  • Oh ya. Cikgu Gayah juga pernah memuji saya sebagai seorang penyair yang baik. Sekarang saya sedar yang suara saya tidak sedap tetapi beliau puji sebagai galakan kepada semua murid. Pada waktu itu Cikgu Gayah minta seseorang baca syair bertajuk Puteri Bongsu tetapi kelas sunyi sepi tiada respon. Tiba-tiba ada seorang budak tidak tahu malu bernama Akmal mengangkat tangan......... Maka bermula la syair sepenuh hati......
  • Antara bait syair yang masih saya ingat
        • Tersebut kisah suatu cerita
        • Puteri Bongsu cantik jelita
        • Sangat dikenali rakyat jelata
        • Nasibnya malang berduka cita.
  • Terima kasih cikgu kerana puji saya 20 tahun yang lalu. Bermula dari situ juga saya agak yakin dengan frasa "Cuba dulu Akmal. Insya Allah". Semoga cikgu sentiasa dalam lindunganNya sentiasa.
Tajam.

  • Berbalik kepada pertanyaan tadi. Jawapan cliche yang pasti ramai dah tahu pastinya kata-kata. Ya. Kata-kata itu lebih tajam dari sebilah pisau.
  • Sebilah pisau boleh melukakan seseorang sehingga berdarah atau mati. Kata-kata pula sakitnya  pula dalam, pedih dan berpanjangan.
  • Bayangkan seorang anak yang membesar asyik dimomokkan dengan kata nista dari ayah ibu?
  • Bayangkan seorang isteri yang dimaki hamun hanya kerana tidak sempat menyiapkan juadah makan malam buat sang suami disebabkan keletihan?
  • Bercakap itu mudah. Ekspresi pun mudah. Seperti mana ada lampu isyarat yang perlu dipatuhi semasa di jalan raya maka tutur kata manusia juga perlu disusun dengan hormat.
  • Ada orang tidak suka dikritik hatta benda yang sebenarnya baik untuk beliau. Namun jika diberi peluang maka dia pula yang mengkritik sehingga lupa kata-katanya menyiat hati insan yang mendengar.
  • Benarlah jika kita tiada apa-apa yang baik untuk dituturkan maka lebih baik berdiam diri.

p/s : Saya tak pasti kenapa Cikgu Gayah membebel sedemikian.

p/s/s: Entah kenapa saya menulis benda yang cliche. Mungkin kerana saya teringat akan Cikgu Gayah. Mungkin kerana tulisan ini lebih hidup berbanding memori saya yang kian pudar hari demi hari.


~~Akmal~~


Wednesday, December 5, 2018

Tulisan yang hidup

Tatkala roh meninggalkan jasad,
Urusan kita hanya dengan Pencipta,
Keluarga dan harta kekayaan,
Hanya melihat pemergian kita.

Sedekah jariah ke jalan Allah,
Ilmu yang bermanfaat,
Doa anak yang soleh,
Jadi bekalan bertemu Pencipta.

Yang mati kekal mati,
Yang hidup terus hidup,
Melangkah pergi menghampiri mati,
Hidup atau mati ada urusannya.

Ada yang mati,
Namun terasa ada,
Bila dilihat video lama,
Gelak tawa mengusik jiwa.