Pages

Monday, July 21, 2008

Graviti???????

Salam Rakan Pembaca,

Kenapa agaknya buah kelapa jatuh ke tanah (bergerak ke bawah) bukannya memecut ke arah langit (bergerak ke bawah).

Mari kita dengar jawapan dari beberapa watak:

Insan A : Kelapa jatuh dengan kehendak Illahi
Insan B : Kelapa tidak memecut ke atas sebab ianya tidak dilengkapi dengan roket.
Insan C : Dah sampai masanya untuk kelapa itu rebah ke BUMI.
Insan D : Saya baru belajar di sekolah sebentar tadi mengenai fenomena ini. Ianya disebabkan tarikan graviti.
Insan E : Kelapa itu jatuh kerana digigit oleh "beruk-beruk di jalanan". ooops.
Insan F : Kelapa itu merasakannya nyawanya terancam di atas pokok lalu terpaksa mencari perlindungan di atas tanah. Siapa ancam awak selama ini wahai encik kelapa? (Soalan saya )
Insan G : Ini fenomena biasa.. Hampir kesemua benda akan jatuh pada akhirnya. Yang naik hanya harga barang..... Betulkah?? (soalan saya)
Insan H : Kelapa itu tidak menyukai rakan-rakannya dan pemimpinnya yang lemah. Tapi benarkah pemimpin di atas tanah itu lagi baik???? (Ini soalan saya)


Apakah jawapannya?

Pada pendapat saya yang kurang arif jika dibandingkan dengan manusia yang pandai berkata-kata, saya merasakan jawapan yang diberikan oleh insan A,B,C dan D diterima sebagai jawapan yang tepat.

Jawapan yang diberikan oleh insan E,F,G dan H adalah merupakan senario yang berlaku pada hari ini di sebuah tempat. Minta maaf kerana saya tidak akan mengulas lebih lanjut kerana mungkin wujud sesetengah pembaca yang tidak gemar untuk berkongsi pendapat secara kritis tetapi lebih sanggup menghukum orang lain. Oleh yang demikian, saya merasakan hal-hal ini tidak patut dibincang di blog saya kerana saya tidak berminat mengotori laman blog saya ini dengan penyakit manusia yang serius. Selepas ini, mungkin ada beberapa pembaca yang budiman akan meninggalkan komen yang mengatakan saya pengecut kerana tidak berani berperang sedangkan saya sudah mula berkata-kata mengenai ketajaman pedang. Kepada insan-insan ini saya hanya mampu berkata, "Saya hanya mengatakan pendapat saya secara umum tanpa mendatangkan mudarat kepada insan-insan yang terbabit. Pendapat itu diberikan setelah memahami kapasiti saya sebagai insan biasa dan warganegara. Pendapat-pendapat berkenaan mungkin akan mendatangkan mudarat mahupun kebaikan sekiranya ianya diulas dengan lebih mendalam. Oleh yang demikian, saya enggan mengulas senario yang dialami insan E,F,G dan H tetapi memilih untuk menyebut beberapa inti pati dengan harapan para pembaca sendiri menggunakan kebijaksanaan masing-masing bagi menyiasat dan menilai senario-senario berkaitan. Tingkatkan prestasi dan kurangkan kontroversi".


Insan A,B,C dan D

Pada pendapat saya buah kelapa jatuh ke muka bumi disebabkan oleh fenomena tarikan terhadap semua jirim yang berada di Bumi ini.
Ini bermakna semua jasad di muka Bumi ini akan berada muka bumi secara semulajadi selagi mana jasad itu berada dalam planet ini. Namun begitu, saya bukannya ingin merugkai misteri mahupun fakta saintifik mengenai fenomena semulajadi ciptaan Allah ini. Apa yang menarik perhatian saya adalah mengenai keupayaan manusia melawan graviti. (Ingat!! lawan graviti bukannya melawan kehendak illahi)

Saya ingin membandingkan fenomena ini dengan kehidupan kita sebagai manusia di muka bumi ini. Semua jasad akan merasai tarikan graviti tetapi apakah kita tidak mampu mengurangkan kesan graviti tersebut. Secara umum, kita pasti tidak mampu terbang mahupun terapung-terapung di angkasa disebabkan tarikan graviti ini. Namun begitu, seekor burung yang mempunyai sayap pelepah mampu meluncur laju di angkasa. Menyedari kelebihan yang terdapat pada burung maka manusia telah menggunakan akal fikiran mereka untuk mencipta teknologi yang mampu mengatasi tarikan graviti.

Pengajaran

Berdasarkan fenomena tersebut saya ingin katakan yang manusia BERUPAYA mengubah nasib dirinya sendiri. Jika kita malas berusaha kita pasti tersembam dikala insan lain mengorak langkah yang lebih jauh. Janganlah kita asyik menyalahkan fenomena graviti ciptaan Illahi jika pada suatu hari kita terjatuh ke dalam longkang ketika berjalan ke sesuatu tempat. Manusia dikurniakan pancaindera dan akal yang ternyata amat hebat berbanding makhluk ciptaan Allah yang lain. Namun begitu, manusia mempunyai kelemahan yang nyata iaitu NAFSU. Tetapi ingatlah rakan-rakan yang nafsu hanya sebahagian dari kejadian manusia bukannya kiblat kehidupan seharian jadi janganlah kita biarkan NAFSU ini menjadi raja dalam dalam hati kita.

Jika sang burung mampu terbang di angkasa mengatasi graviti kerana ciri istimewa yang terdapat pada dirinya. Sebagai manusia jika kita mahu mencapai sesuatu kita juga harus melengkapi diri dengan sikap-sikap yang mahmudah. Agak mustahil untuk kita mendapat pertolongan orang lain jika kita sendiri kedekut menghulurkan tangan meringankan beban orang lain. Agak mustahil untuk kita mendapat A+ dalam peperiksaan jika kita enggan mengubah sikap kita yang pemalas kepada rajin mengulangkaji. Renungkanlah.

Kapal terbang merupakan teknologi yang membuktikan keupayaan akal manusia dalam mengubah sesuatu untuk perkembangan tamadun manusia di Bumi ini. Adakah kapal terbang yang membawa manusia merentasi benua itu terbina dengan sendirinya? Sudah tentu tidak.. Walaupun percubaan awal manusia untuk mengatasi graviti membuahkan kegagalan namun begitu berkat ketabahan dan kesabaran golongan ini telah memberikan kesenangan pada masa kini. Kita tidak akan mendapat apa-apa hasil sekiranya kita hanya berpeluk tubuh mengikuti peredaran zaman. Kesemua insan terutamanya para pelajar seharusnya sedar yang kita tidak akan mendapat gula untuk dibancuh bersama teh sekiranya kita tidak mahu menggerakkan langkah ke kedai untuk membelinya. (Melainkan pelajar ini anak tauke kilang gula ataupun ibu/bapanya tolong belikan gula padanya).

Qada dan Qadar sememangnya ketentuan Illahi dan hanya DIA yang mengetahui segalanya. Jika kita berumah di tepi pantai selalu dilanda ombak besar adakah kita hanya akan menyerahkan mempertaruhkan masa depan keluarga kita dengan berharap pada nasib tanpa melakukan sesuatu.

Rezeki di Tangan Illahi.

Seperkara lagi rakan-rakan.
Jangan kita mudah berputus asa sekiranya digelar "bodoh" oleh mana-mana pihak dalam usaha kita mencapai sesuatu impian (selagi impian kita betul dari segi syarak). Contohnya, jika guru kita mengatakan kita lembap ketika sesi pembelajaran, elakkan menyumpah guru berkenaan atau merasa putus asa. Sebaliknya jadikannya sebagai cabaran yang perlu diatasi.(Saya percaya hanya segelintir guru bersikap sedemikian). Individu berkenaan boleh berkata apa sahaja yang digemarinya namun rezeki ditentukan oleh ILLAHI bukannya oleh mana-mana individu.

Disini saya ingin berkongsi kisah beberapa manusia yang pada suatu ketika dahulu dianggap kerdil oleh segelintir individu





~~TyRoX~~

Friday, July 11, 2008

BOtol air yang canggih....

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Saya tengah mengantuk yang amat sangat tetapi terpaksa memaksa diri daripada merehatkan badan untuk menunggu waktu azan Subuh. Buat pengetahuan semua, waktu solat subuh di Edmonton pada musim panas agak awal iaitu pada jam 3 pagi. Disebabkan saya tidak mempunyai telinga yang peka terhadap bunyi loceng samada dari jam tangan mahupun telefon bimbit, saya perlu berjaga sehingga waktu subuh bagi mengelakkan kejadian "subuh gajah".

Saya kurang selesa berada dalam bilik tidur saya pada ketika ini kerana satu-satunya lampu tidak berfungsi. Yang menyedihkan, saya asyik terlupa untuk membeli mentol baru walaupun saya pergi ke kompleks membeli belah untuk bekerja hampir setiap hari. Nasihat saya kepada rakan-rakan yang mempunyai ingatan lemah seperti adalah "Gunakan teknologi sebaik mungkin". Apa gunanya sebuah telefon bimbit jika ianya tidak dimanfaatkan sebaiknya oleh kita? Mungkin rakan-rakan sudah biasa menggunnakan "reminder" dalam telefon bimbit untuk mengingatkan rakan-rakan akan perkara-perkara yang perlu diselesaikan. Malangnya, insan bernama akmal ini tidak suka menggunakan aplikasi tersebut dan akibatnya insan ini terpaksa bergelap dalam bilik selama 3 hari. Tahniah Akmal.... Bercakap mengenai telefon bimbit, saya rasa tertarik untuk mengupas lebih lanjut mengenai aksesori moden ini.

Telefon Bimbit/Mobile Phone/Cell Phone/Hand Phone

Saya berpendapat lebih dari separuh rakyat Malaysia memiliki telefon bimbit pada ketika ini. Jika dahulu pada tahun-tahun awal aksesori ini diperkenalkan ianya melambangkan status kemewahan kepada si pemiliknya walaupun pada hakikatnya pada ketika itu telefon bimbit mempunyai saiz sebesar botol air. Walaupun saya masih kecil ketika telefon bimbit mula diperkenalkan di Malaysia, saya antara insan yang mengagumi telefon bimbit bersaiz gajah itu. Ketika di zaman sekolah rendah dahulu, seseorang pelajar akan digelar anak orang kaya jika ibu/bapa mereka mempunyai telefon bimbit. Saya masih teringat kata-kata rakan saya, "Bapak r, mak bapak din kaya gila. Ada henpon tue!!!!" Saya pun hanya mengangguk sebagai tanda bersetuju dan kagum dengan saiz telefon bimbit itu. haha.


Inilah rupanya telefon bimbit yang menjadi kebanggaan pada zaman dulu-dulu.

Pada sesiapa yang tidak pernah ambil peduli mengenai sejarah telefon bimbit, saya cuma mahu beritahu yang pencipta telefon pertama ialah Alexander Graham Bell. Untuk maklumat lanjut mengenai manusia ini, sila taip nama beliau di wikipedia.

Alexander Graham Bell

Kisah Seorang Pemuda dan Telefon Bimbit.

Telefon bimbit pertama saya adalah Nokia 8210 iaitu sebuah telefon yang kecik, monofonik, dan kuat makan bateri. Pada era sekarang, rakyat Malaysia terutamanya golongan remaja lebih berminat untuk menggunakan telefon bernada dering polifonik. Oleh disebabkan saya kurang mampu untuk membeli telefon bernada polifonik pada ketika itu maka saya terpaksa terus menggunakan telefon nokia 8210. Saya tidak menafikan saya berasa agak cemburu melihat rakan-rakan saya seperti AZRAP mempunyai telefon bimbit yang lebih moden daripada saya tetapi apabila memikirkan fungsi telefon bimbit pada saya ketika itu hanya untuk berbual dan "bersms", jadi saya lupakan sahaja hasrat saya untuk membeli sebuah telefon baru.

Saya boleh nyatakan di sini yang kebanyakan remaja termasuk saya lebih banyak menggunakan telefon bimbit untuk "bersms" daripada berbual kerana kos "sms" yang jauh lebih murah pada ketika itu. Kalau di Malaysia dahulu, "bersms" sebelum tidur sudah menjadi rutin harian selagi telefon mempunyai kredit yang mencukupi. Seperti biasa, "sms" dari kaum perempuan akan dibalas dengan kadar segera berbanding "sms" dari kaum lelaki. hehe.

Ketika berada di Malaysia, saya menggunakan talian prabayar Maxis. Saya memilih Maxis bukan kerana cintakan Encik Ananda Krishnan ataupun kerana harga yang ditawarkan sangat murah, tetapi disebabkan ramai kenalan saya menggunakan talian Maxis. Secara jujur, saya amat kagum dengan strategi pemasaran yang dilakukan oleh Maxis dalam menarik minat golongan remaja di Malaysia. Syarikat ini telah berjaya membuatkan kebanyakan remaja di Malaysia berasa teruja dengan memiliki talian Maxis berbanding Digi ataupun Celcom. Taktik syarikat ini yang menggunakan selebriti-selebriti terkenal juga membantu Maxis menguasai pasaran prabayar.
Namun begitu, bilangan pengguna yang terlalu ramai kadang-kadang membuatkan talian Maxis menghadapi masalah terutamanya pada malam hari raya ataupun malam yang membabitkan acara-acara penting pada keesokan harinya. Pada malam-malam ini, talian maxis gagal menampung jutaan "sms" dan ribuan panggilan yang dibuat oleh pengguna setianya.

Walaupun Maxis mempunyai kelemahan tersendiri pada waktu-waktu tertentu, saya terus bercadang untuk menjadi pengguna setia Maxis.

Cerita di negara orang

Sebenarnya sebelum saya meninggalkan Malaysia untuk meneruskan pengajian di Kanada, saya bercadang untuk membeli telefon bimbit baru. Namun begitu, seorang rakan memberitahu saya akan mendapat sebuah telefon baru jika saya menggunakan talian telefon di Kanada. Pada ketika itu, saya berasa amat kagum dengan sistem yang terdapat di Kanada dan terbayangkan telefon yang lebih moden berbanding di Malaysia.

Indah khabar dari rupa.......

Alangkah terkejutnya saya apabila melihat telefon-telefon bimbit yang terdapat di Kanada ketika saya keluar bersama rakan-rakan untuk mendaftar talian telefon baru. Telefon yang terdapat di sini ternyata ketinggalan dari Malaysia. Telefon yang sudah lama diperkenalkan di Malaysia, dipanggil "special item" oleh para penjual di sini. Saya berasa kecewa yang amat sangat kerana sekali lagi impian saya lebur begitu sahaja.

Di Kanada, telefon dijual oleh syarikat telekomunikasi bukannya orang persendirian seperti di Malaysia. Jadi, tidak wujud suasana seperti kompleks lowyat di bumi Kanada. Memandangkan telefon dibekalkan oleh syarikat telekomunikasi, telefon yang dibeli mempunyai " limited application" kerana "dilock" oleh syarikat berkenaan. Keadaan ini sememangnya menyusahkan pengguna terutamanya insan yang datang dari sebuah negara seperti Malaysia.

Setelah meninjau beberapa kedai, saya membuat keputusan untuk mentandatangani kontrak selama 3 tahun bersama syarikat FIDO. Namun begitu, saya membatalkan hasrat saya apabila penjual terbabit meminta saya memberi "kad kredit" atau "Social Insurance Number". Beberapa hari kemudian, saya melawat kedai lain dan saya berjaya membuatkan penjual terbabit menerima kad kredit prabayar saya. Kesemua kedai yang dilawati saya sebelum ini menolak untuk menerima kad kredit prabayar dengan alasan kad kredit seperti itu tidak bernilai. Saya bersyukur kerana ada kedai yang tidak memeriksa kad kredit itu dengan teliti. Disebabkan tiada pilihan telefon yang menarik, saya hanya memilih telefon bimbit Sony Ericsson yang biasa sahaja.


Nokia 8210

NOTA:

1.Penulis menggunakan ayat ketika itu kerana penulis sudah tidak pasti mengenai keadaan semasa talian telefon bimbit di Malaysia pada ketika ini.
2. Kepada pelajar yang akan datang ke Kanada, penulis menasihatkan mereka membeli telefon bimbit di Malaysia kerana harga yang murah dan mendatangkan kepuasan.

Wednesday, July 9, 2008

Masa yang berlalu

Salam Sejahtera,

Saya baru sahaja pulang dari menonton filem "Hancock". Namun begitu, entri saya pada kali ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan filem berkenaan.

Agak lama saya menyepi dari menulis blog kerana keletihan dan kesibukan dalam menjalani kehidupan seharian ketika musim panas di Edmonton. Beberapa rakan seperjuangan juga telah tiba di Edmonton sejak beberapa hari lepas untuk mengambil "summer course" yang bermula pada 7 Julai 2008. Dalam mengisi masa saya dengan rutin harian, baru saya sedari yang masa berlalu begitu pantas. Saya masih teringat kenangan berada dalam kelas "Calculus" yang diajar oleh Dr. Veneira Hrimiuc. Disebabkan keputusan peperiksaan "Calculus" saya pada semester musim luruh 2007 tidak begitu baik, saya tidak mempunyai motivasi yang tinggi bagi memahami subjek ini. Keadaan ini bertambah parah apabila saya mula tawar hati dengan gaya pembelajaran yang diterampilkan oleh pensyarah ini. Namun begitu, saya sedar yang sejarah lalu boleh berulang jika saya tidak melakukan sesuatu bagi mengubah persepsi saya tentang subjek ini. Syukur ke hadrat illahi kerana memberi saya kekuatan untuk mengatur pertemuan dengan pensyarah berkenaan. Sememangnya saya mempunyai perasaan rendah diri untuk bertanya sesuatu kepada pensyarah kerana kurang keyakinan untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris walaupun bahasa ini tidak sesukar yang disangkakan. Benarlah kata pepatah Melayu, "Malu bertanya sesat jalan". Hasil pertemuan tersebut telah mengembalikan semula keyakinan saya untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam subjek ini. Pensyarah berkenaan juga telah memberi nasihat tentang cara belajar saya yang perlu diubah jika saya ingin melihat impian saya menjadi kenyataan. Terima kasih Dr. Hrimiuc. Setelah berjuang habis-habisan demi mencapai sebuah kejayaan, keputusan semester musim sejuk benar-benar membuat saya tersenyum. Saya bersyukur kerana berkat usaha saya untuk membuktikan kemampuan diri di persada antarabangsa bukanlah sekadar "Impian Mat Jenin". Namun begitu, semua insan di bumi Allah ini harus sedar yang kejayaan bukan destinasi terakhir kita tetapi ia adalah peniup semangat untuk meneruskan perjuangan selagi darah mengalir dalam tubuh kita. Tetapi janganlah kita berputus asa dan menyalahkan diri mahupun takdir sekiranya kita diuji dengan kegagalan. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Insan yang diuji oleh Allah dengan pelbagai dugaan bukanlah kerana Allah bencikan hambanya tetapi kerana Allah sayangkan semua hambanya(Ar-Rahman, Ar-Rahim).

Buat pengetahuan semua, saya telah mengambil dua subjek bagi mengisi cuti musim panas yang berakhir pada 3 september 2008. Subjek yang diambil oleh saya pada ketika itu ialah Bahasa Inggeris dan "Calculus". Tujuan utama saya dan rakan-rakan mengambil subjek-subjek ini ketika musim cuti panas adalah untuk mengurangkan bilangan subjek yang perlu diambil ketika semester musim luruh 2008. Ketika musim panas, para pelajar hanya perlu lulus subjek yang diambil untuk mendapatkan kredit dan gred yang diperoleh tidak akan dikira dalam GRED PURATA KUMULATIF(CGPA). Namun begitu, saya difahamkan hanya 2 subjek dibenarkan untuk musim panas kerana CGPA saya akan dikenakan "adjustment" sekiranya saya gagal memastikan "10 course load" untuk semester yang akan datang.

Kebaikan "Summer Course"

1.Gred tidak akan mempengaruhi CGPA.
2.Boleh mendapat kredit bagi subjek berkenaan dengan lulus subjek yang diambil.
3.Semester yang pendek.
4.Kelas kecil = peluang berinteraksi dengan pengajar
5.Mempunyai banyak masa untuk mengulangkaji bagi peperiksaan.
6.Amat sesuai jika seseorang pelajar sedar mengenai tahap kemampuannya yang agak lemah dalam sesetengah subjek pembunuh.

Keburukan "Summer Course"

1. Mengurangkan "course load". Para pekajar yang tidak mempunyai "credit" yang cukup dari semester yang sebelumnya tidak digalakkan mengambil "course" ini.
2. Kelas diadakan hampir setiap hari.
3. Kelas dijalankan bagi tempoh masa yang lebih panjang = mendatangkan keletihan dan kebosanan.
4. Kebanyakan pelajar tidak mempunyai motivasi yang sepatutnya ketika mengambil "course" ini kerana fikiran mereka terbayangkan cuti "summer" yang perlu diisi dengan keseronokan.
5. Kebanyakan pelajar juga hanya meletakkan sasaran bagi mendapatkan gred lulus sahaja bagi subjek yang diambil.


Kesimpulan....

1.Kejayaan dan kegagalan adalah sebahagian dari hidup seorang manusia.
2.Usaha berterusan dan tawakal kepada Illahi merupakan cara terbaik untuk mencapai kejayaan di dunia mahupun di akhirat.
3.Allah Maha Mengetahui. Kita harus redha dengan ketentuan illahi kerana DIA lebih mengetahu dari hamba-hambanya.
4. Jangan putus asa selagi hayat dikandung badan kerana Allah mengurniakan kita kekuatan yang secukupnya bagi kita berusaha di muka bumi ini dan mencari keredhaanNYA.
5. Masa berlalu begitu pantas jadi jangan kita sia-siakannya kerana kelak kita akan menangisi masa yang berlalu meninggalkan kita.
6.Yakin terhadap sendiri terutama jika kita bergelar seorang pelajar. Kita tidak akan rugi walau satu sen pun jika kita merendahkan ego kita bagi mendapatkan nasihat dari insan-insan yang berilmu dan berpengalaman. JANGAN MEREDAH HUTAN YANG GELAP JIKA TIADA SEBARANG CAHAYA!!!!

p/s: SAya nak tidur....

~~TyRoX~~