Pages

Monday, June 10, 2019

Departure

Selepas 40 minit, kereta abang Syed mula menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Edmonton.

"Tak perlu kot aku nak sayu. Bukan nak masuk penjara atau hukuman mati mandatori. Insya Allah I'll be back," pujuk hati kecil Ahmad.

Abang Syed menurunkan mereka di balai ketibaan sementara dia pergi untuk mencari tempat letak kereta. Kesempatan itu, Ahmad melihat kawasan sekeliling balai ketibaan.

Terdapat beberapa perubahan disebabkan kerja pembesaran lapangan terbang namun beberapa kawasan masih lagi sama seperti 4 tahun yang lalu. Ahmad masih lagi boleh terbayang saat dia melangkah keluar dari pintu ketibaan dengan memakai jaket putih yang dibeli di Alor Star Mall.

Setiap langkah disusuli dengan pandangan yang tajam walaupun sebenarnya dia sudah beberapa kali ke lapangan terbang sepanjang tempoh 4 tahun itu.

Benar yang manusia akan mula menghargai saat mereka mula kehilangan sesuatu. Entah bagaimana pula rasanya langkah seseorang banduan saat melangkah menuju ke penjara? Jarang sekali kita bersyukur dengan nikmat kebebasan saat kita melangkah bebas.

Ahmad hanya tersenyum saat melalui kiosk Booster Juice. Kenangan meminum air rumput masih menggamit memori malah rasa payau tiba-tiba terasa.


Sunday, June 9, 2019

Mereka Pergi.

Malam ini mata Ahmad terasa sukar untuk tidur. Dia terbayangkan hari esok yang bakal tiba. Masa berlalu terlalu pantas sehingga dia terasa banyak lagi perkara yang belum dilaksanakan.

"Ahmad. Kau dah ambil belum baju kat laundry? Aku tengok dari tadi ada kat bawah. Nanti lewat kau bersiap," ujar Ali yang tiba-tiba menguak daun pintu bilik Ahmad.

Rupanya Ali juga seperti Ahmad yang masih belum terlelap. Mencari alasan dengan mencuci baju pada jam 3 pagi. Mungkin Ali juga terasa berat hati untuk meninggalkan tempat ini.

Tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat menuntut ilmu selama hampir 4 tahun.

Esok mereka akan meninggalkan bumi Kanada untuk pulang ke tanah air. Mengikut itinerari mereka akan singgah di Dubai selama 2 hari untuk bersiar-siar.

Lumrah untuk Ahmad melakukan stopover setiap kali pulang ke Malaysia kerana kos yang lebih berpatutan.

Namun kali ini berbeza, tiket yang dibeli adalah sehala. Mereka tidak akan pulang semula ke Kanada.

Tepat jam 8 pagi, abang Syed tiba di pintu 9001 Hub Mall. Awalnya, mereka ingin ke lapangan terbang menggunakan van Sky Shuttle namun pada saat akhir abang Syed menawarkan diri untuk menghantar mereka buat kali terakhir.

Hati Ahmad terasa sebak saat membuka pintu rumah kerana kelihatan sekumpulan rakan-rakan junior telah lama menanti mereka. Bertambah berat langkah Ahmad menuruni anak tangga Hub Mall.

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Jika tak kerana masa dan jarak, manusia tetap asing saat mereka dijemput Illahi. Apa yang penting adalah memori yang ditempa sepanjang perjalanan hidup.

"Selamat tinggal Edmonton," bisik hati Ahmad saat melabuhkan punggung atas kerusi kereta abang Syed.

Sepanjang perjalanan, Ahmad hanya mendiamkan diri. Min sememangnya diam seperti kebiasaannya.

Hanya kedengaran suara Ali yang berbual di hadapan bersama abang Syed.


Saturday, June 8, 2019

Negara Kanada (Part 1)


  1. Kanada terdiri daripada 13 negeri iaitu 10 province dan 3 territories
    • Perbezaan antara province dan territory sebenarnya berpunca daripada asal usul pembahagian kuasa dan penubuhannya. Kuasa province disebut jelas dalam Constitution Act 1867 manakala territories pula ditentukan oleh Parlimen Kanada.
    • Secara ringkasnya province ini seperti negeri di Malaysia tetapi versi berkuasa. Jelas bidang kuasa antara kerajaan persekutuan dan negeri. Kuasa kerajaan negeri juga lebih berbanding persekutuan. Hal ini sebaliknya bagi territories.
  2. Negara kedua terbesar di dunia selepas Rusia. (by land area)
  3. Bahasa rasmi Kanada ialah Bahasa Inggeris dan Perancis. Sebenarnya hampir semua penduduk Quebec menggunakan bahasa Perancis dalam kehidupan seharian. 
  4. Satu-satunya negara yang berkongsi sempadan darat dengan Kanada ialah Amerika Syarikat dan sempadan ini tidak berpagar.
  5. Kerajaan demokrasi berparlimen dengan Queen Elizabeth sebagai ketua negara manakala Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan. Namun begitu, jarang sekali atau mungkin tidak pernah urusan negara diusik oleh Britain.

Friday, June 7, 2019

Solat Jumaat Syawal

Jumaat pertama selepas Ramadan.
Khutbah berkisar tentang amalan Ramadan yang harus diteruskan.

Imarah masjid, membaca Al-Quran, bersedekah, qiamullail dan puasa sunat.
Khatib memberi peringatan tentang kepentingan konsisten. Biar sedikit namun berterusan supaya momentum kekal dan amal terus mengalir.

Jemaah juga digesa untuk rebut peluang puasa 6 hari di bulan Syawal bersandarkan kepada hadis

Daripada Abu Ayyub RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian mengiringi dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal, pahalanya seperti berpuasa setahun”.
 
(Hadith Riwayat Muslim)


Thursday, June 6, 2019

Busuk

Bau busuk menusuk hidung sebaik sahaja Ahmad membuka pintu rumahnya.

Ali dan Min hanya menggeleng kepala saat ditanya tentang bau busuk tersebut. Bau yang semakin kuat mula menyakitkan kepala Ahmad.

Tiba-tiba siren kecemasan Hub Mall berbunyi. Ahmad menjengah ke tingkap kayu untuk meninjau situasi. Kelihatan polis kampus mula berlegar-legar di bawah.

"Hey bro. Please evacuate your unit now!" jerit polis tersebut setelah terlihat Ahmad yang terpinga pinga di tingkap.

Tanpa berlengah, Ahmad dan rakan bergegas menuruni tangga Hub Mall.

Di bawah Hub Mall, kelihatan beberapa kenderaan polis dan bomba. Beberapa anggota bomba pula memakai pakaian seperti pasukan Hazmat.

Selang 2 minit, Ahmad menerima sms daripada universiti yang meminta para pelajar menjauhi kawasan Hub Mall kerana dikhuatiri terdapat kebocoran gas beracun.

Timbul rasa kesal di hati Ahmad kerana tidak menyarung baju sejuk sebelum turun sebentar tadi. Dia hanya memakai tshirt nipis dengan seluar pendek kerana menyangka ianya cuma latihan pengungsian bangunan.

Ahmad meluru ke bangunan stesen lrt universiti kerana mula kesejukan sementara Ali dan Min yang berpakaian lengkap bergerak ke downtown untuk mencari makanan. Terasa segan untuk ke berjalan jauh kerana pakaian yang tidak sempurna.

Sementara menunggu, Ahmad mengambil surat khabar dari sebuah peti news yang terletak dalam stesen. Menariknya di Kanada, surat khabar banyak didapati dalam peti news samada berbayar atau percuma.

Yang lebih mengkagumkan Ahmad adalah bagi surat khabar berbayar, sebaik sahaja koin dimasukkan dan peti dibuka. Pelanggan sebenarnya boleh mengambil lebih dari satu surat khabar. Namun perkara demikian tidak berlaku di sini atau mungkin tidak di hadapan Ahmad.


Selepas sejam, kelihatan beberapa anggota bomba mengusung bungkusan hitam dan dibawa masuk ke dalam ambulans. Ahmad segera mencari maklumat di laman sosial dan benarlah seperti telahannya yang bungkusan hitam itu berisi mayat manusia.

Seorang pelajar tahun akhir kejuruteraan kimia telah membunuh diri dengan menggunakan gas ammonia. Mungkin pelajar itu tertekan dan nekad membunuh diri 3 minggu sebelum minggu peperiksaan akhir.

Siapa sangka bulan April yang masih dingin telah meragut nyawa seorang manusia yang hilang kawalan.