Pages

Tuesday, October 27, 2009

Tidak perlu menjadi jembalang

Salam rakan-rakan,

Saya ada mendapat emel daripada hamba Allah agar saya membuat video tentang cara belajar supaya anaknya dapat mempraktikkannya dalam pembelajaran. Terima kasih di atas cadangan tersebut namun saya masih belum mampu melaksanakannya. Insya Allah saya akan membuat sambungan untuk edisi "Mari Belajar" di kala ada masa terluang.

Rakan-rakan yang dihormati sekalian,
  • Pertama sekali, mari kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Illahi di atas limpah kurnia-Nya terhadap diri kita.
  • Sesungguhnya kita perlu bersyukur kerana diberi nikmat menjadi seorang manusia seterusnya khalifah Allah di muka bumi ini. Alhamdullilah kerana kita juga diberi nikmat Islam dan Iman kerana untuk bertaqwa pada Maha Pencipta.
  • Kita hendaklah bersyukur dengan pemberian Allah kepada kita dan beringat segala pemberian ini hanya bersifat sementara sahaja. Oleh itu kita hendaklah menggunakan segala nikmat yang ada dengan sebaik-baiknya tetapi dalam batas yang ditetapkan oleh agama Islam.
  • Sebagai contoh, nikmat akal yang sempurna merupakan salah satu nikmat yang amat bernilai bagi seorang insan. Penggunaan akal membolehkan manusia membezakan antara hitam dan putih malah manusia berupaya untuk meningkatkan dirinya. Walaubagaimanapun, jika penggunaan akal itu tidak berlandaskan batas-Nya, bahana bakal menjelma. Malah kita juga akan leka terhadap Maha Pencipta yang memberi nikmat akal kepada manusia yang dikehendakiNya.
Kisah Jembalang
  • Setiap kali menjelang 31 Oktober, pasti ada peristiwa yang berlaku dalam lipatan hidup warga Edmonton. Pada hari ini, saya akan melihat manusia berkelakuan " bodoh atau kurang sempurna akal" berpakaian dengan cara pelik atas nama "COOL".
  • Adakah kita berpakaian pelik semata-mata ingin digelar "Cool" atau atas alasan " Just for fun guys". Aktiviti ini mungkin nampak menyeronokkan bagi insan yang mahu membutakan mata mereka. Persoalannya, adakah insan-insan ini menggunakan nikmat ALLAH itu dengan sebaiknya.
  • Islam tidak pernah menghalang umat daripada berhibur tetapi ada batas-batas yang perlu dipatuhi. Sebagai contoh, Islam melarang keras pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim kerana perkara sedemikian boleh mendatangkan fitnah dan pelbagai gejala sosial.
  • Ini bahananya jika kita terlalu mengagungkan akal dan kebebasan hak asasi manusia melebihi peraturan Yang Maha Esa.
  • Walaupun Al-Quran tidak menyebut yang Haloween haram disambut oleh umat Islam secara jelas tetapi umat Islam seharusnya menggunakan akal untuk menilai perkara yang baik atau buruk. Perkara asasnya mudah, jika mana-mana perbuatan kita itu bertentangan dengan mana larangan-larangan asas maka secara automatiknya perbuatan kita adalah salah
  • Ingatlah rakan-rakan yang Al-Quran itu bersifat universal maka jangan kita pertikaikan kandungannya. Jika terdetik rasa hebat melangkaui Al-Quran dalam diri maka saya cadangkan rakan-rakan bermuhasabah diri
Perihal Halloween:


Mari kita lihat beberapa soalan
  • Apakah tujuan kita yang bergelar muslim menyambut Halloween?
  • Apakah latar belakang sambutan tersebut?
  • Apakah aktiviti yang dilakukan pada sambutan tersebut?
  • Apakah kesan daripada menyambut Halloween kepada diri kita?
  • Adakah aktiviti ini menyihatkan badan?
  • Adakah aktiviti ini mendatangkan faedah?
Soalan tambahan:
1)Apakah perasaan rakan-rakan apabila melihat gambar rakan-rakan menyambut "Hallowen" tersiar di muka hadapan Berita Harian.

Jika....... rakan-rakan secara tidak sengaja menyambutnya di kelab malam

1) Apakah perasaan ibu/bapa rakan-rakan apabila membaca surat khabar yang mengatakan anak mereka terbunuh dalam kelab malam yang runtuh? Adakah ibu bapa rakan-rakan akan berasa bangga kerana anak yang dicintai terkorban di tempat "indah" sedemikian?

Jawapan:
  • Rakan-rakan pasti mempunyai jawapan yang baik untuk persoalan yang dikemukan di atas.
  • Rakan-rakan tidak perlu mempunyai taraf seorang mufti untuk mengetahui status sambutan "Halloween". Dengan menjawab soalan di atas saya pasti rakan-rakan yang mendakwa mempunyai akal yang sihat dan sempurna mampu membezakan kaca dan permata.
  • Jika ayat-ayat Al -Quran melarang kita terlibat daripada aktiviti-aktiviti tidak berfaedah seperti ini mengapa kita mesti membutakan minda hanya untuk mengecapi keseronokan? Ujian objektif seperti yang dilakukan di atas juga pasti memberi jawapan yang sambutan ini seharusnya dijauhi oleh umat Islam.
  • Ini membuktikan Islam itu bersifat memelihara kesucian umat-Nya. Peraturan yang digariskan bukan untuk menghukum tetapi untuk menjaga keharmonian umat secara khususnya
  • Mari kita renung hujah-hujah dibawah. Jika rakan-rakan masih berkeras dengan pendirian dangkal tersebut maka saya hanya mampu mendoakan agar rakan-rakan diberi hidayah oleh Allah.

“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.”
(Surah Al-Kafirun)

Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal-hal bersifat individu, misalnya dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan dan sebagainya. Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W. bermaksud :

“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.”

( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus.
(Al-Hajj ayat 67)


Penutup...

  • Saya fikir hujah-hujah yang diberi sudah cukup untuk memberi penjelasan kepada insan-insan yang masih mahu membutakan mata mereka untuk mengecapi keseronokan.
  • Perkara yang baik itu daripada Yang MAHA ESA manakala yang buruk itu datangnya daripada diri saya.

Notis: kepada rakan-rakan saya yang bukan beragama Islam. Bukan niat saya untuk memperkecilkan agama rakan-rakan. Saya menghormati agama yang dianuti oleh rakan-rakan tetapi saya percaya bahawa Islam ialah agama yang benar. Hormatilah agama saya dan berilah saya peluang untuk menjelaskan kesamaran yang berlaku di kalangan rakan-rakan Muslim. Semoga kita beroleh faedah daripada perbuatan kita.

Sunday, October 25, 2009

Mari Belajar

Salam rakan-rakan,

  • Ketika saya pulang ke Malaysia tempoh hari ada beberapa insan yang meminta saya berkongsi tentang cara saya belajar.
  • Ada seorang pakcik ini pernah bertanya kepada saya tentang perkara ini tetapi saya menjawab, " Tiada apa-apa yang istimewa pakcik, saya belajar macam orang biasa juga". Mungkin agak kecewa dengan jawapan saya, pakcik itu berkata "Anak tahu tak yang anak ni merupakan aset negara? Pakcik percaya nasib atau rezeki sahaja tidak akan membawa anak sampai ke tahap sekarang nie. Sekarang ini tanggungjawab anak untuk berkongsi ilmu dengan setiap insan yang memerlukannya. Anak tidak perlu berasa janggal atau berasa rendah diri dengan kemampuan anak sebaliknya bersyukur dan bertekad untuk membantu insan-insan lain untuk turut berjaya. Pakcik pun teringin nak lihat anak pakcik melanjutkan pelajaran di luar negara satu hari nanti. Jadi anak tidak perlu segan untuk berkongsi cara belajar anak dengan pakcik. Mana tahu cara anak ini akan membantu kecemerlangan anak pakcik". (Nota: ayat ini diformalkan. perbualan asal merupakan bahasa melayu pasar)
  • Seraya mendengar ayat pakcik itu, saya hanya mampu menelan air liur dan menggangguk sahaja. Bukan niat saya untuk enggan mendedahkan cara belajar saya tetapi saya merasakan teknik pembelajaran saya tidak begitu hebat. Namun setelah mendengar nasihat lebih panjang lebar saya pun membuat keputusan untuk berkongsi cara saya belajar bersama rakan-rakan.

Mengambil Nota
  • Baiklah rakan-rakan, saya mulakan dahulu dengan cara mengambil/menulis nota.
  • Secara jujurnya saya tidak pernah membaca nota saya untuk mengambil peperiksaan PMR /SPM kerana nota saya yang tidak lengkap dan tidak menarik.
  • Sebaliknya saya lebih suka membaca buku teks dan buku rujukan yang dibeli di kedai buku. Walaupunm saya telah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperikasaan tersebut tetapi saya percaya teknik belajar sedemikian tidak efektif.
  • Oleh itu, nota yang ditulis oleh kita mesti dalam keadaan menarik dan mudah difahami agar kita tertarik untuk membacanya dengan berulang kali.

a) Bahan-bahan membuat nota


A+ tidak mustahil!!!
  • Pen (sebaik-baiknya 3 warna yang berbeza.... Jangan melebihi 3 warna)
  • "Highligther" pen
  • Pembaris, pemadam, pensel
  • Kertas putih tanpa garis
  • Sebuah fail " binding"
Sebab-sebab

  • Kenapa perlunya warna pen yang berbeza? Saya ingin bertanya kepada rakan-rakan. Adakah rakan-rakan suka membaca buku "kejuruteraan" yang hanya mempunyai tulisan hitam putih atau sebuah buku yang diselitkan dengan grafik dan tulisan yang berwarna bagi beberapa isi-isi penting. Tetapi tolong pastikan bilangan warna tidak melebihi 3 warna!
  • Highlighter pen pula untuk rakan-rakan mengingatkan diri sendiri tentang beberapa isi penting yang disebut oleh pensyarah/guru atau yang ditemui oleh rakan-rakan ketika mengulangkaji nota.
  • Saya gemar menggunakan pen biru untuk nota biasa. Pen hitam untuk menulis tajuk utama atau jawapan kepada soalan contoh dalam kelas. Manakala pensel akan digunakan untuk melukis sebarang grafik dalam nota.
  • Penggunaan kertas putih lebih baik daripada kertas bergaris kerana ia bukan sahaja melatih rakan-rakan menulis teratur di atas kertas peperiksaan yang kosong tanpa garis malah ia mampu membuatkan grafik yang kelihatan lebih mudah untuk dibaca. Rakan-rakan akan mula melihat hasilnya setelah menggunakan kertas putih untuk beberapa ketika.

Yang mana lebih mudah dibaca?... Bayangkan anda mempunya grafik yang lebih kompleks daripada gambar di atas.
  • Menggunakan sebuah fail untuk menyimpan sebuah nota lebih baik daripada menggunakan sebuah buku nota. Ini disebabkan penggunaan fail memberi kebebasan kepada rakan-rakan untuk mengeluarkan nota tersebut dan juga menambah nota tambahan. Sebagai contoh, pensyarah telah menulis semua maklumat di papan putih dan rakan-rakan hanya menyalin semua maklumat yang ada ke dalam buku nota. Bayangkan apabila pulang ke rumah, rakan-rakan menyedari yang rakan-rakan perlu membuat lebih banyak latihan dan maklumat tambahan bagi memahami tajuk berkenaan. Dengan menggunakan fail dan kertas putih, rakan-rakan boleh memasukkan nota tambahan dengan mudah tetapi hal yang demikian tidak mungkin boleh dilakukan dengan sebuah buku nota.
  • Tambahan pula, apabila selesai mengulangkaji nota. Rakan-rakan boleh mengambil sehelai kertas bagi menulis semula maklumat yang dibaca dengan lebih ringkas(peta minda mungkin berguna) tanpa melihat kepada nota asal bagi memastikan rakan-rakan faham akan nota yang dibaca. Maklumat tambahan yang diperoleh daripada buku teks dan juga internet boleh ditambah dengan mudah ke dalam fail.Nota ringkas seperti ini amat kritikal untuk rakan-rakan bagi melakukakan persiapan terakhir untuk menempuh peperiksaan.
  • Selain daripada itu, penggunaan fail membolehkan rakan-rakan menyimpan "assignments", "lab report" dan kertas peperiksaan bersama dengan nota bagi memudahkan rujukan pada masa depan.
"Lab Report" dan "assignment" boleh diletakkan bersama dengan nota
Ini bukan contoh nota yang terbaik... Tetapi ia amat berguna buat saya

p/s: Saya tidak mengatakan penggunaan cara lain tidak baik tetapi saya hanya ingin berkongsi pengalaman saya bersama dengan rakan-rakan. Sebagai insan kita hanya mampu berusaha dan mencapai sesuatu dan selebihnya kita bertawakkal kepada ALLAH

p/s/s: Berdasarkan pengalaman saya, teknik ini banyak membantu saya memahami ilmu yang diajar dalam kelas berbanding teknik yang digunakan saya sebelum ini.

p/s/s/s: Terpulang pada rakan-rakan untuk menilai kemampuan diri sendiri

p/s/s/s/s: Selamat mencuba jika rakan-rakan meraasakan belum melakukan yang terbaik.


Monday, October 12, 2009

Album berhabuk

*Amaran: Penggunaan Bahasa Melayu tidak formal

Salam cucu-cucu Atok Akmal...

Ini gambar-gambar atok masa muda-muda dulu. Dulu atok memang hensem tetapi sekarang ni walaupun dah tua masih kacak juga. hehe.

Kalo cucu2 x percaya, pg la tanya nenek2 yea. nak tnya nenek yg no . 1 bleh. yang no 2 pun bleh.. no 3 bleh jgak.... no 4 lg la bleh.... tp no. 5 xde la plak. hehehe. Cucu2 semua jgn marah atok yea. atok gurau je.. atok korang ni cuma setia kat nenek korang je... korang suma kena la ikut atok korang nnti yea..

Meh atok cite sejarah gambo atok akmal skit.

Gambo ni atok amik tym lepas atok abis high school. Ish.. atok pun x ingat nama skolah atok nie... tp skolah atok ni suma laki la... tp atok jumpa ramai jugak kawan pompuan. nak tau cmna atok jumpa kawan pompuan? tgk rambut atok... dari jauh lg org dah kenal atok :D.


Gambo ni tym bile yea? atok ni dah x brape nak hengat... tp rasanya gambo ni tym atok masa Kugiran Melor Merah (Kumpulan Gitar Rancak). Pergh... cucu2 semua musti malu kalo ada nama band camtue kan.. tp masa atok dulu.. melor merah ni mmg meletop abis. Masa mula2 wat group lu, kugiran ni stat dgn atok ngan atok amad je... atok amad ni mmg legend habis la tym tue dgn suara dia... tp kan atok ngan dia x lama pun... dia x puas ati ngan atok.. dia kata suara dia sodap dr suara atok tp atok dapat lg byk poskad dari fans... lepas tue atok amad ni teruih fly ke jerman... atok x sure la dia kena culik ke dia pg sndiri... yg atok tau la nie.. dia dah jdik orang kaya kat sana...

Cucu2 penah x tgk cite lama yg kalo dorang menari jari tunjuk ke atas smbil punggung goyang2 skit. hoho... gambo ni atok ambil tym besday party member atok. mmg x hengat la kalo mnari tym tue.. tp atok baek skit... atok pg lepas isya n balik sblum pukul 11... kalo atok tau cucu2 pg parti ntah hape, atok kasik penyapu yea. Masa ni pun ade cite menarik gak... atok ade mmber nama atok ALI.... atok ali ni terer wat tarian hip hop.. tp masa tue sape nak layan tarian hip hop lg daa... skunk ni baru atok tau yg atok ALI tue la pengasas tarian hip hop.... Sebab x puas hati ngan atok... asal atok nak mnari je atok ali ni pg shutdown letrik.. hehe


cucu2 sekalian musti ingat atok akmal ni asyik dgn hiburan je coz dok promote gambo tym seronok je... x baek woo korang wat tuduhan liar kat atok korang nie.. yang gambo nie... atok ambil masa atok pg interview scholarship Syarikat Mentol Indah... Haish.. atok pun pelik kan... nama dulu2 simple je kan... melor merah la.. Mentol Indah la... Laen ngan cucu2 zaman skunk nie.. nama suma dah power2. Syukur alhamdullilah, atok dapat sambung belaja kat Uganda dalam teknologi pembuatan ayat-ayat cinta. eh silap.. teknologi mentol daa. gambo atok yg sblum x de pakai spek kan? haha. terer x atok ubah stail bg nampak cam bdk baek.

Ini plak gambo atok jdik cikgu disiplin 'sementara' kat skolah bdk2 nakal. apsal atok jdik cikgu plak? nak wat cmna cucu2, tym tue ekonomi gawat skit so atok kena pnggil balik ke mesia. bagus la jgak kan. kalo dok lama2 kat uganda x pasal korang dpat nenek uganda.. nnti korang nyumpah atok plak.. dah atok borink sgt tersadai kat umah, atok pun jdik la cikgu kat skool tue.. Even nmpak baek, tp suma bdk takut. bdk laki je la... yg bdk pompuan suka plak kat atok. atok pun x tau apsal.

Lepas atok dah borink dok tibai bontot bdk2 nakal kat skool ngan batang paip... hahaha. ganas x atok? korng try la carik pasal.... atok pun smbung blaja balik kat UK.. Ulu Kelang la... atok mana ade duit nak sambung blaja kat tempat minah salleh nie. Akhirnya, cita-cita atok utk jdik sorang engineer pun tercapai. Ni gambo atok akmal tym graduation day... nak kasik ensem punya pasal atok mintak amoi cina ni wat rambut atok (semangat kan atok korang nie?). mula2 amoi tue ckp kena byr RM 20 tp lepas atok tenyeh mata kanan sbb ade habuk masuk ttba je amoi tue senyum n ckp... xpe i kasi u free,,, atok x paham... tp skunk atok dah paham..haish... kalo atok paham tym tue musti korang dah ade darah cina skit. hoho.


Musti cucu2 tertnya gambo mana yang wat nenek korang syok abis kat atok kan? pstu tym bila atok kenal nenek korang...kalo kat uganda musti nenek korang uganda kalo kat kedai rambut musti nenek amoi kan. hoho... pstu cucu musti ckap... kitorang yang nak tau atau atok yg teringin nak citer? hehe

Kesah idup atok yang laen nnti atok cite yea....atok x sempat nie... atok nak pg kuar jalan2 dgn nenek jap. Stadi leklok yea cucu.... Ingat pesan atok nie.... Bila belajar jgn maen, Bila maen jgn maen maen....



p/s: cerita adalah rekaan semata-mata bg tujuan hiburan saya di waktu stress.hehe

p/s/s: maafkan daku kalo guna nama korang... at least aku promote korang kat blog aku

p/s/s: Aku kehilangan korang punya link.... haish... kalo korang x kesah... ksik la balik link korang yea kat aku

Thursday, October 8, 2009

Hebat

Salam rakan-rakan,

  1. Di saat saya menulis 'post' ini saya masih belum menyiapkan 'assigment' yang perlu dihantar hari Jumaat ini. Walaubagaimanapun dek kerana hati terdetik untuk meluahkan pendapat saya gagahkan tangan menaip 'keyboard'.
  2. Dahulu masa saya di tahun pertama, hampir kesemua peperiksaan akhir saya diadakan di 'Butterdome' atau gimnasium. Namun begitu, apabila melangkah ke tahun kedua saya tidak lagi menduduki peperiksaan di ' Butterdome'. Apa-apa pun saya lebih gemar jika peperiksaan diadakan di kelas bukannya di 'Butterdome' kerana suasana peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia benar-benar merisaukan saya.
  3. Saya pernah bertanya kepada rakan saya," Apakah kita perlu meninggalkan dewan peperiksaan jika siren berbunyi?" Pada ketika itu, saya berpendapat siren itu mungkin menjadi penyelamat bagi pelajar-pelajar yang kebingungan menjawab soalan. Namun begitu, semua ini hanya telahan nakal saya dan saya tidak pernah berharap perkara buruk seperti itu berlaku

Kisah di Tanah Air Tercinta

  1. Untuk makluman rakan-rakan, para pelajar sedang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah(PMR) pada ketika ini. Semoga adik/anak/rakan/saudara kita dapat melakukan yang terbaik dalam peperiksaan ini.
  2. Saya terkesima membaca tajuk akhbar yang menyatakan pelajar membakar dewan sekolah yang menjadi tempat peperiksaan PMR.
  3. Mungkin pelajar berkenaan cuba mensabotaj PMR di sekolah kerana beliau tidak yakin dengan kemampuan dirinya. Namun begitu, cubaan tersebut gagal kerana PMR tetap diteruskan tetapi kejadian ini ternyata memberi kesan kurang baik kepada rakan sebaya.
  4. Pihak polis mungkin dapat menahan suspek tetapi apakah hukuman setimpal yang patut diberikan kepada seorang pelajar berusia 15 tahun? Tambahan pula berdasarkan 'common law' ibu bapa tidak boleh dipertanggungjawabkan secara terus atas kesalahan anak mereka. Bagaimana pula dengan kerugian yang dialami oleh pihak sekolah?
  5. Yang berhormat boleh menggubal undang-undang bagi memastikan undang-undang terus berada di tempat yang sepatutnya. Persoalan yang ingin saya bangkitkan adalah mengenai sikap para pelajar yang semakin membimbangkan.
  6. Saya pasti rakan-rakan juga bersetuju yang tindakan undang-undang secara tegas tidak mungkin menjanjikan penyelesaian yang terbaik. Kita perlu mencari sebab yang mendorong pelajar berkenaan bertindak ganas sedemikian.
  7. Jika pada masa dahulu, pelajar yang kurang keyakinan diri lebih banyak berdiam diri tetapi keaadaanya ternyata berbeza pada hari ini. Pelajar dengan sewenang-wenangnya memilih cara yang salah untuk memberontak bagi mencari penyelesaian mudah.
  8. Saya masih ingat pada waktu saya bergelar murid sekolah rendah. Guru dihormati seperti ibu bapa di rumah. Malah, kami juga menerima hukuman guru dengan hati yang terbuka kerana faham yang guru bertujuan baik dalam mendidik anak bangsa. Namun, pada hari ini rasa hormat terhadap guru ternyata pada tahap rendah. Malah, sesetengah pelajar sudah berani untuk memberontak kepada guru secara terang-terangan.
  9. Memang benar dunia makin berubah dan manusia tentu berubah. Namun begitu, perlukah kita melihat elemen-elemen begini wujud di kalangan pewaris negara?
  10. Jangan kita menyalahkan nyamuk mengigit anak-anak kita jika kita sendiri membuka pintu dan tingkap dengan luas seolah-olah menyambut kedatangan nyamuk.
  11. Jangan juga kita hanya menyalahkan kucing memakan ikan goreng kita jika kita sendiri menghidangkan ikan tersebut di matanya.
  12. Kita perlu beringat manusia cenderung untuk bertindak setelah melihat hasil yang terdahulu. Tidak mustahil kejadian yang sama bakal berulang di sekolah lain pada masa depan.
  13. Jika dahulu punk,skinhead,gothic, beruk makyeh hanya menular di pusat-pusat bandar tetapi trend ini sudah menggila di pelusuk negara. Masalahnya siapakah yang menjadi mangsa?
  14. Mari kita umpama kan kemasukan elemen-elemen/ budaya barat yang negatif ini sebagai takungan air di sebuah empangan. Bayangkan jika air ini dilepaskan secara melampau dan tanpa kawalan. Apa nasih rakyat di kawasan tanah rendah.
  15. Sebagai penduduk di kawasan tinggi kita mungkin terus tersenyum kerana kita punya kuasa untuk terus melihat ke bawah. Kita juga mungkin tersenyum kerana air itu tidak menjejaskan singgahsana kita yang tersergam indah.
  16. Namun begitu, limpahan air yang melampau pasti akan menjejaskan penduduk tanah tinggi. Akibatnya, mahligai mereka juga pasti menyembah bumi. Pada saat itu, mereka hanya berputih mata dek kealpaan mengawal limpahan air.
  17. Semoga kita diberi kekuatan untuk melawan anasir-anasir yang ingin memusnahkan kita.

Wednesday, October 7, 2009

kenapa suka E E


Terima kasih kepada orang yang meletakkan subjek-subjek ini sebagai subjek wajib E E

Monday, October 5, 2009

Jiran

Salam rakan-rakan,

  1. Entah kenapa semester ini saya rasa tidak sabar menunggu kerpasan salji turun dari langit Edmonton. Rakan saya yang bernama Abd Rahman pun sudah tidak sabar untuk mengeluarkan 'snowboard' sakti yang sudah sekian lama disimpan dalam beg.
  2. Insya allah tahun ini saya dan rakan-rakan akan berkunjung semula ke Jasper untuk bercuti. Jika pada tahun yang lalu, kumpulan kami agak kecil tetapi saya percaya tahun ini akan lebih meriah.
  3. Apabila disebut sahaja tentang Jasper atau Marmot Basin, saya teringat tentang beberapa insiden yang menimpa rakan saya iaitu Fuad dan Abd Rahman. Jika dikenang kembali, peristiwa ini agak menggelikan hati.
Indonesia
  1. Indonesia sekali lagi ditimpa bencana alam dalam bentuk gempa bumi. Natijahnya ramai yang terkorban dan ramai kehilangan tempat tinggal sama sekali. Seperti biasa Malaysia sebagai jiran yang prihatin telah menawarkan pelbagai jenis bantuan bagi meringankan beban manga tragedi gempa bumi.
  2. Namun begitu, saya agak kesal dengan sikap segelintir besar rakyat Indonesia yang berlagak seolah mereka perajurit ibu pertiwi dengan cuba mengeruhkan hubungan Malaysia-Indonesia. Mereka ini sanggup menandatangi borang sukarelawan bagi berperang dengan Malaysia tetapi mereka tidak sedar yang mereka sepatutnya membanting tulang dengan membantu saudara mereka yang ditimpa malang.
  3. Saya agak pelik apabila melihat Malaysia dituduh sebagai pencuri oleh segelintir rakyat Indonesia hanya disebabkan beberapa isu yang remeh. Jika dilihat daripada sejarah, ternyata Nusantara Melayu mempunyai banyak persamaan. Oleh itu, tidak mustahil jika terdapat budaya yang seakan-akan sama antara Malaysia dan Indonesia. Malah, terdapat kaum di Malaysia seperti Minang memang terbukti berasal dari Indonesia.
  4. Sepatutnya Indonesia harus berbangga dengan persamaan budaya yang wujud antara Malaysia dengan Indonesia.Persamaan ini tidak sepatunya dijadikan isu yang mengelirukan rakyat yang kurang berpengetahuan.
  5. Seharusnya, Indonesia berterima kasih kepada Malaysia kerana samada rakyat Indonesia sedar atau tidak mereka perlu menerima kenyataan yang Malaysia merupakan syurga bagi kebanyakan rakyat Indonesia bagi mencari rezeki.
  6. Saya sedar kes penderaan pembantu rumah warga Indonesia merupakan isu yang digunakan oleh media dangkal Indonesia bagi meniup api kebencian di kalangan rakyat Indonesia. Namun begitu, media dangkal ini tidak harus membuat laporan berat sebelah hanya semata-mata ingin melariskan jualan surat 'jelek' mereka itu.
  7. Pada asasnya, kedatangan warga Indonesia juga membawa kesan buruk kepada Malaysia.Sebagai contoh, kerajaan terpaksa membelanjakan berjuta-juta ringgit setiap tahun bagi menguruskan kebanjiran warga Indonesia. Kos ini termasuk kos penguatkuasaan, kos pusat tahanan dan kos penghantaran pulang warga Indonesia.
  8. Malah, golongan ini juga mempunyai kecenderungan untuk melakukan jenayah di bumi Malaysia. Persoalannya, adakah rakyat Malaysia cuba melancarkan provokasi bagi menghalau warga Indonesia dari Malaysia? Sehingga hari ini, warga Indonesia masih lagi bebas mencari rezeki tanpa sebarang ancaman dari rakyat Malaysia.
  9. Saya amat kesal dengan kerajaan Indonesia dan media Indonesia yang gagal menjelaskan situasi sebenar kepada rakyat mereka. Malah kerajaan Indonesia juga seolah-olah cuba memprovokasi Malaysia walaupun pada hakikatnya mereka masih menafikannya.
  10. Saya berharap rakyat Indonesia bersyukur kerana di saat mereka ditimpa malang, jiran mereka masih sudi menghulurkan bantuan. Seharusnya bantuan tersebut diterima dengan hati yang terbuka agar golongan yang memerlukan mendapat maanfaat.
Gadis kecil ini masih terlalu muda untuk mengenal erti hidup.

Malaysia

  1. Walaupun sentimen anti Indonesia kurang ketara di Malaysia, namun isu-isu yang dimainkan oleh pihak Indonesia ternyata membakar hati sebilangan rakyat Malaysia.
  2. Walaubagaimanapun, saya rasa bersyukur kerana sehingga hari ini tidak wujud sebarang gerakan dari Malaysia untuk memprovokasi Indonesia kerana tindakan tersebut itu hanya membawa kepada keburukan.
  3. Bait-bait perpecahan ini amat disukai oleh musuh-musuh Islam kerana ia hanya mempercepatkan proses membinasakan Islam.
  4. Syabas kepada kerajaan Malaysia yang tidak terlalu menumpukan kepada isu provokasi Indonesia sebaliknya lebih kepada isu kemanusiaan mangsa gempa bumi walaupun pada masa yang sama Susilo Bambang Yudhoyono dengan bangganya mengisytiharkan kemenangan batik sebagai milik Indonesia. Persoalannya, apa gunanya raja memiliki sayap emas jika gagal rakyat menangis di serang sang garuda?
  5. Namun begitu, saya agak kesal dengan sebilangan rakyat Malaysia yang seolah-olah gembira melihat Indonesia dilanda gempa bumi. Mungkin terlalu geram terhadap provokasi Indonesia, kumpulan ini dengan mudahnya mengatakan rakyat Indonesia wajar mendapat balasan sedemikian.
  6. Saya ingat mengingatkan kepada rakan senegara yang malang tidak berbau. Kita seharusnya bermuhasabah diri tatkala melihat saudara kita ditimpa bencana. Mungkin hari ini cerah tetapi langit tidak selalunya cerah.
  7. Tidak adil bagi kita mengadili saudara kita di Indonesia hanya kerana segelintir golongan dangkal yang hanya pandai bermain kata-kata dan buluh runcing. Sebaliknya, kita mesti mengambil peluang ini untuk beramal jariah dan menginsafi diri yang banyak melakukan dosa.
  8. Rakyat Malaysia perlu bersyukur kerana kedudukan Malaysia yang dilindungi oleh Sumatera. Pulau Sumatera bertindak seperti perisai kepada Semenanjung Malaysia daripada ancaman tsunami dan gempa bumi. Bayangkan nasib Malaysia jika gempa bumi berlaku dan Pulau Sumatera tidak pernah wujud dalam peta dunia?
  9. Mari kita sama-sama mendoakan saudara kita di Indonesia agar mereka terus tabah menjalani kehidupan dan teguh beriman kepada Allah S.W.T


p/s: Rasa amat gerun melihat peristiwa gempa bumi di Padang
p/s/s: Amat berharap hubungan Malaysia-Indonesia jernih kembali