Pages

Saturday, January 26, 2019

Kari Kambing

Ada satu gerai berdekatan rumah.

Kalau datang selepas jam 8 pagi mesti penat kena tunggu giliran.

Menu istimewa gerai roti canai ini adalah kari kambing.

Saya suka kari kambing tetapi bukan untuk dimakan dengan roti canai.

Roti canai hanya sedap dimakan dengan kuah dal dan sambal. Ikut selera masing masing agaknya.

Thursday, January 24, 2019

Van

Ahmad singgah di masjid untuk solat zohor. Waktu zohor sudah berlalu hampir sejam namun kelihatan seperti ramai di perkarangan masjid. Kedengaran suara seorang wanita yang agak teresak-esak di saat sebuah van putih menarik brek tangan.

Kematian. Saat perpisahan yang kekal. Suatu detik yang ditakuti oleh kebanyakan hambaNya.

Entah mengapa saat melihat jasad kaku dibaluti kain putih, Ahmad merasa suatu ketenangan.

Beliau teringin sangat untuk berbaring di tempat yang sama dan dibaluti kain putih itu. Ahmad tidak merasa takut. Ahmad cuma rasa ingin pergi kerana dunia sememangnya tidak memerlukan orang bernama Ahmad.

Saat van putih itu berlalu pergi ke tanah perkuburan, Ahmad hanya menitis air mata terbayangkan dia berada dalam van itu mengucapkan selamat tinggal dunia.

"Tuhan ambil la aku. Aku ingin pergi," luah Ahmad sayup-sayup.

Dia sedar berdosa meminta perkara seperti itu.

Wednesday, January 23, 2019

Penunggang Motor

Di mata pemandu kereta,
Kami cuma insan kecil,
Atau mungkin hina,
Hidup susah.

Tersalah simpang kami mati,
Simpang betul pun kami mati,


Tuesday, January 22, 2019

Makcik Bawang

Hari ini genap 3 minggu sejak saya melihat kelibat makcik bawang yang menjual nasi lemak.

Makcik ada beritahu saya yang beliau akan mengerjakan umrah pada bulan Februari. Kehilangannya membuat saya tertanya.

Adakah makcik sakit atau ........ ?

Jika makcik sakit, didoakan dia segera sembuh untuk kembali mencari rezeki untuk keluarga.

Kekadang terfikir penat jerih orang yang berniaga. Mereka perlu sihat dan semestinya tiada pilihan melainkan terus mencari rezeki halal.

Ada orang terlalu banyak pilihan sehingga putus asa menjadi salah satu pilihan utama.

Sunday, January 20, 2019

Saturday, January 19, 2019

Cameron Highland

Kali terakhir Ahmad datang ke Cameron Highland rasanya hampir 6 tahun yang lalu. Itu juga kali pertama Ahmad menjejak kaki CH.

Semasa sekolah rendah dahulu pernah ada beberapa lawatan sekolah ke CH namun dia terpaksa memendam rasa untuk tidak menyampaikan keinginan kepada ibu kerana tahu beban kewangan keluarga. Selalunya Ahmad akan menjawab yang tiada lawatan sekiranya ibu bertanya tentang hal itu. Dia sedar yang ibu pun sebenarnya tahu daripada mak rakan-rakan Ahmad juga. Ibu tak mampu tapi dia masih bertanya mungkin untuk hilangkan rasa bersalah di hati.

CH memang sejuk. No wonder ini lokasi pelancongan yang popular.

6 tahun yang lalu, Alia baru berusia beberapa bulan sahaja. Ahmad masih ingat snow cap merah jambu yang dibeli untuk Alia di Kea Farm Market.

Bearing kereta yang rosak semasa menuruni jalan CH-Ringlet juga masih segar dalam ingatan Ahmad.


Friday, January 18, 2019

Outgrow

Tamadun manusia tidak berkembang jika generasi akan datang lebih teruk atau setars dengan generasi kini.

Kata orang tua. Mereka lebih tahu kerana lebih awal makan garam. Tetapi tak mahukah kita melihat anak anak kita kurang bijak dari kita.

Jika kita tidak sepatutnya lebih bijak maka dunia ini hanya dipenuhi dengan guru sahaja. Dan guru adalah hierarki tertinggi alam kerjaya.

Jika kita mempunyai boss yang teruk. Mungkin itu bukan salah boss. Ianya takdir Allah untuk jadikan kita lebih baik. Ujian untuk kita bukan pada boss tersebut.

Kita perlu berkembang. Perlu outgrow. Jika mak ayah teruk maka jangan sesekali ulang kesilapan mereka. Jadi lebih baik. Begitu juga dalam pekerjaan.

Intipati ucapan seorang CEO sebuh syarikat

Thursday, January 17, 2019

Reason

Ada saat kita hanya punya satu sebab,
Atas sebab itu kita ingin rasa sia-sia,
Baki hidup rasa kosong,
Bagai mengetuk tin tak berisi.

Kita rasa hidup tidak bermakna,
Rasa ia perlu diakhiri segera,
Hanya kerana satu perasaan,
Perasaan yang kita pun tidak pasti.

Sampai kita terlupa,
Ada lagi seribu sebab,
Untuk kita hidup,
Untuk kita senyum.

Wednesday, January 16, 2019

Indah

Jika keindahan hanya dapat dinikmati dengan mata maka zalim sungguh Pencipta kepada golongan buta.

Ada orang melihat jalan tar dengan garis putih dirasakan biasa.

Tetapi ada orang bersyukur kerana dia dapat memandu kenderaan dengan mudah bukannya di atas tanah merah.

Indah itu bukan dari sumber tapi dari reaksi yang menilai.

Tuesday, January 15, 2019

Inisiatif

Seorang pengurus apabila diberi sesebuah tugasan untuk menyelesaikan suatu masalah akan melihatnya sebagai masalah.

Apabila dilihat sebagai masalah maka cara pemikiran pun akan berubah. Masalah perlu pergi dengan segera. Segera dan segera.

Akibatnya inisiatif yang diperkenalkan akan bersifat taskforce dan pastinya memenatkan. Bagus untuk capai target segera namun fokus keseluruhan team akan terganggu.

Namun jika masalah dilihat sebagai peluang semestinya pengurus itu tidak harus terganggu. Beliau hanya perlu sustain dan grow sahaja.

Acapkali kita sibuk mengejar target sehingga terlupa BAU (kerja hakiki harian) yang menjadikan kita relevan.

Sepatutnya 80% tenaga perlu fokus kepada sustain kerja baik manakala selebihnya untuk benda baharu.


Monday, January 14, 2019

Nikmat

Setiap insan punya perasaan,
Ada suka ada duka,
Yang indah didamba,
Yang pudar ingin dijauhi.

Manusia dicipta hidup berpasangan,
Ada panas ada sejuk,
Mentari lalu muncul malam,
Aturan cantik untuk melengkapi.

Tiada yang mahu derita,
Sakit luka pedih,
Bagai sembilu menghiris hati,
Dihiasi air mata di pipi.

Insan,
Pernah kau berdoa,
Namun hanya sekadar meminta,
Tanpa sebarang perasaan.

Derita,
Saat Allah titipkan sakit,
Tahulah kamu panasnya air mata,
Serta rasa menagih simpati Allah.

Boleh sahaja kita gembira,
Boleh sahaja kita bersuka,
Namun tiada rasa,
Tiada goyahnya pegangan.

Derita itu nikmat,
Nikmat mengetahui kerdilnya manusia,
Besarnya Allah.


Friday, January 11, 2019

Dekatkan diri kepada Allah

Sakit itu halimunan,
Kita rasa tetapi tidak nampak,
Mungkin nampak luka,
Tapi sakitnya macam mana?

Begitu juga dengan kata-kata,
Lidah jelas kelihatan,
Kata-kata yang terluah,
Merobek hati pendengar.

Siapakah kita untuk menghakimi,
Kita cuma melihat,
Terkadang rajin untuk meneka,
Meneka sakit dan beban orang.

Benar Allah itu ada,
Benar segala penawar milik Allah,
Benar aku hamba Allah,
Benar segalanya ujian Allah.

Jika kau enggan membantu,
Sungguh aku pun tidak mengemis,
Maka kau biarkanlah,
Dan tutup mulut mu itu,

Mudah bagi kau berkata,
Sakit bagi ku,
Terima la hakikat,
Setiap insan berbeza ujianNya.


Thursday, January 10, 2019

Leonora Perez

"Ahmad. You shouldn't advise her with something like that. Let her be," pesan Leonora Perez yang merupakan pengurus Winners kepada Ahmad.

Ahmad ditegur kerana memberitahu pelanggan wanita itu tentang kerosakan zip tas tangan yang cuba di bayar di kaunter cashier Ahmad. Pesanan itu diberi dengan harapan wanita tersebut akan membatalkan rancangan membeli dan menukar dengan beg lain yang lebih baik. Namun Ahmad tidak sedar polisi mengutamakan pelanggan di Canada agak berlainan dengan Malaysia.

Wanita itu terus meluru ke kaunter perkhidmatan pelanggan dengan riang. Dia enggan untuk menukar beg tersebut tetapi mendesak pengurus untuk memberi diskaun disebabkan kerosakan tersebut. Pendek cerita, dia berjaya mendapat diskaun yang dihajati. Ahmad pula ditegur kerana menasihati pelanggan wanita itu kerana ianya akan menjejaskan hasil jualan. Ahmad hanya tunduk akur mendengar teguran Leonora kerana dia hanya pekerja baharu berusia 2 bulan.

"Hello there. My name is Akmal and I'm looking for a job. Would you help me?" bibit kata pertama Ahmad saa dia bercakap dengan Leonora di kaunter khidmat pelanggan.

Ahmad sudah beberapa kali menghantar borang permohonan kerja di beberapa cawangan Winners namun tiada sebarang jawapan. Setiap kali dia menghantar borang yang lengkap, Ahmad lihat pekerja di kaunter perkhidmatan pelanggan akan mengambil borang tersebut lalu menyimpannya dalam laci. Sebelum itu mereka akan berjanji yang pengurus akan menghubungi jika terdapat kekosongan walau pada hakikatnya hampir semua cawangan Winners akan meletakkan iklan jawatan kosong di pintu.

Untuk kali ini, Ahmad telah mengubah taktik mencari kerja. Ahmad akan melilau dalam Winners sehingga kelibat pengurus kelihatan di kaunter perkhidmatan pelanggan. Beberapa hari juga Ahmad kecewa kerana saat pengurus berada di kaunter terdapat pula ramai pelanggan yang cuba menyelesaikan masalah mereka.

Kelibat pengurus Winners tidak sukar untuk dibezakan dengan pekerja biasa kerana mereka tidak memakai apron biru Winners. Sebaik sahaja Ahmad melihat susuk tubuh wanita berambut merah dengan tag nama Leonora, dia terus meluru ke kaunter yang kosong pada ketika itu,

"Are you free right now? How old are you? Never mind. Follow me to the office," balas Leonora sambil memegang resume Ahmad.

Ahmad tersenyum gembira sambil berjalan mengekor langkah Leonora ke pejabat pengurus.

"I can work everyday if you want me to," jawab Ahmad dengan yakin selepas Leonora bertanya berapa hari dan jam dalam seminggu yang dia sanggup bekerja di situ.

Ahmad memang nekad untuk mengumpul wang sebanyak mungkin sepanjang cuti musim panas hampir 3 bulan ini. Dia terbayang wang yang dikumpul kemudian didarab pula dengan 3 setelah ditukar ke matawang ringgit. Pasti ibunya akan gembira.

"No you can't work everyday as it's against the law and other staff might feel unhappy about it," jawab Leonora.

Setelah hampir 30 minit sesi temuduga dalam bilik pengurus itu.

"Congratulation. You are hired. You may start this weekend," tutur Leonora kepada Ahmad.

Mata Ahmad bersinar kerana dia berjaya memperoleh kerja sepenuh masa yang menjanjikan pendapatan yang baik sepanjang cuti musim panas.

Wednesday, January 9, 2019

Winners

Seorang budak kecil meronta-ronta di atas lantai dengan harapan ibunya akan membeli patung comel yang dipeluk erat. Si ibu hanya menjegil mata sambil menggengam tangan cuba menahan geram dengan telatah anaknya.

"Stop it. We have to go now," sebut si ibu kepada anaknya dengan tegas.

Budak kecil itu bangun perlahan namun dengan tidak semena-menanya dia menuju ke rak dan menarik semua kotak permainan sehingga jatuh berselerak atas lantai. Amukan budak kecil itu sebenarnya masih baru bermula. Dia lincah menuju ke rak lain dan membaling kotak-kotak yang lain.

"Allahu," sebut Ahmad yang berada di bahagian pakaian lelaki di saat dia mendengar bunyi hiruk pikuk di bahagian permainan. Kedengaran si ibu mula menaikkan suara dan menarik lengan anaknya yang seperti dirasuk hantu permainan.

Terkejut Ahmad saat dia tiba di bahagian permainan. Habis kotak permainan berselerak di atas lantai bagai dilanggar seekor kerbau.

"Penat je aku kemas elok-elok tempat ini semalam. Dah hancur balik," bebel Ahmad sendirian. Sebenarnya semalam Ahmad telah dipuji oleh Encik Douglas di hadapan semua pekerja kerana berjaya menyusun bahagian permainan sehingga kemas dan cantik walaupun itu bukan tugas hakiki Ahmad di Winners. Rupanya pujian yang diterima semalam adalah supaya Ahmad terus berusaha dan membuat kerja baik dengan lebih kerap.

Terlintas di fikiran Ahmad untuk mencekik budak kecil itu tetapi sedar hanya dia mencari rezeki di situ sebagai pekerja am bukannya sebagai penguatkuasa undang-undang sendiri. Si ibu kelihatan serba salah apabila menunduk untuk mengutip kotak-kotak di atas lantai. Setelah meminta maaf dengan muka yang terkulat-kulat, anak beranak itu berlalu pergi dari Winners.

Ahmad hanya melihat kelibat si ibu sehingga mereka lenyap dari pandangannya. Si ibu merupakan seorang remaja yang baru nak meningkat dewasa. Telatah ibu juga seperti remaja perempuan yang dahagakan perhatian tidak seperti seorang ibu yang kisahkan tentang anaknya. Mungkin ini satu daripada kisah ibu muda tanpa suami atau ikatan pernikahan di Canada. Kebebasan tanpa panduan yang tepat ada risiko dan harganya. Namun bukanlah bermakna keseluruhan sistem di sini telah rosak tetapi ada lompong yang perlu dilihat semula. Pergaulan bebas antara manusia dengan jelas ditegah oleh Allah S.W.T dalam kitab suci Al-Quran.

Disebabkan isu ibu muda semakin meningkat tetapi masyarakat pula tidak mahu mengikis nilai kebebasan yang dipegang selama ini. Maka mereka lebih mengutamakan "SAFE SEX dari SAVE SEX" di sini. Ini nilai yang dipegang oleh mereka. Walau bagaimanapun Ahmad bersyukur selagi mana bayi yang tidak berdosa dibunuh dek permainan nafsu remaja ibu ayah mereka.


Tuesday, January 8, 2019

Attention..... Baris Sedia

Ahmad melihat jam tangan dengan resah. Jarum jam sudah menunjukkan jam 7.15 pagi tetapi kelihatan rakan-rakan masih berjalan melenggang menuju ke gelanggang bola keranjang.

"Tidak boleh jadi ini," getus hati Ahmad.

Ahmad meluru laju ke arah Mus yang merupakan pengawas tingkatan empat di Sekolah Alam Muadzam.

"Maaf KP. Ramai pengawas yang sepatutnya bertugas tak dapat hadir," luah Mus terketar-ketar di hadapan Ahmad yang berdiri di hadapannya.

"Cepat. Lain kali kalau tak terkawal, cepat minta bantuan orang lain atau aku. Aku minta kau lead bukan bermaksud aku dah resign. Paham? Jom setelkan benda ni sebab aku nak kena jemput pengetua dalam 10 minit lagi," balas Ahmad sambil mengerut dahi.

Pagi itu terdapat sedikt masalah dengan sistem audio perhimpunan. Mus pula cuba menyelesaikan masalah sendiri mungkin ingin membuktikan kemampuannya tetapi perkara itu menyebabkan keadaan menjadi semakin kelam kabut. Pengetua pula amat sensitif dengan ketepatan masa. Jika terlewat sedikit pasti Ahmad yang datang menjemputnya di bilik perlu menghadap tazkirah yang pedas.

Pelajar yang sedang melepak di anjung pun kelam kabut di saat mendengar suara lantang Ahmad supaya semua orang beratur mengikut kelas masing-masing. Pengawas tingkatan 5 yang sebelum ini hanya berpeluk tubuh pun mula berlari-lari anak memastikan semua orang beratur setelah mendengar Ahmad sudah mula bertukar seperti singa.

"Assalamualaikum Tuan. Semua orang sudah sedia. Jemput tuan ke tapak perhimpunan," lafaz Ahmad sebaik menguak pintu bilik Pengetua.

Pengetua bangun sambil membetulkan tali lehernya. Matanya memandang ke arah jam dinding yang menunjukkan 7.28 pagi yang bermakna Ahmad tiba lebih awal dari waktu yang sepatutnya.

"Baris. Baris sedia," laung Ahmad sepenuh hati bagi memberi arahan kepada pelajar untuk berdiri tegap untuk nyanyian lagu Negaraku dan sekolah.

Ahmad tersenyum lega kerana keadaan kelam kabut tadi berakhir dengan baik. Dia terselemat lagi hari ini.

Mus pula hanya berdiri di atas pentas dengan wajah yang sugul walaupun Ahmad sudah menghadiahkan senyuman kepadanya.


Monday, January 7, 2019

Cawan Kantin

Zaki ke hulur hilir dalam kawasan kantin. Matanya melilau dari satu ke satu meja. Telatah Zaki menyebabkan sesetengah pelajar melihatnya dengan pandangan yang menjelikkan.

"Patut ke aku tinggalkan cawan ini atas meja atau aku bawa ke makcik Z untuk refund sekupang?" bisik hati Ahmad seraya memandang Ahmad yang pantas mengutip cawan yang ditinggalkan atas meja-meja kantin.

Di kantin Sek Men Jatir, harga secawan air minuman adalah lima kupang. Namun sekiranya, cawan tersebut dipulangkan semula ke makcik Z di bahagian minuman maka sekupang akan diberikan semula bagi setiap cawan. Sebenarnya langkah ini untuk menggalakkan para pelajar untuk mengemas meja dan memulangkan cawan ke tempat yang dikhaskan. Kantin bersih dan pelajar pun dapat insentif.

Kempen ini seperti lubuk emas bagi Zaki yang kebetulan datang dari keluarga yang kurang berkemampuan. Ahmad hanya mengenal Zaki secara luaran sahaja kerana berlainan kelas. Namun setiap kali dia melihat kelibat Zaki menolak basikal tua melepasi pintu pagar utama sekolah, Ahmad terkenang akan rakan baiknya iaitu arwah Mael.

"Ahmad. Hang dah habih minum ka? Aku amik cawang ang boleh ka?" soal Zaki sebaik sahaja Ahmad meneguk baki air minuman dalam cawan.

"Ambik la," jawab Ahmad secara tawar kerana dia sebenarnya ingin menghantar cawan itu untuk mendapatkan semula sekupang dari Makcik Z tetapi tidak sampai hati sebaik melihat kesungguhan Zaki.

Gelagat Zaki yang agak gelojoh itu ternyata menyebabkan sekumpulan pelajar perempuan mencebik bibir kerana tidak selesa dengan sikapnya. Di mata mereka, Zaki seorang yang gelojoh tetapi bagi Zaki pula ini peluangnya untuk mencari wang poket. Di mana lagi seorang pelajar boleh mendapatkan wang tambahan di sekolah secara percuma.

Seperti juga manusia yang lain, Zaki juga pasti mempunyai perasaan namun hati seperti keras untuk memikirkan persepsi orang lain. 

Sunday, January 6, 2019

Syurga

Salam,

Apa rupa syurga?
Kamu inginkan syurga?
Apa definisi syurga kamu?

Syurga kanak kanak. Mungkin?

Saturday, January 5, 2019

Suara

Ahmad melihat kotak ubat di atas mejanya.

Sampai bila? Entah berapa banyak lagi? Mungkin sampai mati?

Bila semua ini akan berakhir.

Orang lihat Ahmad sihat dan normal. Ahmad pun ingin percaya yang dia normal.

Tetapi tiada siapa tahu apabila ia berlaku.

Ahmad tidak kenal siapa dirinya. Malah Ahmad pun sudah agak letih untuk terus mencari jawapan.

Di malam hari, Ahmad terjaga mendengar suara itu dengan satu pakej perasaan sedih.

Dan Ahmad hanya akan menangis seorang diri dan berdoa ianya berlalu.

Kerana Ahmad tahu esok pastinya sang mentari akan muncul semula. Tiada sinar bagi insan seperti Ahmad tetapi besar erti bagi insan lain.

Sekiranya, Ahmad perlu terbakar untuk pastikan cahaya mentari itu dapat mencium pipi insan lain.

Maka Ahmad pasti akan lakukannya. Tiada untuknya tidak bermakna tiada untuk orang lain.

Tiada untuknya di sini mungkin Allah beri yang lebih baik di sana nanti.


Friday, January 4, 2019

Jadual Ubat

"Bila dah tua dan sakit memang macam-macam ubat kena makan. Yang penting jangan tinggal makan. Dah makan teratur then baru kita berdoa kepada Allah," ujar Wan Azmi yang juga merupakan boss kepada Ahmad.

"En Wan makan ubat-ubat ini sejak bila?" balas Ahmad cuba untuk memberi respon yang positif kepada bosnya.

Selalunya En Wan akan berbual selepas mesyuarat sambil makan ubat sekiranya moodnya baik. Walaupun Ahmad berada di pejabat yang sama dengan En Wan, agak sukar untuk dia berbual dengan En Wan.

Bagi kebanyakan staf, En Wan kelihatan pelik kerana gemar menyendiri walaupun ketika makan di kafe pejabat. Namun bagi Ahmad beliau bersetuju yang setiap individu sebenarnya perlukan masa kendiri atau dipanggil "ME TIME". Dengan jadual harian yang padat dan beliau berada di kerusi berkuasa yang memerlukan keputusan maka semestinya otak beliau akan menjadi penat dan kusut. Sebagai insan biasa kita tidak boleh membaca minda dan hati orang lain. Mungkin dengan mengelak dari makan bersama orang lain, beliau dari menambah masalah harian dalam otak beliau. Lebih baik mengelak jika kita tiada daya untuk menghadapi sesuatu.

"Biarlah orang nak keji atau kecam pun. Tak berkudis pun badan kita," pesan En Wan kepada Ahmad pada suatu dahulu.

Beliau mengingatkan Ahmad yang kita jangan terlalu risau dengan pandangan orang lain sehingga menggangu kerja atau keputusan yang bakal dibuat. Apa yang penting adalah buat perkara yang betul kerana hasil baik datang dari usaha yang baik.

"Apabila dah berusia. Kita perlu sedar badan pun sudah tua. Jagalah kesihatan baik-baik dan makan ubat ikut jadual," kata En Wan sambil menelan beberapa biji ubat beliau.

"Hehe. Badan kita pun macam transformer juga ye En Wan. Kena ada preventive dan corrective maintenance. Bila dah lama lagi banyak benda nak kena jaga," balas Ahmad sambil tersenyum.

Ahmad sedar yang beliau juga perlu terus memakan ubat yang diberi Dr. Sofia sehingga dia sembuh sepenuhnya. Jika orang patah kaki disuruh memakai tongkat dan melalui pembedahan untuk pulih berjalan. Maka adalah tidak wajar apabila pesakit mental seperti Ahmad diminta mendekatkan diri kepada Allah semata-mata untuk pulih.


Thursday, January 3, 2019

Penjual Nasi Lemak

Salam,

Makcik Bawang

Saya gelarkan beliau dengan nama demikian kerana sambal yang dijual oleh beliau mengandungi banyak bawang. Sangat banyak. Makcik ni suka bercakap dan bercakap.

Oleh kerana beliau menggunakan banyak bawang dalam sambal maka harga nasi lemak juga bergantung kepada harga pasaran bawang (ini statement makcik itu).

Makcik akan baca Quran saat menunggu pelanggan singgah di gerainya di pagi hari. Apa yang kurang digemari adalah Makcik suka mengeluh. Pada mulanya saya agak rimas tetapi sekarang saya cuba mendengar dan memberi respon seperti oooooo, aaaaa dan sebagainya. Mungkin Makcik stress dan penat bekerja dalam mencari wang untuk survival hidup.

Baru-baru ini Makcik gembira bercerita tentang beliau akan ke tanah suci untuk menunaikan umrah kali pertama. Sebenarnya lambat lagi tarikh penerbangan tetapi jelas terpancar riak wajah gembira Makcik apabila membuka bicara. Daripada ceritan beliau, beliau berjaya mengumpul wang umrah hasil dari pendapatan jualan nasi lemak.

Terkadang bantuan yang kita boleh berikan kepada orang asing adalah senyuman dan telinga yang mendengar.

Akak Nobody

Saya gelarkan beliau nobody kerana tidak tahu nama. Nak bertanya nama rasa tidak manis dan tidak perlu. Berlainan dengan Makcik Bawang, sambal nobody tidak mempunyai bawang yang banyak.

Nobody juga gemar bercakap tetapi belum pernah saya mendengar beliau mengeluh. Antara topik perbualan sama adalah keadaan trafik di hadapan gerai beliau. Ini bermaksud beliau hanya bercakap untuk menghidupkan suasana berbanding makcik yang perlu seseorang untuk melepaskan beban di dada.

Ada seorang lelaki yang saya agak suami kepada Nobody akan duduk dalam jarak 3 meter dari gerai. Beliau berpakaian selekeh dan menghembus asap rokok. Saya sebenarnya agak jelek melihat gaya suami yang langsung tidak membantu Nobody.

Hari ini saya ringankan mulut untuk menyapa sang suami. Rupanya beliau bekerja sebagai pengawal keselamatan yang waktu kerjanya berakhir jam 6.00 pagi hampir setiap hari. Dari matanya saya dapat rasakan beliau sebagai suami sebenarnya agak keberatan melihat isteri terpaksa berniaga untuk menampung kehidupan keluarga. Mungkin sedar dengan pandangan serong saya, sang suami pun menjelaskan yang beliau akan menemani isterinya sehingga jam 8.00 pagi bagi memastikan keselamatan isteri.

Kenapa beliau langsung tidak membantu isteri? Wallahualam. Mungkin beliau penat bekerja semalaman. Mungkin dia dah tolong tetapi kita manusia kerdil mana nampak kan?

Tetapi yang penting itu kehidupan mereka sekeluarga. Siapa kita sesuka hati untuk menghukum.

Saya bersyukur kerana tidak pernah pula bercerita tentang suami Nobody kepada sesiapa sebelum ini.


Semoga Akak Nobody dan Makcik Bawang sentiasa dimurahkan rezeki.

Wednesday, January 2, 2019

Rakyat Malaysia Baharu

Salam,

Hadiah bermakna tahun baru ini adalah larangan merokok di tempat makan. Alhamdullilah.

Akhirnya, manusia biasa ada hak untuk makan dengan selesa. Yang degil pasti ada tapi ini permulaan yang lebih baik.

Semasa singgah di kedai makan hari ini. Kelihatan beberapa orang yang kotak rokok atas meja tetapi tidak dicucuh. Ada seorang hamba Allah cuba nak mencucuh maka saya terus beri isyarat dan beliau akur.

Semoga perokok hormat hak manusia biasa.
Semoga peniaga juga jaga hak manusia biasa.
Semoga kerajaan istiqamah.
Semoga manusia biasa juga berani untuk menegur. We can do it.

Dan yang paling penting. Semoga perokok akan belajar berhenti merokok.

Tuesday, January 1, 2019

Perampas kartun

Salam,

Selamat tahun baru!

Hari pertama di tahun baru 2019.

Tiada lagi rancangan kartun jam 7.00-8.00 malam di TV9. Diganti dengan slot WoWShop yang bingit dengan bunyi panggilan telefon fake.

Di era disruptive technology rasanya stesen tv yang percuma memang dah tidak kisah dengan penoton. Pendapatan lebih penting untuk memastikan survival syarikat. Mungkin tahun depan pun Buletin Utama bertukar jadi Buletin WoW. Wallahualam.

Bagusnya, waktu Maghrib boleh guna masa untuk solat berjemaah dengan anak-anak. Lepas itu boleh spend quality time dengan keluarga. Cheers