Pages

Friday, May 31, 2019

Bingkai Gambar

Saat aku melihat bingkai itu,
Berisi gambar orang yang tiada.

Maka tahulah aku,
Memori boleh jadi pahit.

Yang tiada akan terus tiada,
Yang hidup riang gembira.

Tiada yang tahu isi hati,
Berbolak balik mengguris jiwa.

Ada insan menangis,
Kerana teringat memori lama.

Bukan kerana terluka,
Namun rindu yang menebal.

Mungkin itu nasib yang pergi,
Kerana yang hidup perlu maju.

Maka disimpannya kamu,
Agar hilang dari mata.


Thursday, May 30, 2019

Duit Raya

"Siap!" jerit Ahmad sambil mengangkat kedua-dua tangan sehingga mengejutkan Maya yang dari tadi sibuk mengigit sampul duit raya.

Semua duit raya mengikut individu telah dimasukkan dalam sampul. Ahmad pun sudah tidak ingat bilakah kali terakhir dia menerima duit raya.

Seperti sejak dia menjejak kaki ke Kanada lagi jika cuba difikirkan kembali.

Jujurnya dia rindukan saat mengatur rumah ke rumah bagi mengutip duit raya semasa kecil.


Wednesday, May 29, 2019

Mee Goreng

Ada orang suka mee goreng basah,
Ada pula gemar versi lebih kering.

Nak sayur,
Tak mahu sayur.

Telur asing,
Telur masak sekali.

Manusia memang berbeza,
Walau hanya untuk makan sejenis mee goreng.

Perlukah kita bergaduh hanya kerana berbeza selera?
Atau lebih mudah kita raikan perbezaan.

Mungkin hari ini untuk dia,
Esok untuk kita

Tuesday, May 28, 2019

Can I Kiss You

Can I Kiss You merupakan salah satu risalah yang diedarkan kepada semua pelajar baru semasa minggu orientasi universiti. Risalah ini menceritakan tentang hubungan fizikal seksual yang hanya boleh berlaku dengan izin (CONSENT).

Ianya banyak mencerita tentang hak peribadi ke atas tubuh badan masing-masing. Secara ringkas, seseorang untuk boleh bersetubuh dengan sesiapa sahaja dengan syarat cukup umur (legal age) dan mendapat persetujuan (CONSENT).

Jika seseorang memberi izin untuk dicium untuk seksual maka ianya mukadimah untuk terus ke fasa seterusnya dengan IZIN.

"Dasyat cara mereka benarkan zina yea," ujar Ali kepada Ahmad yang duduk bersebelahan semasa mendengar taklimat orientasi.

Ahmad tidak menjawab kerana tekun membelek risalah tersebut. Dia kelihatan cuba untuk memahami norma masyarakat di Kanada.

"So takmau try ke Ali? hehe," balas Ahmad cuba mengusik Ali.

Ali hanya menggeleng kepala sambil beristighfar.

"Kau ambil ke benda tu Ahmad? Apa nak jadi mu ni. Min cuba mu nasihat sikit member kita ni" soal Ali sambil mencubit pinggang Ahmad.

Ali membebel kerana Ahmad mengambil beberapa paket kondom yang dihulur oleh sukarelawan perempuan yang memegang sepanduk I LOVE SAFE SEX.

"Orang bagi aku ambil la. Haha. Bukan nak pakai pun Ali. Cuma rasa serba salah," jawab Ahmad sambil menyimpan paket berwarna warni itu dalam poket.

Itulah saat pertama Ahmad memegang paket kondom yang sebelum ini hanya diketahui fungsinya.

Setelah beberapa ketika di Kanada maka sedarlah di sini masyarakat bebas namun terikat atas undang-undang manusia untuk menjaga keharmonian masyarakat. Mereka dibenarkan menzahirkan nafsu namun mesti dengan izin peribadi dan mengamalkan perlindungan sewajarnya untuk mengelakkan mudarat. Galakkan seks tetapi dalam konteks selamat manusia.

Islam pula menghindari zina kerana Allah lebih tahu mudaratnya. Barat pula ada kebebasan berzina tetapi cuba meminimakan mudaratnya.

Ahmad mula teringat seminar Save Sex NOT Safe Sex yang dihadirinya semasa di bangku sekolah disampaikan Dr Harlina iaitu seorang pakar perubatan terkenal di Malaysia.

"Semoga Allah lindungi aku sepanjang di sini," bisik Ahmad.


Monday, May 27, 2019

Tali pinggang

"Ya Allah. Ampuni dosa ku. Maafkan papa," ronta Ahmad namun tiada satu kata pun terlontar.

Nafasnya mula tercungap. Badannya terasa kejang. Sakit kepala terasa seperti dihentak tukul berturutan.

Jerutan tali pinggang di lehernya terasa semakin ketat. Tidak disangka Ahmad seksa rupanya membunuh diri dengan menggantung diri.

Dia sedar sudah terlambat untuk dia berundur. Cuma berharap supaya nyawa terus dicabut segera dari jasad. Mata Ahmad mula layu, rontaan dia juga semakin lemah. Sakit pun mulai tidak dirasai.

Mungkin masanya telah tiba untuk seorang pendosa besar bertemu PenciptaNya.
Dia pasti dicemuh.
Keluarganya pasti menerima aib.

"Maafkan aku," bisik hati Ahmad.

Tiba-tiba Ahmad tersedar dari mimpi ngeri. Segalanya terasa seperti benar terutamanya rasa penyesalan dan sakit.

"Ya Allah kau ampunilah dosa aku. Kau golongkan aku dalam orang yang beriman dan matikan aku dalam iman. Bagaimana agaknya azab yang ditanggung oleh Mail saat dia terjerut dulu ye? Cuma bezanya dia pergi buat selama-lamanya tetapi aku masih bernyawa," monolog Ahmad

Sunday, May 26, 2019

Safeway

"Min. Laparlah. Nak makan apa ye? Brahim yang kita bawa pun dah habis ni," ujar Ali sambil mengusap perut.

"Jom la kita keluar pergi mana-mana supermarket. Beli roti or cereal ke? Lapar dah ni," sampuk Ahmad.

Rumah bujang berkenaan tidak banyak makanan. Ahmad pun sedar yang mereka bukannya raja yang perlu disajikan makanan. Sejak tiba di Canada, baru sekali Ahmad berjumpa dengan Sulaiman yang kelihatan agak sibuk bekerja sebagai pustakawan sambilan di universiti. Budi pula banyak menghabiskan masa dalam bilik berchatting dengan teman wanitanya yang menetap di Russia.

"Semalam Sulaiman bagitau kat aku yang supermarket paling dekat ada di Garneau cuma tiada daging halal. So nak pergi juga ke? Or better tunggu Sulaiman balik?" balas Min.

"Jom la. Nanti mati kebuluran," ajak Ali.

Hidup ini sebenarnya kita perlu bergantung pada Allah tetapi dengan usaha sendiri. Sekiranya ia dipermudahkan maka ianya kerana izin Allah.

Saat tiba di Safeway, Ahmad cuba mencari makanan yang boleh dijadikan bekalan. Secara automatik dia yang tidak pernah membaca label di bungkusan kini meluangkan masa untuk meneliti kandungan setiap makanan yang dipilih.

Terlihat sebuah botol susu berperisa coklat dengan harga CAD 5.70 sebotol. Ahmad cuba mencongak harga dalam ringgit Malaysia (RM 20)terus dirasakan semua barangan terlalu mahal. Harga makanan di Malaysia ternyata lebih murah walau untuk produk import.

"Jangan convert duit di sana. Anggap sahaja CAD 1 sama nilai seperti RM 1. Kalau tidak kamu mesti tak berbelanja," pesan pegawai penaja semasa di KLIA beberapa hari lepas.

Pesanan itu terngiang di benak kepala Ahmad.

Selesai mengambil barangan, Ahmad bingkas menuju ke kaunter bayaran. Berbeza dengan Malaysia, kaunter bayaran juga berfungsi sebagai kaunter timbang. Jadi pelanggan hanya perlu mengambil sebarang barang dan terus ke kaunter bayaran. Terlintas rasa kagum terhadap pekerja kaunter yang seolah dapat menghafal semua kod barang untuk ditimbang dan juga mengendalikan transaksi bayaran.

"Hello. How is everything today? Nice weather right?" kedengaran cashier memulakan perbualan dengan pelanggan yang beratur di hadapan.

Perbualan tersebut berterusan sehingga transaksi bayaran pelanggan tersebut selesai. Ahmad beranggapan mereka berdua mengenali antara satu sama lain kerana keramahan yang amat.

"Hello brother. How are you today?" sapa cashier sebaik tiba giliran Ahmad.

"Ummm. I'm fine," balas Ahmad pendek dengan kekok. Dia terasa janggal apabila cashier tersebut cuba untuk meneruskan perbualan namun mungkin kerana reaksi Ahmad yang agak kaku maka cashier tersebut pun hanya mendiamkan diri.

Cashier tersebut memaklumkan yang susu dibeli Ahmad akan dikenakan caj tambahan CAD 0.25 sebagai recycle fee. Bayaran tersebut akan dikembalikan sekiranya Ahmad memulangkan botol di mana-mana kitar semula. Begitu rupanya negara maju menjaga alam sekitar dengan memaksimakan kitar semula.

"Haha. Lain kali jangan cuak kalo depa sembang. Orang sini memang ramah. Dah macam custom untuk depa greet orang. Tapi don't worry depa tak kecil hati kalau kita tak nak sembang," jelas Sulaiman panjang lebar pada malam itu selepas Ahmad menceritakan pengalamannya di Safeway.



Saturday, May 25, 2019

109 Street & 73 Avenue

"Do you guys like this city?" soal pemandu teksi berbangsa India sebaik mereka melabuhkan punggung.

Skyshuttle hanya setakat Campus Tower sahaja. Untuk ke rumah Sulaiman, mereka perlu menaiki teksi pula. Masalahnya tiada pula teksi yang kelihatan di kawasan sekitar.

Mujur seorang wanita yang juga pekerja di hotel menawarkan bantuan menghubungi YellowCab.

"Yes. Can you get us to 109st and 73 Ave?" jawab Ahmad pendek dek keletihan kerana perjalanan masih belum berakhir.

"Betul ke rumah ni Min? Senyap sunyi je?" tanya Ahmad sebaik turun dari teksi.

Tiba-tiba daun pintu terkuak dan muncul seorang lelaki dengan rambut persis Kpop. Apabila diamati dia seorang Melayu bukannya Korea..

"Salam. Nama aku Budi. Sorry la aku tertido tadi. Tadi Sulaiman pesan kat aku minta amik korang kat airport. Hehe. Jemput masuk ke rumah," sapa Budi memperkenalkan dirinya.


Friday, May 24, 2019

Campus Tour

"So you guys are going Campus Tour right?" ujar pemandu SkyShuttle yang kelihatan seperti keturunan hispanik.

"No. We are going to University of Alberta. She told me that this van is going to the university," balas Ahmad sambil menunjukkan tiket yang tertulis nama universiti sebagai destinasi.

"Yes. Yes. I know campus tour," jawab pemandu tersebut dengan pelat tersendiri.

"Apa masalah brader ni? Dia tak paham ke apa," luah Ahmad kepada Ali.

Ali tidak menjawab cuma memberi isyarat untuk terus masuk ke dalam van. Kemungkinan dia pun sudah terlalu letih untuk berfikir panjang.

Sepanjang perjalanan, Ahmad hanya melihat jalan yang datar dengan rumput kering di tepian jalan. Apalah pemandangan yang diharapkan oleh Ahmad dari sebuah tempat prairie.

"Macam takda apa je tempat ni. Lain je aku tengok kalo compare dengan brochure international student handbook yang kita dapat hari tu," getus Ali memecah kesunyian dalam van.

"Kat buku mesti letak gambar yang cantik Ali. Barulah kita teringin nak apply sini. Betul tak Ahmad?" jawab Min perlahan.

Min sebenarnyaseorang pendiam. Dia jarang bercakap melainkan perlu. Jadinya apabila dia membuka mulut pasti Ahmad dan Ali akan lebih memberi perhatian umpama menanti ayam bertelur emas.

"You have arrived," sebut pemandu tatkala di menghentikan kenderaan di hadapan sebuah hotel.

Tersenyum Ahmad kerana baru dia faham maksud Campus Tour yang disebut oleh pemandu itu tadi. Yang dimaksudkannya ialah Campus Tower iaitu sebuah hotel yang terletak di hadapan universiti.

Ahmad berdiri kagum melihat pemandangan universiti yang langsung tidak mempunyai pagar itu. Inilah tempat yang akan menjadi tempat belajar serta jatuh bangun Ahmad untuk tempoh 4 tahun.

Tiba-tiba perasaan Ahmad berkobar-kobar seolah dia bertukar menjadi seorang Super Saiyan. Dia sudah tidak sabar menunggu hari pendaftaran yang berbaki 5 hari lagi.





Thursday, May 23, 2019

Rumput Canada

Lapangan Terbang Edmonton kelihatan lebih kecil jika dibandingkan dengan Vancouver.

Selesai sahaja mengambil bagasi, Ahmad terus meluru keluar dari pintu lapangan terbang. Niatnya adalah menghirup udara segar setelah lebih daripada 24 jam terkurung samada dalam pesawat atau lapangan terbang.

Suhu sejuk terasa di pipi dan udara di sini juga terasa kering. Mujur Ahmad memakai sweater nipis namun tidak menyangka suhu musim luruh di Edmonton terasa dingin.

"Welcome to Edmonton pal," sapa seorang lelaki kulit putih yang memakai seluar kanvas pendek. Mungkin jelas kelihatan keterujaan di wajah Ahmad atau rakyat Canada being friendly.

Edmonton merupakan province (negeri) prairie yang tidak mempunyai pesisir pantai. Seperti dalam buku geografi, tempat yang bersifat kebenuaan mempunyai cuaca atau suhu yang lebih ekstrem kerana tidak diimbangi oleh suhu lautan. Walaupun masih lagi dalam bulan September yang sepatutnya musim luruh tetapi suhunya seakan sudah menghampiri musim sejuk.

"Ahmad. Aku pi beli something jap kat kedai tu. Nak pecah duit jadi syiling sebab nak call Sulaiman," ucap Min tatkala di melihat Ali dan Ahmad seperti mengelamun seketika.

Sulaiman merupakan pelajar senior yang sepatutnya menjemput mereka di situ namun kelibatnya tidak kelihatan.

"Nah rasa air ni. Sedap," jemput Min kepada Ahmad.

Ahmad pun terus meneguk laju dari cawan yang tertulis Booster Juice.

"Uwek. Air apa ni Min?" soal Ahmad yang cuba menahan muntah. Dibukanya penutup cawan dan kelihatan cecair hijau pekat seperti rumput.

"Nama dia Canadian Wheatgrass. Aku beli tadi ingat sedap. Haha. Baru lah Canadian lepas minum rumput Canada," balas Min sambil ketawa kecil.

Ali terus pantas menggeleng kepala dan isyarat tangan setelah melihat warna jus tersebut.

"Aku dah call Sulaiman. Dia tak boleh datang sebab ada hal. Dia minta kita naik teksi terus ke alamat ni," ujar Min.



Wednesday, May 22, 2019

Air Canada Jazz

Welcome to Canada.
Binvenue Canada.


Merata-rata ucapan selamat datang di Lapangan Terbang Antarabangsa Vancouver. Ia merupakan pintu masuk ke Canada yang paling popular bagi penerbangan dari negara-negara Asia Timur seperti China, Jepun dan Korea Selatan.

Bulat mata Ahmad melihat bendera merah putih dengan daun maple merah terang. Ali dan Min juga kelihatan tersenyum kambing mungkin kerana cuba menyembunyikan rasa kagum di hati. Ini merupakan kali pertama Ahmad dan Ali menjejak kaki di bumi asing namun tidak pula disangka akan ke negara jauh di kutub utara. Berbeza dengan mereka berdua, Min merupakan anak kelahiran USA semasa ayahnya belajar di sana.

"Attention to passenger with the names Ahmad, Ali and Min. Please come to gate 5 immediately for boarding". Kedengaran suara di corong sistem bunyi yang memanggil mereka.

Perjalanan mereka masih belum selesai lagi. Destinasi akhir ialah Edmonton, Alberta. Connecting time yang mereka ada terlalu singkat jika dibandingkan dengan saiz lapangan terbang yang besar.

"Bye Farah, Hanim, Azraf," lambai Ahmad, Ali dan Min kepada 3 rakan mereka yang akan meneruskan perjalanan ke Montreal, Quebec dalam masa 5 jam lagi.

"Alhamdulillah. Fuh lega," ujar Ali saat mereka masuk ke dalam pesawat kecil.

Kelihatan penumpang lain telah duduk kemas di tempat masing-masing seolah mereka sudah lama menanti ketibaan Ahmad dan rakan.

Ahmad tersandar di kerusi dan berharap destinasi akhirnya akan lebih menarik.




Tuesday, May 21, 2019

Elaun harian Wad

Pada pelanggan takaful/insurans.
Cuba semak polisi masing-masing.
Jika ada elaun harian wad.
Jangan lupa tuntut semula dari takaful.

Cuma perlu semak polisi.
Sebab kemalangan atau sebarang sebab.
Jika sebarang sebab lagi mudah.

Sebaik sahaja dibenarkan keluar wad.
Terus sahaja ke bahagian medical records.
Maklum nak dapatkan 'discharge summary'.
Majukan dokumen kepada takaful.
Tunggu elaun masuk dalam akaun.

Kesihatan itu rezeki dan nikmat.

Monday, May 20, 2019

Medical Card

Selamat tinggal Zurich Takaful,
Kenaikan harga sekali ganda,
Terlalu tinggi untuk saya,
Golongan rakyat marhaen.


Sunday, May 19, 2019

Cucuk

Tidakkah mereka tahu.
Cucuk kad ATM berulang kali.
Tidak mengubah baki akaun.

Tidakkah mereka tahu.
Tekan semak baki berkali.
Juga tidak menghasil wang sekelip mata.

Yang perlu mereka tahu.
Ada orang beratur menunggu.
Semakin panjang menanti giliran.

Itulah manusia.
Mereka hidup dengan harapan.
Berharap wang muncul tiba-tiba.

Terkadang susah bila menghakimi.
Sedang kita pun tak tahu.
Berapa tinggi harapan mereka.

Bagai si ayah yang mendidik anak.
Harapannya agar menjadi insan.

Bagai si sakit ke hospital.
Berharap supaya sembuh segera.

Sungguh kita tiada kuasa.
Hanya mampu berusaha.
Dan berharap.


Saturday, May 18, 2019

Periuk Nasi

Jalan-jalan ke Aeon Big.
Hajat membeli periuk nasi.
Banyak berjasa untuk 2 tahun.
Terkadang beli ini ikut rezeki.

Adakala tahan sampai bertahun.
Adakala pula cukup cukup waranti.
Benarlah rezeki bukan duit.
Duit itu sebahagian kecil rezeki.

Kalau barang elektrik rosak.
Jangan terus dibuang.
Terkadang cuma fius soket putus.
Tukar ganti masih berfungsi.

Fius itu murah.
Ilmu itu yang mahal.

Wahai insan.
Invest in yourself.
You will not regret.
Insya Allah.

Friday, May 17, 2019

Discharge

Setelah berbotol antibiotik,
Berbotol sodium chloride,
Maka aku boleh keluar,
Pulang ke teratak.

Jarum sudah dicabut,
Pedihnya masih terasa,
Bagai urat keluar bersama,
Lemah betul aku ni.

Semoga hari mendatang lebih baik.


Thursday, May 16, 2019

Tetamu malam

Aku cuba melelapkan mata.
Tetapi agak sukar.
Kerana ku tahu.
Pasti pintu itu akan terkuak.

Tanpa ku sedar.
Aku sudah menjengah ke alam mimpi.
Terkejut aku saat membuka mata.
Terlihat 3 gadis berbaju putih.

Mereka bukan hantu.
Mereka cuma jururawat.
Kehadiran mereka yang kerap.
Mula mengganggu tidur malam ku.


Wednesday, May 15, 2019

Assunta

Akhirnya tumpas jua.
Wad Melati.

Ini untuk kebaikan juga.
Tapi hati tidak tenang.



Tuesday, May 14, 2019

Tandas

Merenung ke dinding,
Aku melihat jarum jam,
Sudah lama aku disini,
Hampir satu jam.

Yang masuk semua keluar,
Bila mau berakhir,
Badan rasa kering,
Bak tanah kontang.



Monday, May 13, 2019

Anak Sungai

"Ahmad. Mai la lompat sekali," jerit Mail tanpa seurat benang di atas tubuh.

Kanak-kanak lelaki sebaya Ahmad memang gemar untuk mandi di anak sungai berhampiran sekolah. Tambah menyeronokkan apabila ramai-ramai bertenggek di laluan air deras pintu air.

Setiap kali itu juga Ahmad hanya akan terpaku melihat rakan-rakannya dari tebing sahaja. Mungkin Ahmad malu untuk bertelanjang bulat atau risau akan dimarahi oleh emak bila pulang ke rumah.

"Mael. Jom la balik. Aku lapaq ni," jerit Ahmad memanggil rakan baiknya.

Mail pun berlari terkocoh kocoh naik dan mencari baju seluar yang dilempar tadi.

"Hang bila nak pandai berenang kalau asyik dok kat tepi ja weyh?" soal Mail. Dia tahu Ahmad teringin benar nak belajar berenang.

"Tak tau la Mail. Tunggu aku kaya pi belajaq kat swimming pool kot," gelak Ahmad.

"Ceit. Tak yah dok perasan. Ang belajaq dengan aku sudah. Aku jadi tok guru hang," tepuk Mail sambil menarik tangan Ahmad ke basikal.

Dan mereka berdua pun berlalu pergi menuju ke rumah masing masing.

"Papa. Ayaq apa tu?" tanya Alia sambil mencuit tangan Ahmad.

Ahmad tersedar dari lamunan. Air sungai itu tidak lagi sejernih dahulu. Ianya berwarna teh susu. Pintu air masih sama seperti dahulu.

Pohon kayu yang menjadi tapak lompatan juga masih ada tetapi lebih besar.

Lambaian dan jeritan Mail nampak jelas di mata Ahmad.

"Mail. Aku dah pandai berenang," bisik hati Ahmad.


Sunday, May 12, 2019

Mercun

Anak kecil melonjak keriangan,
Saat bermain api mercun,
Mana mereka tahu erti bahaya,
Atau mereka belum cukup memahami.

Sang lebai menegur anak kecil,
Kerana membuat bising,
Mereka berlari ke tempat lain,
Bunci mercun masih sama.

Terlihat seorang tua terkekek,
Melihat anak kecil disergah pak lebai,
Tanpa rasa segan dia duduk,
Terus menjual mercun.

Mana yang harus disergah,
Anak kecil mentah,
Atau si tua kebal merentang meja,
Sebagai port jual mercun.

Saturday, May 11, 2019

Bau

Kembang kempis hidung,
Cuba menahan nafas,
Pergerakan rasa perlahan,
Berlalu pergi saat imam beri salam.

Mungkin ini ujian Allah,
Kepada hambaNya,

Insan,
Jika kamu ke rumah Allah,
Tak mengapa jika tak cantik,
Tiada biarlah bersih.

Tapi sebenarnya aku juga insan,
Yang lemah tidak tahu apa,
Mungkin kamu ada kekangan,
Moga Allah mudahkan perjalanan kamu.

Ramadan kareem

Friday, May 10, 2019

Kain Pelikat

Masuk pejabat ada kain pelikat atas meja.
Rupanya hadiah dari rakan yang baru pulang dari Indonesia.
Pinta supaya pakai ke masjid sepanjang Ramadan agar dia juga beroleh pahala.

Rakan sebenarnya tidak tahu yang saya tidak gemar pakai kain pelikat.
Saya tidak pernah membeli kain pelikat.
Kain pelikat yang ada cuma untuk solat di rumah bukannya di masjid.

Mengapa?
Kerana saya tidak pandai ikat kain pelikat.
Ini bermakna saya juga tidak pandai ikat sampin.

Jangan ditanyalah semasa hari perkahwinan.
Semestinya ada ikhtiar pada ketika itu.

Bila terlintas nak pakai kain pelikat ke masjid.
Pasti terlintas dengan trauma kisah kain pelikat dan seorang tua.
Malas nak ulas panjang kerana sudah pernah cerita dalam blog ini.

Yang pasti orang gatal itu wujud.
Pedofilia pun wujud.
Maka berhati-hati la.

Thursday, May 9, 2019

Tepi Pantai 2005

Ahmad masih ingat saat dia pertama kali menjejak kali di Port Dickson, Negeri Sembilan hampir 14 tahun yang lalu. Dia dan rakan-rakan terpilih untuk hadir Kem Rehat Minda anjuran sekolah yang bertujuan memberi penghargaan kepada pelajar yang beprestasi tinggi. Entah bila Ahmad tergolong dalam kumpulan prestasi tinggi.

Pemandangan Glory Beach Resort yang menjadi tempat penginapan Ahmad dan rakan selama 3 hari 2 malam. Setelah 14 tahun pemandangan hotel ini masih lagi sama cuma telah ada chalet mewah iaitu Lexis yang siap dibina pada tahun 2008 bersebelahan hotel ini.

Di pantai ini juga Ahmad masih teringat pengetua sekolah datang menegur dua orang gadis yang sengaja jalan melilau di tepi pantai saat pelajar sekolah lelaki sedang melakukan aktiviti sukan.

Mungkin pengetua perasan remaja lelaki yang penuh dengan imaginasi dan nafsu itu tidak fokus kerana melihat dua gadis itu.



Wednesday, May 8, 2019

Demam

Kacang panjang dan kacang bendi.

Keduanya demam.

Semoga Allah ringankan beban mereka dan berikan kesembuhan

Tuesday, May 7, 2019

Kedua

Ramadan tiba. Ramadan tiba.

Jalan sesak teruk setiap pagi.

Manusia keluar awal pagi selepas Subuh.

Alhamdullilah rumah dekat dengan pejabat. Naik pula moto kapcai beroda dua.

Semoga ramadan ini penuh barakah untuk semua.

Monday, May 6, 2019

Sahur

Hari pertama.

Mujur selera masih ada.

Alhamdullilah.

Singgah ke bazar ramadan. Manusia ramai bagai zombie.

Sempat membeli murtabak.

Rasanya murtabak perlu tukar nama bermula tahun ini.

Mahtabak sebab makin mahal (mahal tabak).

Hampir setiap tahun ada kenaikan harga.

Bersabar. Pilihan di

Sunday, May 5, 2019

Ramai

Alhamdullilah.

Ramadan tiba lagi.

Solat tarawih saf pun penuh.

Ramai umat mengejar pahala.

Salam Ramadan

Thursday, May 2, 2019

Atas Air

Dulu pernah teringin nak bermalam di chalet atas air.
Hari ini impian tercapai. Yang lebih menarik pihak hotel beri 'free upgrade' tanpa sebarang kos. Terima kasih.

Sebenarnya perkara yang menjadi kegembiraan seorang ayah adalah senyuman isteri dan anak.
Bagi seorang ayah tidak mengapa untuk penat.
Jika hasilnya anak isteri gembira.

Tetapi gembira itu juga subjektif.
Kita gembira belum tentu orang gembira.
Tetapi ingat la juga hakikat manusia.
Hanya berusaha sehabis mungkin.

Hasilnya Allah yang tahu,
Sebagai manusia jangan mudah kecewa,
Kerana Allah lebih tahu,
Kerana Allah juga melihat.





 

Wednesday, May 1, 2019

Hari Pekerja

Selamat bercuti.

Beberapa hari lagi untuk bertemu Ramadan.

Semoga ada rezeki bertemu lagi.