Pages

Wednesday, November 18, 2009

Jika saudara/saudari ingin mendengar

Salam rakan-rakan,

Alhamdullilah kerana kita masih lagi diberi peluang oleh yang MAHA BERKUASA untuk meneruskan hidup di muka Bumi ini.


Salah Faham

  • Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan beberapa perkara yang adakalanya menjadi menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam.
  • Sebelum itu ingin saya tegaskan disini bahawa saya bercakap atas kapasiti saya sebagai hamba Allah yang cuba memperbaiki diri dan masyarakat. Di samping itu juga saya ingin rakan-rakan menegur kesilapan saya agar saya dapat meningkatkan iman saya.
  • Rakan-rakan yang dihormati sekalian saya juga ingin menegaskan bahawa seseorang hamba Allah tidak perlu menjadi 100 % sempurna untuk menegur hamba Allah yang lain. Jika kita mempunyai pemahaman yang sedemikian maka tugas dakwah Islamiah hanya layak dilakukan oleh para RasulNya sahaja.
  • Saya menolak untuk mengisytiharkan diri saya sebagai Rasul Melayu seperti mana yang dilakukan oleh seorang insan di Malaysia hanya kerana ingin mendapatkan status pendakwah. Saya percaya amar maaruf nahi mungkar itu tanggungjawab setiap mukmin.
  • Namun yang demikian, seorang pendakwah harus berusaha untuk membaiki diriNya agar beliau lebih dihormati oleh masyarakat. Walaubagaimanapun, adakah rakan-rakan sanggup melihat kemungkaran berlaku di hadapan mata rakan-rakan hanya semata-mata bukan bergelar pendakwah secara rasmi. Tepuk dada tanya hati.
Masam Manis
  • Siapa makan gula dia rasa manis. Alhamdullilah jika kita masih mampu mengesan rasa manis. Namun apa salahnya jika kita meluangkan sedikit masa untuk memikirkan tentang rasa manis tersebut. Adakah manis itu mempunyai kesan yang baik kepada kita? Atau mungkin kita perlu memanjatkan kesyukuran kerana masih ada orang sanggup menghasilkan gula agar kita boleh membancuh secawan kopi
  • Rakan-rakan yang dihormati, saya merayu kepada rakan-rakan yang mengamalkan dasar fikiran terbuka dalam hidup agar tidak mengasing metodologi islam dalam kehidupan seharian.
  • Jika kita mengaku berfikiran terbuka tentang aspek kehidupan seperti sosial dan fesyen, mengapa kita harus melenting apabila disentuh mengenai aspek keagamaan? Jika kita dengan mudah menerima budaya-budaya asing tanpa melakukan sebarang tapisan, mengapa kita kadangkala begitu allergi apabila mendengar kata-kata dakwah Islamiah?Benarkah kita berfikiran terbuka atau kita sebenarnya sudah menjangkaui tahap kebebasan terlebih batas?
Panduan

  • Rakan-rakan yang dihormati, kita amat bersyukur sekali kerana mukjizat agung MUHAMMAD iaitu Al-Quran masih wujud untuk panduan umat sejagat.
  • Malah kita juga diwariskan dengan hadis-hadis sebagai panduan tambahan dalam menjalani kehidupan sebagai seorang mukmin.
  • Saya amat bersyukur apabila rakan-rakan yang cuba dinasihati saya menggunakan nama Rasullah bagi mempertahankan dirinya. Alhamdullilah kerana rakan-rakan mengiktiraf kemuliaan kekasih Allah ini.
  • Insya Allah hidup kita akan lebih sempurna jika hidup berpaksikan Al-Quran dan Hadis. Tetapi saya ingin mengingatkan sekeras-kerasnya bahawa tidak wajar kita menggunakan Hadis / Al-Quran bagi mempertahankan kesilapan dan kemungkaran kerana sesungguhnya perkara yang baik daripada ALLAH manakala yang buruk datang dari kehilafan diri kita.
  • Sebagai contoh, jika kita boleh menggunakan cara dakwah Rasullah ini bermakna kita mengetahui dan mengiktiraf dakwah Rasullah. Namun mengapa kita tidak mengambil intipati dakwah tersebut dalam kehidupan kita? Adalah lebih mengecewakan apabila kita menggunakannya untuk mempertahankan tindakan yang kita sendiri akui sebagai salah.
  • Sebagai contoh yang mudah. Seorang laki yang tidak adil, tidak mampu dan zalim mahu mengamalkan poligami atas nama Sunnah. Soalan saya, adakah lelaki ini meletakkan Sunnah ini ditempat yang sepatutnya?
Binatang
  • Mungkin apabila kita meluangkan sedikit masa untuk menghayati Al-Quran dan Hadis kita akan melihat nama-nama binatang disebut dan bagaimana nama-nama makhluk tersebut digunakan untuk mengingatkan manusia.
  • Sebagai contoh
Daripada Abu Malik Al-Asy'ari r.a. bahawasanya ia mendengar Rasulullah saw. bersabda, "Sesungguhnya ada sebahagian dari umat ku yang akan meminum thamar dan mereka menamanya dengan nama yang lain (mereka meminum) sambil dialunkan dengan bunyi muzik dan suara artis-artis. Allah swt. akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa) dan Allah swt. akan merobah mereka menjadi kera atau babi".

H.R. Ibnu Majah

Intipati hadis

Maksudnya, akan ada di kalangan orang Islam ini yang meminum khamar dan mereka mengatakan bahawa yang diminum itu bukanlah khamar. Ia hanyalah sejenis minuman yang dapat menyegarkan badan atau yang dapat menghilangkan dahaga. Mereka akan memberikan suatu nama kepada minuman ini yang menunjukkan bahawa ia bukan khamar, tetapi sebenamya ia adalah khamar yang telah diharamkan oleh syara'.

Kemudian, menjadi kelaziman pula, suasana mabuk itu akan disertai dengan alunan muzik dan juga nyanyian artis-artis kenamaan.

Rasulullah saw. menerangkan bahawa golongan ini akan ditimpa gempa bumi atau tubuh badan mereka diubah kepada bentuk kera atau babi.

Sangat benar sabdaan Junjungan Besar Nabi saw. ini. Gempa bumi demi gempa bumi yang berlaku di beberapa tempat di dunia ini sebagai satu seksaan daripada Allah swt. dan jikalau golongan ini belum sampai keperingkat diubah bentuk badan mereka menjadi kera dan babi tetapi perangai dan cara hidup mereka sudah banyak menyerupai perangai dan cara hidup kera dan babi.

  • Rakan-rakan yang dihormati sekalian, luangkan masa kita untuk memberi sedikit ruang kepada islam dalam minda kita agar kita tidak terus hanyut dibuai kealpaan.
  • Fikirkan kembali adakah benar pemahaman kita bahawa Islam hanya membenarkan dakwah secara lemah lembut semata-mata? Jangan kita silap mengukur kedalaman laut jika kita sendiri tidak pernah menjejakkan kali ke laut.
Akhir
  • Saya lega kerana saya masih mampu menegur tatkala melihat kehilafan seorang mukmin yang lain. Namun begitu, saya merasakan tanggungjawab untuk menegur ada batas-batas yang tertentu.
  • Saya tidak setabah RAsullah yang tetap berdakwah biar dilempar batu, najis dan kata-kata kesat. Sekurang-kurangnya saya sudah melakukan apa yang termampu untuk membaiki kesalahan diri saya dan rakan-rakan.
  • Mungkin sesetengah pihak merasakan saya hanya mencari kesalahan mereka semata-mata. Maafkan saya atas kehilafan saya. Sesungguhnya saya tidak dibayar JAKIM mahupun mana-mana badan dakwah untuk melaksanakan amar maaruf nahi mungkar.
  • Saya hanya mengharapkan agar tanggungjawab dakwah ini dapat mempersiapkan diri saya dengan tanggungjawab yang lebih besar di hari kelak.
  • Seorang rakan karib saya dari Jerman memberitahu saya " kadang-kadang kita berusaha sebaik mana pun mungkin kita gagal mengubah seorang manusia.Namun dengan kehendak Allah, beliau akan beroleh hidayah. Oleh itu mari kita mendoakan kesejahteraannya".
  • Jika rakan-rakan merasakan tindakan yang dibuat adalah betul maka saya hanya mampu berdoa memandangkan tentangan dari rakan-rakan sendiri.
  • Sebelum itu saya merayu pada rakan-rakan untuk menghayati ayat Al-Quran ini.
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagimu. Boleh jadi kamu menyayangi sesuatu padahal ia buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." Surah al-Baqarah, ayat 216
  • Izinkan saya mengundur diri. Semoga kita beroleh manfaat daripada amalan kita

Friday, November 13, 2009

Video lama







p/s: saya rasa nak ketawa bila menonton kembali video ini.