Pages

Monday, December 17, 2018

SATU Ringgit

Hajat di hati nak keluar beli makanan.
Dompet diselongkar terus rasa susah hati.
Hanya sekeping wang biru RM 1 terselit kemas.
Apalah yang dapat dibeli dengan ini?
Jari kelam kabut mengakses M2U.
Mujur masih ada wang berbaki.
Motor dihidupkan dan meluncur laju ke bank.
Alhamdullilah, dapat beli makanan untuk mereka.


Tapi ...... 
Tapi .....

Apa nasib insan lain yang bergelar ayah.
Yang hanya ada RM 1. 
Kering kontang akaun bank bagai gurun.
Barang dapur pula hanya tinggal bekas.
Sedang anak isteri dalam kelaparan.
Apa nasib kamu insan?

Pasti kamu pun sudah penat menbanting tulang.
Meredah panas dan basah demi sesuap nasi.
Aku tahu kerana aku juga ayah.
Sehingga tiada ruang untuk kamu berehat.

Insan.
Bersabarlah kamu dengan ujian ini.
Jangan putus asa.
Jangan diambil jalan singkat.
Saya di sini sentiasa doakan.

Dan bilakah kamu akan berhenti apabila wangnya sentiasa SATU ringgit.
Dan mampukah kamu bahagia apabila cinta manusia hanya pada manusia hanya setakat SATU peratus sahaja.

Insan.
Allah itu SATU.
Aku boleh berkata. 
Tapi yang berkuasa itu SATU.

Insan.
Di saat kamu kecewa.
Hendak putus asa.
Ingatlah hidup ini ada tujuan.
Biarpun esok segalanya masih satu untukmu.

Sunday, December 16, 2018

Kasut Hitam

Kasut tidak dibeli pun semalam.
Mungkin itulah saya pada hari ini.
Keperluan orang lain lebih dari diri sendiri.
Terutama buat anak-anak.
Bila yang tersayang rasa gembira.
Maka hidup pun rasa cukup.
Ada yang bertanya.
Kenapa suka simpan duit.
Tapi tak berbelanja untuk diri.
Untuk mereka. Untuk mereka.
Bukan berniat membeli kebahagiaan.
Tapi rasa belun cukup membahagiakan mereka.

Saturday, December 15, 2018

Bata

Kasut hitam BATA yang dibeli hujung tahun lepas sudah mula tertanggal tapak dan koyak.

Nampaknya saya perlu membeli kasut baharu hari ini. RM 60 untuk 12 bulan bermakna RM 5 bagi setiap bulan.

Dahulu suka juga pakai kasut yang lebih mahal tapi kesudahannya tetap sama. Koyak dalam tempoh setahun.

Jadi baiklah lagi saya beli kasut BATA.
Selesa dan murah.

Kemajuan

"Senarai penerima anugerah cemerlang tahun 1995 ialah .................................,"ucap Cikgu Letchumy sambil tersenyum.

"Cikgu. Saya dapat hadiah juga ke? Keputusan saya teruk," soal Ahmad kepada Cikgu Letchumy.

"Siapa kata teruk? Ahmad budak rajin dan pandai. Cikgu pilih Ahmad untuk dapat anugerah kemajuan tau. Sekarang Ahmad ambil kertas ini dan pergi dengan kawan-kawan lain ke bangunan kantin," balas Cikgu Letchumy sambil menghulur sekeping kertas.

Kertas yang diberi itu sebenarnya berupa baucar buku untuk ditebus oleh penerima anugerah cemerlang. Ahmad tersenyum kerana dia boleh naik pentas semasa berumur darjah satu. Sebaik tiba di kantin, Ahmad diminta untuk mencari buku bersamaan atau lebih kurang dari nilai baucar yang diterimanya. Baucar yang diterima Ahmad bernilai RM 5. Sambil itu sempat Ahmad mengerling ke baucar rakannya yang mendapat tempat pertama dalam kelas. Jumlahnya lebih besar dari amaun yang diterima darinya tetapi dia tetap tersenyum kerana hadiah hari ini pun seperti tidak dijangka jika dibandingkan dengan keputusannya. 

Hadiah kemajuan merupakah anugerah yang dipilih oleh guru kelas kepada anak murid yang tidak mendapat tempat pertama hingga ketiga namun menunjukkan peningkatan yang baik dalam tahun itu. Ahmad memang agak lembap semasa awal persekolahan walaupun dia telah mengikuti kelas tadika pada tahun sebelum itu. 

4 + 4 = 14
5 + 5 = 15

Bagi Ahmad, itulah jawapan bagi soalan diatas. Puas cikgu tadika cuba jelaskan 4 + 4 = 8 namun Ahmad masih yakin nombor yang sama apabila ditambah dengan nombor yang sama akan menjadi 10 + nombor berkenaan.

X + X = 10 + X . Ini pegangan Ahmad. 

Setelah masuk darjah satu baru lah Ahmad reti mengira dan membaca tetapi dia ketinggalan berbanding rakan-rakan lain. Mujur Cikgu Letchumy banyak bersabar dengan kebodohan Ahmad.

"Adik. Buku yang adik pilih ni RM 6. Harga dia lebih daripada baucar jadi adik kena tambah RM 1 lagi,"kata abang yang menjaga buku kepada Ahmad.

Ahmad menyeluk saku buat-buat mencari duit tetapi sebenarnya dia tahu tiada wang sebanyak itu dalam poketnya. Mustahil untuk dia ada duit sebanyak itu sedangkan wang saku harian dia cuma RM 0.20 setiap hari. 

"Maaf bang. Duit saya tak cukup. Saya cari buku lain," balas Ahmad sambil memegang buku bertajuk Sang Kancil dan Buaya.

Ahmad berpatah semula tempat longgokan buku untuk menukar buku yang harga kurang daripada RM 5. Namun buku yang lebih murah ternyata cuma buku kecil yang berwarna hitam putih. Berbeza sekali dengan buku Sang Kancil yang sedang dipegang oleh Ahmad.

Buku Sang Kancil yang dipilih Ahmad saiznya agaknya A4, gambar berwarna dan kertasnya licin. Berat hati Ahmad untuk melepaskan buku tersebut kerana ini adalah detik pertama Ahmad membeli buku. Dia tak pernah ada buku cerita sendiri kerana dia sedar ibunya tidak mampu. 

Walaupun Ahmad agak bodoh berbanding rakan seusianya tetapi dia juga ada keinginan untuk membeli sebuah buku tetapi semua itu dipendam kerana tidak sampai hati meminta dari ibunya. Dan kali ini pun dia terpaksa mengambil buku lain kerana sebenarnya Ahmad tidak mampu.

"Takpelah. Aku amik je lah buku kecil ini," bisik hati Ahmad sambil meletakkan semula buku Sang Kancil dengan mata yang agak berkaca.

"Adik suka buku ni ke?"soal abang cashier tadi yang kini tiba-tiba berdiri di belakang Ahmad.

Ahmad hanya mengangguk sambil melihat lantai simen kantin. "Takpe bang. Saya nak tukar dengan buku lain. Tadi silap pilih tak perasan harga," jawab Ahmad sambil tersengih cuba menutup kesedihan.

"Adik ambil ye buku ini. Baki RM 1 tu abang tolong bayarkan. Abang hadiahkan kat adik. Belajar rajin-rajin so tahun depan boleh beli lagi banyak buku," kata abang itu sambil memegang bahu Ahmad.

"Terima kasih abang," jawab Ahmad dan terus menyerahkan buku dan baucar kepada abang itu. Ahmad terus berlalu pergi dan pulang kelas. Mungkin sepatutnya dia peluk abang itu kerana telah memberi hadiah bermakna namun Ahmad terlalu gembira sehingga terlupa.

Ahmad tak sabar menunggu hari anugerah cemerlang untuk menerima buku tersebut di atas pentas. Itulah kisah buku pertama seorang budak bodoh bernama Ahmad.

Terima kasih Cikgu Letchumy kerana memilih Ahmad.
Terima kasih abang cashier yang bermurah hati belanja RM 1. Besar nilai RM 1 pada tahun 1995.

Sang Kancil dan Buaya. 

Friday, December 14, 2018

Kita berubah

Kita semua berubah samada kearah baik atau buruk. Tetapi apa pun bergantung kepada perspektif kita atau orang yang melihat. Ada orang kelihatan 'selfish' pada mata kita tetapi sebenarnya beliau hanya bertindak demikian pada waktu itu atau selepas sekian lama menjadi orang yang terlalu mengambil berat perasaan orang lain.

Dan yang pasti apa yang kekal dalam kehidupan adalah perubahan. Jangan putus asa hanya kerana awang kelihatan mendung atau saat air laut surut terlalu lama. Apa yang penting adalah kita masih yakin dan percaya bahawa tindakan itu yang terbaik untuk kita atau sekurang-kurangya untuk yang disayangi.

Ada pepatah sebenarnya, bunga akan kembang atau layu dan mungkin juga gugur. Tetapi dalam masa yang bunga itu pasti bercambah dari hari ke hari melalui benih-benihnya. Biarlah ia layu jika ia perlu layu. Yang penting jangan dicampak benih-benih itu. Tanam la benih itu semula. Benar ia memakan masa tetapi jangan putus asa.

Jika bunga ada kitarannya begitu juga cuaca.
Jangan pula kita pelik dengan makhluk Allah bernama manusia.
Kerana manusia itu pastinya lebih kompleks.
Tetapi ia punya akal untuk berfikir.
Dan berusaha menjadi hamba Allah yang lebih baik.