Pages

Thursday, May 28, 2009

Bagai Harimau tanpa gigi dan kuku

Salam rakan-rakan,

Selepas ayat salam di atas, semestinya rakan-rakan akan menjangka ayat "kebiasaan" saya iaitu permohonan maaf kerana tidak "mengemaskini" blog ini sekerap seperti yang dijanjikan. Alasannya tidak perlu saya terangkan dengan lebih lanjut kerana rakan-rakan pasti sedar akan status saya sebagai pelajar sepenuh masa.



  • Saya amat terkejut apabila membaca akhbar tentang nasib 3 orang peminjam "Along" yang dilayan lebih teruk daripada binatang. Anjing pun tidak dirantai sepanjang masa dengan rantai yang sebesar itu. Bagi sesiapa yang kurang peka dengan istilah "Along", ia bermaksud golongan pemberi hutang yang tidak mempunyai lesen. Golongan ini amat mudah memberi pinjaman kepada mana-mana pihak tetapi mereka juga tanpa segan silu akan menggunakan kekerasan bagi mendapatkan hutang bersama dengan bunga yang amat tinggi.


Sumber Berita Harian

  • Sebagai pembaca dan juga rakyat Malaysia, terlintas beberapa soalan di kotak minda saya ketika membaca berita yang menyedihkan ini. Ini bukannya kejadian pertama membabitkan kerakusan golongan yang tidak menghormati undang-undang negara.
  • Sebelum ini kita pernah disajikan dengan pelbagai berita yang terpampang di dada akhbar-akbar perdana mengenai "Along". Mereka ini bertindak seolah-olah nyawa insan yang meminjam wang daripada mereka terletak sepenuhnya dalam tangan mereka.Penjenayah ini seolah-olah berpijak di bumi yang tiada undang-undang.
  • Sesetengah pihak mungkin akan menuding jari kepada golongan peminjam kerana kealpaan mereka meminjam daripada "along" yang akhirnya menjerumuskan diri dan keluarga ke arah kemusnahan. Memang benar ada sebahagian peminjam ini membuat pinjaman setelah kalah berjudi tetapi adakah semua peminjam sanggup menjerat diri hanya kerana judi? Sudah tentu jawapannya tidak. Amat mudah untuk kita menyalahkan orang lain lebih-lebih lagi apabila perkara sebegitu tidak menimpa diri kita.
  • Kos hidup pada masa kini merupakan salah satu penyebab yang menekan sang peminjam untuk berkasih sayang dengan along. Persoalannya, sanggupkah seorang ibu atau ayah melihat anaknya kebuluran kerana tiada bekalan makanan yang mencukupi? Sanggupkah insan yang bergelar ibu/bapa ini melihat anak mereka tidak bersekolah dek kerana kemiskinan yang menghimpit hidup. Sesetengah daripada kita mungkin mudah berkata kata kerana kita dilahirkan dalam keluarga yang bahagia dengan segalanya serba lengkap. Namun begitu, sedarlah tidak semua orang mempunyai nasib yang sama seperti kita.
  • Seperkara lagi, saya agak tertarik dengan beberapa pendapat beberapa insan yang menyalahkan golongan peminjam kerana malas berusaha demi mencari rezeki. Memang benar yang rezeki Allah itu ada di mana-mana sahaja.Tetapi sedarkah kita apakah jenis pekerjaan yang mampu dilakukan oleh seorang bapa yang hanya berkelulusan UPSR dan mempunyai anak seramai 5 orang. Berapa ringgit yang mampu dicari oleh bapa dengan kelulusan yang ada walaupun terpaksa membanting tulang pagi dan petang?
  • Kalau tiada permintaan pasti tiada bekalan. Saya bersetuju yang jika tiada peminjam pastinya tiada pemiutang.Namun begitu, adakah kita sebagai golongan intelektual berpeluk tubuh melihat norma kehidupan yang teruk ini terus berlaku? Jangan lupa bahawa kemiskinan melampau antara penyebab kepada masalah kronik ini. Jika kita ingin menghapuskan penyakit ini, kita harus membasmi kemiskinan terlebih dahulu sebelum ianya bertukar menjadi kanser amat sukar diubati.
  • Semestinya tanggungjawab untuk menghapuskan kemiskinan ini terletak kepada bahu semua pihak terutamanya pemerintah dan golongan intelektual. Jika kita mengaku kita pemimpin rakyat yang tidak kering dengan slogan dan tema, sila lupakan nikmat dunia bagi merasai penderitaan rakyat agar kita tidak disoal dengan di akhirat. Jika kita mengaku kita golongan intelek, bijak dan rasional, lakukan sesuatu untuk membantu rakyat-rakyat yang kurang bernasib baik. Kalau kita asyik berbangga dengan segulung ijazah tetapi hanya mampu menuding jari kepada insan yang berkelulusan UPSR, saya berpendapat ijazah tersebut harus dibakar sahaja.
  • Apakah yang mampu dilakukan oleh kita untuk mengubah keadaan ini? Jika kita mengaku kita adalah rakyat Malaysia, kita seharusnya sedar mengenai peranan dalam memerangi sebarang bentuk jenayah dan penindasan terhadap mana-mana pihak. Saya tidak akan menghuraikan dengan lanjut mengenai perkara yang patut dilakukan oleh kita kerana ia bukannya tajuk utama "post" saya ini.

Tajuk utama: Kedaulatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan

  • Undang-undang umpama harimau tanpa gigi dan kuku jika undang-undang tidak diletakkan di tempat yang sepatutnya. Adakah rakan-rakan akan ketakutan melihat sang belang yang tidak mempunyai gigi mahupun kuku? Semestinya kita akan ketawa melihat sang belang yang kelihatan amat kelakar tanpa aset pentingnya.
  • Segelintir pihak pasti akan mengambil kesempatan apabila menyedari golongan yang sepatutnya memelihara dan memperjuangkan undang-undang tidak melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Yang dimaksudkan oleh saya adalah penguatkuasaan. Undang-undang perlu ditiup dengan roh penguatkuasaan yang berterusan. Undang-undang hanya sekadar sebutir peluru tanpa pistol jika tiadanya penguatkuasaan yang berterusan.
  • Saya memohon maaf jika pendapat saya seolah-olah menyalahkan golongan penguatkuasa. Namun siapakah yang harus diharapkan oleh rakyat yang hina bagi membela nasib mereka jika bukan terhadap golongan ini yang bersumpah setia atas nama Yang Dipertuan Agong bagi menjulang kedaulatan undang-undang.Sedarlah yang setiap sumpah itu akan disoal di akhirat kelak jika kita tidak menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan.
  • Tidak dinafikan yang penguatkuasa menjalankan tugas mereka bagi membendung jenayah daripada berlaku dalam masyarakat. Namun begitu penguatkuasaan yang longgar dan tidak berterusan membuka semula ruang jenayah kepada golongan yang tidak berperikemanusiaan.
  • Sebagai contoh, saya masih teringat satu masa dahulu ketika kisah along mendapat perhatian. Rakyat disajikan dengan kekejaman along dan perniagaan kotor golongan jahanam ini. Penguatkuasa juga berikrar akan memerangi "along" habis-habisan bagi menyelamatkan golongan yang kurang bernasib baik. Hasilnya, kegiatan "along" ini semakin sayup kedengaran di corong televisyen dan semakin segan untuk muncul di dada akhbar.Setelah beberapa ketika, kegiatan jijik ini muncul kembali dek penguatkuasaan yang semakin longgar. Akibatnya, rakyat yang lemah kembali terjerumus dalam perangkap yang memeritkan.
  • Pada satu ketika dahulu juga, rakyat dijanjikan bahawa pendaftaran nombor telefon bimbit prabayar akan melumpuhkan kegiatan "along" kerana penguatkuasa mampu mengesan nombor telefon yang kebiasaannya ditampal di merata-rata tempat.
  • Setelah bertahun lamanya program pendaftaran, saya masih belum melihat mana-mana lagi kes membabitkan "along" ditahan kerana menjalankan kegiatan haram. Adakah nombor mereka seolah-olah ghaib atau kebal di mata penguatkuasa. Jika tiada bukti mereka melakukan keganasan, saya percaya undang-undang yang sedia ada cukup untuk mengheret penjenayah ini ke muka pengadilan kerana melakukan perniagaan haram dan mampu disabitkan dengan pelbagai lagi jenis kesalahan.
  • Penguatkuasa seharusnya berusaha ke tahap yang terbaik bagi memberikan perkhidmatan dan perlindungan yang optimum kepada masyarakat bertepatan dengan status mereka sebagai penjawat awam. Jika mentaliti golongan korporat untuk sentiasa mencari keuntungan agak sukar diubah, mentaliti penjawat awam wajib menjurus untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat.
  • 1000 jenis undang-undang boleh digubal untuk mengekang jenayah tetapi ianya hanya sia-sia tanpa penguatkuasaan.
  • Syabas dan terima kasih kepada penguatkuasa dan penjawat awam yang sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Malaysia. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada pihak polis yang berjaya menyelamatkan tiga rakyat Malaysia yang diseksa oleh penjenayah yang tidak berperikemanusiaan.