Pages

Monday, March 30, 2009

Separuh perjalanan.

Salam rakan-rakan,

  1. Pertama sekali saya ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemas kini blog yang kerdil ini. Saya terasa seperti saya baru sahaja 'update' blog ini tetapi rupa-rupanya laman ini sudah bersawang hampir sebulan lamanya. Baru lah saya sedar yang masa berlalu dengan pantas tanpa kita sedari. Jika sebelum ini saya pernah bercakap mengenai peperiksaan pertengahan semester tetapi pada masa ini saya bakal menempuh peperiksaan akhir semester saya dalam tempoh kurang daripada dua minggu.
  2. Semester ini merupakan semester akhir bagi pengajian tahun kedua saya dalam kejuruteraan elektrik kuasa di University of Alberta. Ini bermakna saya sudah hampir melengkapkan separuh perjalanan saya di perantauan yang masih berbaki dua tahun.
  3. Dalam tempoh dua tahun yang akan datang saya akan dapat membayangkan diri saya meluangkan sebahagian besar masa saya di bangunan fakulti kejuruteraan elektrik. Saya sudah berjaya mendaftar subjek-subjek bagi semester yang mendatang namun bilangan makmal elektrik sebanyak empat dalam seminggu agak mengejutkan saya. Rupa-rupanya cerun di bahagian atas gunung ternyata lebih sukar didaki berbanding dengan cerun di bahagian kaki gunung.
  4. Separuh perjalanan juga bermakna saya sudah dua tahun tidak menjejakkan kaki di tanah air tercinta. Insya allah jika tiada aral melintang saya dan beberapa rakan akan pulang ke tanah air bagi meluangkan masa bersama insan-insan yang tersayang.
  5. Separuh perjalanan ini juga menuntut diri saya untuk menjadi lebih tabah dan tekun berusaha agar perjalanan yang ditempuhi sebelum ini tidak menjadi usaha yang sia-sia.
  6. Bayangkan jika kita berada dalam perjalanan untuk menawan puncak gunung tetapi di pertengahan perjalanan kita digoda untuk keluar daripada saf perjuangan kita. Kita mungkin tergelincir ke dalam gaung tanpa dapat diselamatkan oleh rakan-rakan seperjuangan.
  7. Bayangkan di pertengahan jalan kita membuat keputusan bahawa kita telah mendaki gunung yang salah. Adakah kita sanggup turun semula ke kaki gunung itu dan mendaki gunung idaman kita? Sesetengah pihak tidak sanggup untuk berpatah semula kerana ianya merupakan pembaziran masa, keringat dan wang. Namun sesetengah pejuang mungkin bertekad untuk berpatah semula demi menggapai sebuah impian. Sesungguhnya berada di pertengahan perjalanan bukannya merupakan perkara yang mudah kerana setiap keputusan yang diambil mempunya risiko yang tersendiri.
  8. Di pertengahan perjalanan ini juga terdapat ramai perjuang berputus asa dalam meniti baki perjalanan kerana terkenangkan jarak perjalanan yang seperti infiniti jaraknya. Namun golongan yang cekal akan terus melangkah biarpun terpaksa berkaki ayam meredah batu-batu tajam. Kesakitan yang dialami tidak dihiraukan atas kesedaran ada pihak yang sentiasa menyayangi dan menunggu mereka pulang dengan kejayaan menawan impian.
  9. Walaupun apa pun keputusan yang diambil, setiap individu harus membuat pertimbangan yang sewajarnya. Ingatlah bahawa setiap keputusan yang diambil oleh kita pada hari ini akan memberi kesan kepada kehidupan kita pada masa depan. Keputusan yang diambil kita juga akan memberi impak kepada komuniti kita terutamanya kepada insan-insan yang rapat dengan kita. Oleh itu, kita harus membuat keputusan yang berani tetapi BIJAK demi kebaikan semua pihak.


p/s: sila doakan saya dalam peperiksaan akhir.