Pages

Sunday, June 30, 2019

Joseph

Hey Joseph,
You were my hero,
No. You are my hero.

I didn't have friends back then,
Yet I have you.

For them you just a toy,
For me you are more than that.

Thanks for being there,
you are my long lost friend.

Saturday, June 29, 2019

Erti Hidup

Pernah mendengar kata-kata yang berbunyi "Erti Hidup Pada Yang Memberi?"

Adakah bermakna orang yang menerima hidupnya tidak bermakna.

Jujurnya pada pendapat diri ini yang kata-kata ini memberi maksud bagaimana kita memberi erti pada hidup orang lain bukannya diri sendiri. Bolehkah kita bahagia dengan sentiasa memberi? Tidak sebenarnya kita juga perlu menerima. Tetapi hidup orang lain lebih bererti saat kita memberi.

Ambil contoh, ibu bapa yang keletihan di tempat kerja. Pulang ke rumah hanya ingin berehat dan meluangkan masa sendirian.

Anak kecil pula penuh dengan tenaga yang dahagakan perhatian dan masih mahu bermain?

Memberi atau menerima? Terima hakikat yang hidup sendiri lebih utama. Atau memberi sedikit masa untuk anak-anak.

Ada pilih menerima kerana percaya kebahagian adalah usaha mutlak sendiri dan mempunyai hak ke atasnya

Ada pilih memberi kerana percaya kebahagian orang lain adalah pelaburan. Tidak pasti tapi mungkin ada nanti.

Friday, June 28, 2019

Nikmat Ilmu

Kita harus bersyukur dengan setiap nasihat. Biarpun sesetengahnya tidak lunak di telinga atau pedih di hati.


Tuesday, June 25, 2019

Kalendar

Hanya sebagai hiasan,
Saat teknologi mula menjajah.

Kalendar di jam,
Kalendar di telefon.

Tapi manusia masih alpa.
Dengan lajunya masa.


Monday, June 24, 2019

Puasa 6

Banyak open house berderet
Cabaran untuk selesai

Antara memenuhi jemputan
Dan mengejar pahala

Semoga dipermudahkan

Wednesday, June 12, 2019

Masa depan

"Toronto's Airport is closed for take off and landing due to hurricane. We have to reroute to nearby airport. My apology for the inconvenience caused. For those with connecting flight, rest assured that our ground personnel will be more than help to assist," ujar juruterbang melalui sistem audio.

Baru sebentar tadi Ahmad dikejutkan oleh Ali kerana pesawat sudah hampir tiba di lapangan terbang. Dengan tidak semena-mena pula pesawat perlu ke tempat lain untuk tujuan mengisi minyak. Sesungguhnya manusia itu kerdil berbanding kuasa Allah. Walaupun hampir pasti namun jika bukan rezeki ia tidak akan jadi milik kita.

Ahmad cuma mampu berdoa supaya pesawat mereka dapat kembali mendarat di Toronto kerana waktu penerbangan seterusnya ke Dubai adalah lebih kurang 2 jam 30 minit. Harapannya dengan YYZ ditutup untuk perlepasan dan ketibaan maka Insya Allah mereka mempunyai masa yang cukup.

Sekali lagi manusia hanya boleh berusaha dan selebihnya berdoa kerana kita tidak tahu masa depan. Sebaik-baik perancangan kita maka yang lebih baik itu aturan Allah terhadap kita.

Jangkaan Ahmad meleset kerana memandangkan pesawat mereka merupakan yang pertama mendarat di lapangan terbang alternatif maka pesawat mereka adalah yang terakhir akan meninggalkan tempat berkenaan. Akhirnya, pesawat mereka tersadai selama hampir 4 jam dengan mengambil kira keadaan cuaca di Toronto dan menunggu giliran untuk berlepas semula ke Toronto.

"Allah. Sempat ke kita ni Ali nak kejar flight Emirates? Kalau kena tinggal macam mana? Dah la kita tak ambil travel insurance. Nyesalnya. Takkan nak beli tiket lain. Aduii. Padahal kalau beli pun boleh claim je sebenarnya," keluh Ahmad kepada Ali.

Ali hanya membisu. Min pula hanya memandang tanpa sebarang reaksi.



Tuesday, June 11, 2019

YYZ

YEG-YYZ-DXB-KUL adalah destinasi yang tertulis dalam tiket elektronik Ahmad.

YEG : Edmonton International Airport
YYZ : Toronto International Airport
DXB : Dubai International Airport
KUL : Kuala Lumpur International Airport

Kali terakhir Ahmad ke bandar Toronto adalah setahun yang lalu semasa lawatan pengarah baru penaja ke Kanada. Toronto merupakan bandar yang terbesar dan paling popular di Kanada.

Malah ramai juga yang beranggapan ibu negara Kanada ialah Toronto sedangkan yang sebenarnya adalah Ottawa. Di negara barat seperti Kanada, bandar-bandar dirancang dengan lebih teliti mengikut fungsi. Ini bagi mengurangkan kesesakan dan juga memastikan pembangunan yang terancang dalam negara atau negeri. Jika Ottawa hanya sebagai ibu negara, maka Toronto pula sebagai bandar utama yang menjadi pusat perdagangan, teknologi dan juga fesyen. Maka tidak perlu segala kesesakan manusia atau trafik bertumpu hanya di Ottawa hanya kerana ianya sebuah ibu negara.

Hal ini juga dapat dilihat di negeri (province) lain seperti Alberta yang mana pusat pentadbiran terletak di Edmonton manakala bandar utama ialah Calgary yang mengambil masa 3 jam perjalanan kereta.

Walaupun tiket yang dipegang oleh Ahmad merupakan perjalanan sehala, dia teruja kerana bakal menaiki pesawat Airbus A380 yang merupakan pesawat penumpang terbesar di dunia. Yang paling penting lagi tiket sehala ini ditanggung sepenuhnya oleh pihak penaja. Wang yang perlu disediakan oleh Ahmad hanyalah untuk tujuan bersiar-siar selama beberapa hari di Dubai nanti.

Ahmad terlena dalam sementara menunggu pesawat tiba di YYZ. Walaupun Toronto dan Edmonton berada dalam negara yang sama namun perjalanan udara mengambil masa selama 3 jam 45 minit dengan jalan darat tersingkat sejauh 3,288 km.


Ahmad terjaga saat Ali mencubit lengannya dan memberi isyarat pesawat menghampiri Lapangan Terbang Toronto. 

Tiba-tiba lampu isyarat pesawat menyala dan kedengaran sistem audio juruterbang diaktifkan bagi pengumuman. 

"Hi ladies and gentlemen. This is your captain. I would like to apologize for........."



Monday, June 10, 2019

Departure

Selepas 40 minit, kereta abang Syed mula menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Edmonton.

"Tak perlu kot aku nak sayu. Bukan nak masuk penjara atau hukuman mati mandatori. Insya Allah I'll be back," pujuk hati kecil Ahmad.

Abang Syed menurunkan mereka di balai ketibaan sementara dia pergi untuk mencari tempat letak kereta. Kesempatan itu, Ahmad melihat kawasan sekeliling balai ketibaan.

Terdapat beberapa perubahan disebabkan kerja pembesaran lapangan terbang namun beberapa kawasan masih lagi sama seperti 4 tahun yang lalu. Ahmad masih lagi boleh terbayang saat dia melangkah keluar dari pintu ketibaan dengan memakai jaket putih yang dibeli di Alor Star Mall.

Setiap langkah disusuli dengan pandangan yang tajam walaupun sebenarnya dia sudah beberapa kali ke lapangan terbang sepanjang tempoh 4 tahun itu.

Benar yang manusia akan mula menghargai saat mereka mula kehilangan sesuatu. Entah bagaimana pula rasanya langkah seseorang banduan saat melangkah menuju ke penjara? Jarang sekali kita bersyukur dengan nikmat kebebasan saat kita melangkah bebas.

Ahmad hanya tersenyum saat melalui kiosk Booster Juice. Kenangan meminum air rumput masih menggamit memori malah rasa payau tiba-tiba terasa.


Sunday, June 9, 2019

Mereka Pergi.

Malam ini mata Ahmad terasa sukar untuk tidur. Dia terbayangkan hari esok yang bakal tiba. Masa berlalu terlalu pantas sehingga dia terasa banyak lagi perkara yang belum dilaksanakan.

"Ahmad. Kau dah ambil belum baju kat laundry? Aku tengok dari tadi ada kat bawah. Nanti lewat kau bersiap," ujar Ali yang tiba-tiba menguak daun pintu bilik Ahmad.

Rupanya Ali juga seperti Ahmad yang masih belum terlelap. Mencari alasan dengan mencuci baju pada jam 3 pagi. Mungkin Ali juga terasa berat hati untuk meninggalkan tempat ini.

Tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat menuntut ilmu selama hampir 4 tahun.

Esok mereka akan meninggalkan bumi Kanada untuk pulang ke tanah air. Mengikut itinerari mereka akan singgah di Dubai selama 2 hari untuk bersiar-siar.

Lumrah untuk Ahmad melakukan stopover setiap kali pulang ke Malaysia kerana kos yang lebih berpatutan.

Namun kali ini berbeza, tiket yang dibeli adalah sehala. Mereka tidak akan pulang semula ke Kanada.

Tepat jam 8 pagi, abang Syed tiba di pintu 9001 Hub Mall. Awalnya, mereka ingin ke lapangan terbang menggunakan van Sky Shuttle namun pada saat akhir abang Syed menawarkan diri untuk menghantar mereka buat kali terakhir.

Hati Ahmad terasa sebak saat membuka pintu rumah kerana kelihatan sekumpulan rakan-rakan junior telah lama menanti mereka. Bertambah berat langkah Ahmad menuruni anak tangga Hub Mall.

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Jika tak kerana masa dan jarak, manusia tetap asing saat mereka dijemput Illahi. Apa yang penting adalah memori yang ditempa sepanjang perjalanan hidup.

"Selamat tinggal Edmonton," bisik hati Ahmad saat melabuhkan punggung atas kerusi kereta abang Syed.

Sepanjang perjalanan, Ahmad hanya mendiamkan diri. Min sememangnya diam seperti kebiasaannya.

Hanya kedengaran suara Ali yang berbual di hadapan bersama abang Syed.


Saturday, June 8, 2019

Negara Kanada (Part 1)


  1. Kanada terdiri daripada 13 negeri iaitu 10 province dan 3 territories
    • Perbezaan antara province dan territory sebenarnya berpunca daripada asal usul pembahagian kuasa dan penubuhannya. Kuasa province disebut jelas dalam Constitution Act 1867 manakala territories pula ditentukan oleh Parlimen Kanada.
    • Secara ringkasnya province ini seperti negeri di Malaysia tetapi versi berkuasa. Jelas bidang kuasa antara kerajaan persekutuan dan negeri. Kuasa kerajaan negeri juga lebih berbanding persekutuan. Hal ini sebaliknya bagi territories.
  2. Negara kedua terbesar di dunia selepas Rusia. (by land area)
  3. Bahasa rasmi Kanada ialah Bahasa Inggeris dan Perancis. Sebenarnya hampir semua penduduk Quebec menggunakan bahasa Perancis dalam kehidupan seharian. 
  4. Satu-satunya negara yang berkongsi sempadan darat dengan Kanada ialah Amerika Syarikat dan sempadan ini tidak berpagar.
  5. Kerajaan demokrasi berparlimen dengan Queen Elizabeth sebagai ketua negara manakala Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan. Namun begitu, jarang sekali atau mungkin tidak pernah urusan negara diusik oleh Britain.

Friday, June 7, 2019

Solat Jumaat Syawal

Jumaat pertama selepas Ramadan.
Khutbah berkisar tentang amalan Ramadan yang harus diteruskan.

Imarah masjid, membaca Al-Quran, bersedekah, qiamullail dan puasa sunat.
Khatib memberi peringatan tentang kepentingan konsisten. Biar sedikit namun berterusan supaya momentum kekal dan amal terus mengalir.

Jemaah juga digesa untuk rebut peluang puasa 6 hari di bulan Syawal bersandarkan kepada hadis

Daripada Abu Ayyub RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian mengiringi dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal, pahalanya seperti berpuasa setahun”.
 
(Hadith Riwayat Muslim)


Thursday, June 6, 2019

Busuk

Bau busuk menusuk hidung sebaik sahaja Ahmad membuka pintu rumahnya.

Ali dan Min hanya menggeleng kepala saat ditanya tentang bau busuk tersebut. Bau yang semakin kuat mula menyakitkan kepala Ahmad.

Tiba-tiba siren kecemasan Hub Mall berbunyi. Ahmad menjengah ke tingkap kayu untuk meninjau situasi. Kelihatan polis kampus mula berlegar-legar di bawah.

"Hey bro. Please evacuate your unit now!" jerit polis tersebut setelah terlihat Ahmad yang terpinga pinga di tingkap.

Tanpa berlengah, Ahmad dan rakan bergegas menuruni tangga Hub Mall.

Di bawah Hub Mall, kelihatan beberapa kenderaan polis dan bomba. Beberapa anggota bomba pula memakai pakaian seperti pasukan Hazmat.

Selang 2 minit, Ahmad menerima sms daripada universiti yang meminta para pelajar menjauhi kawasan Hub Mall kerana dikhuatiri terdapat kebocoran gas beracun.

Timbul rasa kesal di hati Ahmad kerana tidak menyarung baju sejuk sebelum turun sebentar tadi. Dia hanya memakai tshirt nipis dengan seluar pendek kerana menyangka ianya cuma latihan pengungsian bangunan.

Ahmad meluru ke bangunan stesen lrt universiti kerana mula kesejukan sementara Ali dan Min yang berpakaian lengkap bergerak ke downtown untuk mencari makanan. Terasa segan untuk ke berjalan jauh kerana pakaian yang tidak sempurna.

Sementara menunggu, Ahmad mengambil surat khabar dari sebuah peti news yang terletak dalam stesen. Menariknya di Kanada, surat khabar banyak didapati dalam peti news samada berbayar atau percuma.

Yang lebih mengkagumkan Ahmad adalah bagi surat khabar berbayar, sebaik sahaja koin dimasukkan dan peti dibuka. Pelanggan sebenarnya boleh mengambil lebih dari satu surat khabar. Namun perkara demikian tidak berlaku di sini atau mungkin tidak di hadapan Ahmad.


Selepas sejam, kelihatan beberapa anggota bomba mengusung bungkusan hitam dan dibawa masuk ke dalam ambulans. Ahmad segera mencari maklumat di laman sosial dan benarlah seperti telahannya yang bungkusan hitam itu berisi mayat manusia.

Seorang pelajar tahun akhir kejuruteraan kimia telah membunuh diri dengan menggunakan gas ammonia. Mungkin pelajar itu tertekan dan nekad membunuh diri 3 minggu sebelum minggu peperiksaan akhir.

Siapa sangka bulan April yang masih dingin telah meragut nyawa seorang manusia yang hilang kawalan.

Wednesday, June 5, 2019

Sama

Semua nampak flat.

Flat sehingga tiada rasa.

Saat yang lain berdoa.

Agar bertemu Ramadan.

Mungkin aku tak layak lagi bertemu.

Supaya mereka bahagia.

Dan menari di bumi ini.

Menari di tanah merah ku.


Tuesday, June 4, 2019

L Express

Suhu yang dingin terasa sehingga ke tulang hitam. Ahmad menarik selimut untuk menyambung tidur namun dilihatnya jam sudah hampir 7 pagi.

Rasa malas mula merajai fikir ditambah pula suhu membeku musim sejuk.

Ahmad mula mengeluh apabila memikirkan yang dia juga perlu bekerja separuh masa di Canada kerana elaun yang diberi oleh penaja tidak mencukupi untuk kehidupan seharian.

Sebagai pemegang permit belajar, Ahmad hanya boleh bekerja dalam kawasan kampus sahaja. Dia terpaksa menunggu lagi 6 bulan untuk memohon permit kerja untuk membolehkannya bekerja di luar kampus universiti.

Kehidupan di negara luar tampak menarik di mata orang lain tetapi tidak semuanya indah. Namun, pengalaman jugalah yang menginsankan seorang manusia. Seorang jurutera itu bukan diukur dengan skrol ijazahnya tetapi dibentuk dengan perjalanan getir penuh ranjau untuk bergelar jurutera.

Bekerja di dalam kampus bermakna pilihan tempat kerja agak terhad dan gaji agak rendah. Setelah beberapa kali mencuba dan hasil pertolongan rakan, Ahmad akhirnya beroleh kerja di restoran L Express dengan gaji CAD 8.50 sejam.

Memasak bacon strip, scramble egg, pasta dan hash brown merupakan rutin kerja Ahmad yang bertugas pada hari Sabtu dan Ahad. Antara pengalaman yang masih menggamit memori adalah aktiviti menyusun bacon strip atas dulang sebelum dimasak dalam ketuhar. Setelah selesai dimasak, Ahmad akan membuka pintu ketuhar dan terus berlari kerana tidak mahu menyedut asap bacon. Terasa hidungnya perlu disamak jika terbau asap itu.



Monday, June 3, 2019

Ramadan yang akan pergi

Malam ini yang terakhir,
Tarawih yang terakhir.

Ramadan akan pergi,
Namun aku masih di sini.


Sunday, June 2, 2019

Kawan

Baru ku sedar.
Diri ini tak punya kawan.

Yang ada kawan sementara.
Kemudian berlalu pergi.

Mungkin aku tak pandai bersosial.
Layak hidup bersendiri.

Dibenci penghuni Bumi.
Yang melihatku dengan jelik.

Saturday, June 1, 2019

Cemuhan

Saat itu.
Bila mereka jelik melihatmu.
Bagai sang badut.
Sembunyi di sebalik mekap.

Saat itu.
Bila penghuni benci kamu.
Segala tingkahmu dikeji.
Walau hanya berkata pada semut.

Saat itu.
Mereka hanya mau kamu lenyap.
Pergi jauh jauh dari mata.
Kerana kejelikanmu.

Saat itu.
Kamu hanya ingin pergi.
Namun penghuni langit.
Pasti jua mencemuhmu.