Pages

Sunday, November 6, 2011

Jangan cepat panik

Salam rakan-rakan.

Selamat Hari Raya AidilAdha. Maaf zahir dan batin kepada rakan-rakan yang beragama Islam :)


Langit Tidak Selalunya Cerah
  • Pada 1 Oktober 2011 yang lalu, kereta Proton Persona yang dipandu oleh saya terlibat dalam sebuah kemalangan dengan sebuah motosikal di MRR2 menghala ke arah Kepong.
  • Pada masa itu, saya dalam perjalanan pulang ke rumah sewa dari Ulu Yam. Saya sempat meluangkan masa selama beberapa jam bersama rakan di sana bagi menikmati keindahan ciptaan Allah.
  • Rakan saya mencadangkan untuk berehat di Ulu Yam setelah melihat keadaan diri saya yang agak tertekan dengan beberapa masalah yang menimpa diri dan dicampur dengan faktor kerja. Alhamdullilah, saya "had a great time" bersama rakan-rakan di sana. Hanya senyuman yang terukir sepanjang kami menghabiskan masa bersama.
  • Namun Allah Maha Berkuasa apabila saya diduga disaat cuba mengukir senyuman. Kereta yang dipandu oleh saya dilanggar dari belakang oleh sebuah motosikal. Akibatnya, penunggang tersebut terpelanting ke tengah jalan. Tidak dapat saya gambarkan perasaan cemas saya saat melihat beliau tergolek di atas jalan yang sibuk. 
  • Alhamdullilah, tiada kenderaan lain yang melanggar beliau selepas itu kerana kami sempat mengangkat beliau ke bahagian tepi jalan. Saya mula menyalahkan diri sendiri setelah melihat beliau luka dan mengerang kesakitan. 
  • Mungkin saya cuai? Mungkin ini balasan Allah? Mungkin saya terlalu memikirkan masalah yang tidak sepatutnya? Hanya rasa benci pada diri sendiri menghantui fikiran saya.
  • Setelah itu saya membawa beliau ke Hospital Selayang bagi mendapatkan rawatan. Dalam perjalanan, saya masih lagi bingung. Apakah nasib keluarga beliau? Bagaimana jika kecederaan dalaman beliau parah? 
  • Mood saya yang kembali ceria seketika sebelum kejadian hilang dengan serta merta mengenangkan musibah ini. 
  • Setelah beberapa jam, beliau disahkan tidak mengalami kecederaan yang serius. Saya hanya mampu bersyukur kerana Allah masih sayangkan saya dan beliau. Laporan polis dibuat pada hari yang sama.
Tips Menangani Kes Kemalangan Bukan MAUT 

*Tips ini hanya sesuai jika anda memiliki lesen,cukai kenderaan,insuran dan bercadang membuat laporan polis*

  1. Jangan panik.. Jangan salahkan diri sendiri. Ingat bahawa kejadian sudah berlaku. Menyalahkan diri tidak akan merubah apa-apa. Anggap yang kejadian berlaku itu akibatnya kecuaian kedua-dua pihak WALAUPUN anda yakin sebaliknya.(*Anda tidak perlu mengaku salah dengan serta merta. Anda mungkin rasa bersalah apabila dikerumuni orang ramai*)
  2. Cuba selamatkan/alihkan mangsa dari laluan trafik JIKA KEADAAN SELAMAT dan MENGIZINKAN.
  3. Alihkan kenderaan yang terlibat ke tempat yang selamat dan tidak menganggu trafik kenderaan lain. Jangan tergesa-gesa untuk mengambil gambar kerana ini bukan kes kemalangan maut.
  4. Jika ada mangsa mengalami kecederaan yang serius. Hubungi ambulans atau segera ke hospital berdekatan.
  5. Ambil gambar kenderaan yang terlibat. Ini boleh membantu pihak polis dan insurans melakukan siasatan
  6. Catat maklumat berkaitan kejadian seperti nama pihak yang terlibat, nombor pendaftaran,jenis dan warna kenderaan. Lokasi dan waktu kejadian juga perlu dicatat.
  7. Buat laporan polis. Laporan polis perlu dibuat dalam masa 24 jam dari waktu kejadian kemalangan bagi pihak yang tidak mengalami sebarang kecederaan.
  8. Hubungi pihak insurans bagi mendapatkan bantuan/maklumat lanjut
Mengapa lapor kepada Polis
  1. Mengelakkan diri daripada dikenakan dakwaan langgar lari sekiranya pihak yang lain tiba-tiba membuat laporan polis.
  2. Membolehkan tuntutan insurans dilakukan atas kerosakan yang berlaku ke atas kenderaan kita.
  3. MELINDUNGI diri kita!! Hanya dengan laporan polis kita layak membuat tuntutan lain yang berkenaan terhadap majikan kita.
  4. Kita mungkin mengalami kecederaan dalaman akibat kemalangan tersebut. Jika tiada laporan polis, bagaimana kita mahu melakukan tuntutan berkenaan?
  5. Biarlah pihak polis menentukan siapa yang bersalah tanpa perlu kita melutut memohon kemaafan yang kadangkala sukar diungkapkan oleh sesetengah pihak.
  6. Pihak polis akan menyiasat laporan kemalangan yang diterima. Pihak yang bersalah akan dikompaun sebanyak RM 300. Namun kompaun ini tidak menjejaskan tuntutan insurans anda melainkan wujud UNSUR JENAYAH dalam kemalangan.
  7. Apa guna bayar insurans kalau asyik nak kurang NCD sahaja? Tanya diri sendiri.
Jika Enggan Lapor Kepada Polis
  1. Jika anda enggan melapor kepada polis kerana tiada lesen,cukai, insurans, percaya akan kesalahan sendiri maka itu risiko yang perlu ditanggung sendiri.
  2. Anda mungkin ditekan untuk membayar kos-kos yang tidak munasabah.
  3. Walaubagaimanapun, jika anda tetap enggan melaporkan kepada polis saya sarankan untuk anda sediakan persetujuan bertulis yang perlu ditandatangani oleh kedua-dua pihak untuk tidak membawa kes kemalangan ke muka pengadilan.
  4. Namun, anda mungkin menjadi mangsa keadaan apabila ditekan oleh sesetengah pihak.
Itu sahaja yang ingin saya kongsi bersama rakan-rakan. Semoga kejadian yang berlaku menjadi iktibar kepada saya dan juga semua. Pesan saya, jangan sesekali kita bersangka buruk terhadap ALLAH kerana tidak pernah mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita secara total. Wallahualam.

~~Tyrox SaN~~