Pages

Monday, December 31, 2018

Kotak

Salam,

Saya merayau rayau ke beberapa bengkel motorsikal dengan niat untuk memasang kotak simpanan. Purata harga sekali pemasangan adalah RM 230+ bagi model GIVI yang sama.

Setelah hampir lima buah kedai, saya mula menerima hakikat yang harganya memang lebih kurang sama sahaja di setiap kedai.

Sinar mentari yang terik membuatkan saya bertambah tekad untuk menyudahkan pencarian saya dengan segera. Kedai yang kedua yang dipilih kerana harga yang paling murah. Dalam perjalanan, saya melalui sebuah bengkel yang belum disinggahi.

Saya singgah juga di bengkel walaupun keletihan dek panas mentari. Mungkin sudah rezeki, rupanya harga di bengkel ini lebih murah iaitu hanya RM160 bagi model yang sama. Terus saya cakap YES kepada mekanik. Selang setengah jam, motorsikal kapcai sudah bertukar wajah menjadi lebih baharu.

Kadang-kadang di saat kita ingin berputus asa mungkin ada baiknya untuk kita berhenti seketika dan mencuba sekali lagi kerana hasilnya hanya Allah yang tahu.

Semoga Allah permudahkan urusan Akmal pergi dan pulang ke pejabat dengan motorsikal kapcai.

Sunday, December 30, 2018

Kawan baik yang cilik

Salam,

Sudah masuk minggu kedua sejak anak yang paling kecil bernama Amani masuk ke taska. Sepanjang minggu pertama, Amani akan menangis sambil peluk erat kerusi kereta saat tiba di taska.

Masuk minggu kedua, Amani sudah boleh tersenyum apabila pengasuh depangkan tangan. Alhamdullilah.

Perkara yang menarik dengan anak kecil adalah di saat mereka tersenyum pasti beban di bahu rasa hilang seketika. Bila tiada depan mata pula kita rasa susah hati.

Saya memang gelisah jika tidak dapat tidurkan Amani pada waktu malam. Dia kawan yang kecil tetapi busuk.

I love you Amani

Saturday, December 29, 2018

Bazar Ramadan Kolej

"Ahmad. Esok kau kena jaga booth bazaar Ramadan tau, " ujar Ashraf yang juga Presiden Persatuan Sahabat Sunway.

"Eh. Aku lagi ke hari ini? Mana pi budak lain? Asyik rotate aku, kau dan Abdul je? Budak MUFA macam tak support je event Sahabat ni. Ok la Asyraf aku jaga la booth petang ni. So pukul berapa ko janji dengan Ustazah Wati untuk aku amik lauk kat bilik dia?" balas Ahmad secara malas.

Ahmad tahu dia perlu bantu Asyraf kerana nak mengangkat tray makanan dari bilik ustazah memang perlu tenaga yang banyak. Pelajar MUFA yang perempuan ramai nak membantu cuma aktiviti persatuan kurang dapat sambutan pelajar lelaki MUFA. Jadi selalunya Ahmad, Abdul dan Asyraf sahaja yang ada.

"Hari ini kau mesti happy punya la Ahmad. Aku guarantee," balas Asyraf sambil tersenyum.

Mata Ahmad cuma melirik ke atas sebab malas nak melayan Asyraf. Tujuan bazar Ramadan ini dibuat adalah untuk mengumpul dana berbuka puasa secara mingguan oleh Persatuan Sahabat. Misi Ustazah Wati adalah untuk menyatukan pelajar Melayu yang semestinya Islam di Kolej Universiti Sunway kerana beliau bimbang dengan tahap kebebasan di kolej ini berbanding IPTA lain. Semestinya, makanan percuma adalah iklan terbaik untuk menarik pelajar-pelajar Melayu di sini.

Ahmad rasa resah dan cuba mengumpul kekuatan untuk membuka mulut.

"Dah kenapa yea kali ini aku rasa gugup semacam?" bisik hati Ahmad. Kelihatan Asyraf yang memerhati di sebalik tiang bertentangan mesin ATM CIMB sambil tersenyum kambing.

"Assalamualaikum. Nama awak siapa? Saya Ahmad. Student CIPM. Ini first time yea awak jaga booth ini?" soal Ahmad cuba membuka bicara dengan si gadis yang bertugas bersama dia hari ini.

"First time la kalo hari ini baru nampak. Nama saya Fatin," balas gadis bernama Fatin itu secara serius dengan jelingan mata yang tajam ke arah Ahmad. Selepas itu Fatin terus menyambung rutin dia menuding ke arah kuih di atas meja satu persatu.

Ahmad dapat merasakan yang Fatin tidak selesa dengan beliau. Namun dia tahu ini mungkin peluang keemasannya untuk berkawan dengan Fatin. Apa lagi alasan dia untuk menyapa Fatin sekiranya bertembung di foyer kolej?

"Awak ambil course apa di MUFA?" tanya Ahmad walaupun dia sudah tahu sedikit sebanyak latar belakang Fatin.

Terdengar suara Fatin melepaskan nafas sambil merenyuk plastik bungkusan makanan yang terletak atas meja.

"Kacau la dia ni. Saya tengah kira bilangan kuih ni. Ni saya dah lupa. Saya nak kena kira balik satu persatu persatu dari mula. Asyik dok tanya soalan je. Saya ambil Engineering kat MUFA," bebel Fatin bersama pakej jelingan mata yang garang ke Ahmad.

Ahmad terdiam tapi dia terhibur melihat telatah Fatin. Entah kenapa perlu Fatin mengira bilangan kuih tersebut sedangkan Ahmad dah tulis bilangan kuih bagi setiap tray di atas 'sticky note' yang ditampal di meja. Mungkin sebenarnya Fatin juga gugup seperti mana Ahmad yang resah bertugas pada hari ini.

Sepanjang tempoh jualan itu, mereka berdua tidak banyak berbual kerana Fatin masih lagi dengan telatah seriusnya. Ahmad pun tidak berani bertanya lebih kerana risau dijeling dengan tajam lagi. Sekejap sahaja makanan bazar telah habis dijual. Ahmad rasa seperti masa berlalu dengan pantas hari ini walaupun dia terpaksa mengunci mulut tidak seperti kebiasaannya. Pelajar yang singgah membeli pun menegur Ahmad kerana bazar kelihatan sunyi pada hari ini.

Dalam perjalanan pulang ke kondo penginapan, Ahmad masih rasa terusik dengan jelingan dan kata-kata oleh Fatin. Detik perbualan pertama Ahmad dan Fatin hari ini terasa melekat dalam jiwa Ahmad dan membuatkan dia nekad untuk terus mengenali Fatin.

Ahmad bertambah ceria kerana dia berjaya mendapatkan no telefon Fatin secara gentleman walaupun dia sudah dapatkannya secara curi-curi dari Asyraf sebelum ini. Fatin beri no telefon kepada Ahmad biarpun dengan kerutan dahi seakan tidak berpuas hati.






Friday, December 28, 2018

Itik

"Ahmad! Ahmad! Mai sini. Cuba tengok ni lama-lama."

"Weyh hang tengok mana tu?"

Ini merupakan antara kata biasa yang selalu didengar oleh Ahmad. Selepas berkata demikian, rakan-rakan berlari sambil ketawa dan mengejek.

Ya. Pada zaman itu murid murid suka mengejek fizikal dan nama ibu ayah.

Biasalah kalau diejek sebagai kanak kanak. Tetapi susah untuk budak seperti Ahmad. Baru dia nak jawab, rakan rakan gelak lagi dan ejek kali kedua kerana kegagapan Ahmad lagi menggelikan.

Lalu Ahmad pun hanya akan senyap bila dimainkan. Nak balas pun mesti tak terluah kata di lidah.

Mata Ahmad juling atau orang panggil malas itik. Bila dia melihat sesuatu selepas beberapa ketika kedua bola matanya akan letih dan mencapah ke kiri kan kanan.  Ahmad pun tak tahu macam mana ia berlaku.

Akibatnya, Ahmad gemar bercakap sambil menunduk kerana tak sanggup rakan-rakan. Bila sudah besar Ahmad akan kerap kelip mata supaya mata dia tidak malas.

Itu memori Ahmad yang hidup bersamanya. Kelakar bagi mereka tapi kesan kuat pada Ahmad.

Sebab itu saat 3 puterinya dilahirkan, dia agak susah hati jika mata mereka juga juling. Lega hati Ahmad bila lihat semua puterinya normal tidak seperti dia.

Thursday, December 27, 2018

Resolusi


Salam.


  • Tahun 2018 dah nak berlalu lagi 4 hari.
  • Mungkin bunyi seperti orang tiada wawasan tetapi resolusi saya hanya mahu jadi lebih baik dari semalam biarpun seinci.
  • Bersyukur dengan nikmat Allah

Wednesday, December 26, 2018

26 Disember

Salam,


  • Hari ini merupakan 26 Disember iaitu sehari selepas Krismas.
  • Semasa saya belajar di Canada, hari ini yang dipanggil Boxing Day merupakan waktu yang ditunggu kerana harga barangan yang sangat murah.
  • Antara barang yang dibeli oleh saya semasa boxing day adalah laptop, Xbox, kamera dan sebagainya (list goes on)
  • Cuma sekarang rasanya boxing day bukan lagi hari yang ditunggu sejak Lazada menguasai dunia e-shop. Lebih ramai mengenali 11.11 dan 12.12 terutama di Malaysia.
  • Ada sesetengah benda kita boleh raikan semula di tempat dan waktu yang hampir sama namun memori tak mungkin sama. Tahun ini mungkin kita menyambut hari bermakna dengan insan yang istimewa tetapi mungkin tahun mendatang hanya berseorangan kerana kematian.
  • Maka kita sebagai manusia perlu sedaya upaya untuk menghargai setiap detik dan masa yang ada. Sesaat ini ianya adalah peluang, sesaat kemudian ianya adalah memori.

Tuesday, December 25, 2018

Merry Christmas

Salam,

Christmas Tree at Suria KLCC

  • Ternampak pokok Krismas dalam perjalanan saya ke Hotel Mandarin Oriental, KLCC.
  • Saya cuba untuk recall kenangan Krismas di Canada tetapi macam kabur. Mungkin kerana saya sendiri tidak kisah dengan sambutan Krismas di sana sebab sibuk dengan 'snowboarding'. 
  • Tetapi saya agak yakin kerana sambutan di Edmonton agak hambar.
  • Krismas di Malaysia lebih meriah bukan kerana orang Malaysia nak jadi kristian tetapi kita semua suka bercuti.

Monday, December 24, 2018

Kuku


Ahmad mengayuh basikal sekuat hati tapi dia masih menoleh ke belakang untuk melihat samada orang mengejarnya masih ada di belakangnya. Dari kejauhan Ahmad dapat melihat satu objek berwarna hijau terbang laju ke arahnya.

Dushh. Tepat objek itu mengenai kepala Ahmad lalu dia tersungkur di atas jalan tar. Telinga Ahmad ditarik dan pipi dia ditampar berkali-kali. Ahmad cuba merayu namun tidak dihiraukan. Ahmad perlu dihukum kerana dia berebut kicap dengan adiknya sehingga botol terlepas dan jatuh berkecai atas lantai.

Ini episod Ahmad. Dia perlu dihukum. Biar dia cuba ‘trick’ untuk menangis terlebih dahulu namun ia tidak pernah berhasil. Mungkin Ahmad ini terlalu nakal jadi hukuman lebih sesuai untuk dia.
Kuku Ahmad pendek. Tidak sempat ia tumbuh, maka Ahmad akan mengigit kukunya.

Digigit semasa dia rasa gementar
Digigit semasa dia takut
Yang pasti semasa dia menangis.
Aturan ini pula berlaku setiap hari.

Namun Ahmad tidak tahu apa-apa. Dia cuma kanak-kanak berusia 8 tahun yang sentiasa cuba mencari apa salah dan dosanya.

Sampai besar pun rupanya Ahmad masih belum keluar dari tabiat buruknya.
Mungkin sudah ditakdirkan Ahmad akan bawa bersama tabiat ini hingga mati. Kerana Ahmad masih Ahmad yang belum sedar. Biarlah Ahmad mencuba sekuat hati Ahmad masih akan berada di situ.

Sunday, December 23, 2018

Jeritan

"Aku makan pisang goreng yang mak aku masak semalam!!!!!!!!!"

"Aku tak jawab soalan Matematik tadi sebab susah sangat!!!"

Jerit Ahmad di tepi batas sawah yang terletak hampir 300 meter dari rumahnya.

Itulah aktiviti tetap Ahmad hampir setiap hari. Dia tidak tahu bermain bola sepak. Dia kaki bangku. Selalunya, Ahmad akan singgah di tepi batas itu selepas bermain sekejap dengan Mael.

Walaupun Mael kawan baiknya, Mael seorang pemain bola dan akan turun ke padang hampir setiap hari. Jadi pada waktu Ahmad tiada kawan tapi dia ada rutin.

Rutin dia adalah menjerit ayat panjang di sawah padi seorang diri. Kenapa?

Ahmad seorang yang gagap. Gagap yang teruk. Dia sentiasa diejek oleh rakan-rakan kerana jelek dengan tutur dia yang terketar ketar. Ahmad gagap.

Alhamdullilah. Pertuturan Ahmad yang gagap semakin pulih sejak dia ada rutin menjerit.

Sekurang kurangnya Ahmad ada peluang untuk membesar lebih baik. Hanya orang yang gagap tahu derita bila perkataan yang sudah ada di hujung lidah tapi tak mampu dituturkan. Ditambah dengan pedih ditertawakan dengan terbahak bahak

Saturday, December 22, 2018

Alia

Ahmad menggeletar satu badan. Nafas dia sesak bagai peparu mengembang dalam sangkar rusuk yang semakin mengecil.
Fuhhhh. Fuhhhh. Beg kertas kecil dihembus berulang kali oleh Ahmad dengan harapan keadaan dia semakin reda. "Ahmad. Next time jika kamu rasa breakdown sehingga menggeletar, ambil paper bag then hembus banyak kali," pesan Dr Sofia.
Pisau di tangan mula digenggam erat. Ahmad rasa sakit tapi dia sendiri pun tak tahu di mana yang sakit. Ahmad cuma rasa penat dan dia berharap tiada lagi esok untuknya.
"Papa. Papa buat apa tu?" panggil Alia dari hadapan bilik tidurnya.
Untuk kali yang entah berapa, Alia menyedarkan Ahmad perkara yang mudah.
Hidup itu satu pilihan.
Semua orang dicipta dengan tujuan.
Alia perlukan Ahmad.
Ahmad sayangkan Alia.
Sudah pasti Ahmad tidak sanggup Alia membesar dengan memori itu.
Terima kasih Alia.

Friday, December 21, 2018

Orang Itu

"Ha ha," ketawa Ahmad dan rakannya dalam bilik pantri pejabat beliau.

Tok tok. Tiba-tiba mucul seorang makcik cleaner di hadapan daun pintu pantri. Nada perbualan mereka berdua direndahkan bagi menghormati kehadiran makcik yang datang untuk menjalankan tugas rutinnya.

Namun sepanjang tempoh itu, makcik membuat kerja dengan lebih perlahan dan asyik memerhatikan perbualan mereka. Seusai tugasnya, makcik berlalu keluar sambil memberikan senyuman kepada Ahmad.

"Encik. Encik. Tunggu sekejap," laung makcik yang sama sebaik sahaja Ahmad keluar dari pantri tersebut. Rakannya pula terus berjalan laju ke arah lif meninggalkan Ahmad dan makcik.

"Encik berbual dengan siapa tadi?" soal makcik.

"Kawan saya. Kenapa makcik?" balas Ahmad.

"Ooooo. Nama apa? Ofis kawan encik tu di tingkat berapa?" tanya makcik bersungguh.

Ahmad tersenyum sambil menggaru kepala melihat telatah makcik yang agak kepoh.

"Encik. Encik bercakap sorang-sorang tadi. Encik gelak pun sorang-sorang. Encik okay ke?" asak makcik.

Soalan itu terus mematikan khayalan Ahmad.

Siapa sebenarnya kawan dia itu? Apabila ditanya oleh makcik. Baru Ahmad sedar yang dia pun tidak boleh recall siapa orang itu dan nama dia. Pelik.

Ahmad pun tidak tahu siapa. Seperti Ahmad lupa apa isi perbualan mereka sebentar tadi.

"He he. Makcik saya ke toilet dahulu yea," jawab Ahmad.

Siapa orang itu? Persoalan itu terus menghantui Ahmad

"Makin teruk ke sakit aku ni sebenarnya? Ya Allah." bisik hati Ahmad.

Thursday, December 20, 2018

Tirai Malam

Malam bulan dipagar bintang
Nampak cantik dari jauh
Indah sungguh dalam bunga hati

Tirai malam terus dilabuhkan
Apa mungkin tiada lagi mentari
Wajahnya ada tapi panasnya lenyap

Biarlah biarlah
Tirai ini berlabuh kemas
Kemas buat selamanya

Esok ada tapi mungkin tiada
Bagi sang pelukis cerita hidup
Yang ada terus ada.

Selamat malam sang malam

Wednesday, December 19, 2018

Gerabak LRT

Aku tiba di stesen
Ramai manusia berkumpul di platform
Semua menanti ketibaan tren
Banyak destinasi sepanjang laluan
Tapi arahnya cuma dua
Ke kanan atau ke kiri
Pilih la yang mana satu
Aku tak kenal kamu
Kamu juga tidak mengenal aku
Namun kita bersama dalam ratusan
Bergerak arah yang sama
Dan berpisah di stesen tertentu

Hidup perlu ada arah
Kita ada pilihan
Mungkin ada takdir sudah menanti
Tapi jangan putus asa
Usaha lagi kerana itu tugas manusia
Hasilnya kerja Tuhan
Samada layak atau sebaliknya

Manusia dan arah.
Jangan kamu pisahkan.

Tuesday, December 18, 2018

Hari Pendaftaran

Ahmad pernah tinggal di Bandar Sunway pada satu ketika dahulu untuk hampir satu tahun. Hari pertama Ahmad menjejak kaki di Bandar Sunway merupakan hari pendaftarannya di Kolej Universiti Sunway.

"Mak. Ok tak baju dan tie cheq ni?" tanya Ahmad sambil membetulkan tie di hadapan mak.

Emak hanya tersenyum. Boleh katakan emak walaupun tidak belajar tinggi kerana berkahwin awal tetapi mak tergolong sebagai orang yang pandai menguruskan hidup. Emak mungkin tak mampu beli makanan enak untuk anak anak tetapi emak akan cuba masak makanan yang lebih sedap untuk menjimatkan kos.

Namun oleh kerana ayah adalah seorang pesara polis berpangkat kopral maka emak semestinya tidak pernah mengikat tie.

"Cantik la anak emak ikat tie," balas emak tersenyum bangga.

Saat menjejak kaki di kolej, Ahmad terkejut kerana rata-rata pelajar memakai baju santai seperti seluar jeans dan t-shirt kolar bulat. Semua kelihatan seperti anak orang berada. Ahmad seperti berada di dunia asing. Malah ada pelajar yang menyapa Ahmad sebagai pensyarah kerana pakaian kemasnya.

"Kurang asam betul Puan Anisah tak habaq awai yang tak payah pakai baju skema," getus hati Ahmad.

Sebaik pendaftaran selesai dan berpelukan dengan emak. Ahmad mengambil masa untuk berjalan-jalan di sekitar kolej. Satu perkara yang Ahmad perasan adalah tidak ramai pelajar Melayu di situ.

"Mak aih mahainya harga," bisik hati Ahmad saat melihat papan tanda harga di kafe.

Ahmad pun mencongak elaun saraan bulanan yang bakal diterima dari penaja dengan bilangan hari dalam sebulan.

Secara kasar, Ahmad cuma boleh berbelanja sehari RM15 sahaja. Lebih dari itu Ahmad tidak akan cukup wang untuk survive. Ahmad memang tiada wang simpanan saat di menjejak kaki di Sunway. Ibunya sendiri terpaksa meminjam wang RM500 dari saudara untuk membayar deposit pendaftaran. Mujur di saat akhir pihak penaja memaklumkan bahawa deposit itu akan ditanggung sepenuhnya maka bolehlah emak pulangkan semula wang itu.

Ahmad juga sudah berjanji dengan diri sendiri yang dia tidak akan sesekali minta duit dari emak lagi. Biarlah Ahmad cuba survive supaya adik beradik lain dapat peluang menggunakan wang bulanan keluarga.

Ahmad perlu survive. Ini permulaan hidup sendirian Ahmad. Ahmad perlu kuat.

Monday, December 17, 2018

SATU Ringgit

Hajat di hati nak keluar beli makanan.
Dompet diselongkar terus rasa susah hati.
Hanya sekeping wang biru RM 1 terselit kemas.
Apalah yang dapat dibeli dengan ini?
Jari kelam kabut mengakses M2U.
Mujur masih ada wang berbaki.
Motor dihidupkan dan meluncur laju ke bank.
Alhamdullilah, dapat beli makanan untuk mereka.


Tapi ...... 
Tapi .....

Apa nasib insan lain yang bergelar ayah.
Yang hanya ada RM 1. 
Kering kontang akaun bank bagai gurun.
Barang dapur pula hanya tinggal bekas.
Sedang anak isteri dalam kelaparan.
Apa nasib kamu insan?

Pasti kamu pun sudah penat menbanting tulang.
Meredah panas dan basah demi sesuap nasi.
Aku tahu kerana aku juga ayah.
Sehingga tiada ruang untuk kamu berehat.

Insan.
Bersabarlah kamu dengan ujian ini.
Jangan putus asa.
Jangan diambil jalan singkat.
Saya di sini sentiasa doakan.

Dan bilakah kamu akan berhenti apabila wangnya sentiasa SATU ringgit.
Dan mampukah kamu bahagia apabila cinta manusia hanya pada manusia hanya setakat SATU peratus sahaja.

Insan.
Allah itu SATU.
Aku boleh berkata. 
Tapi yang berkuasa itu SATU.

Insan.
Di saat kamu kecewa.
Hendak putus asa.
Ingatlah hidup ini ada tujuan.
Biarpun esok segalanya masih satu untukmu.

Sunday, December 16, 2018

Kasut Hitam

Kasut tidak dibeli pun semalam.
Mungkin itulah saya pada hari ini.
Keperluan orang lain lebih dari diri sendiri.
Terutama buat anak-anak.
Bila yang tersayang rasa gembira.
Maka hidup pun rasa cukup.
Ada yang bertanya.
Kenapa suka simpan duit.
Tapi tak berbelanja untuk diri.
Untuk mereka. Untuk mereka.
Bukan berniat membeli kebahagiaan.
Tapi rasa belun cukup membahagiakan mereka.

Saturday, December 15, 2018

Bata

Kasut hitam BATA yang dibeli hujung tahun lepas sudah mula tertanggal tapak dan koyak.

Nampaknya saya perlu membeli kasut baharu hari ini. RM 60 untuk 12 bulan bermakna RM 5 bagi setiap bulan.

Dahulu suka juga pakai kasut yang lebih mahal tapi kesudahannya tetap sama. Koyak dalam tempoh setahun.

Jadi baiklah lagi saya beli kasut BATA.
Selesa dan murah.

Kemajuan

"Senarai penerima anugerah cemerlang tahun 1995 ialah .................................,"ucap Cikgu Letchumy sambil tersenyum.

"Cikgu. Saya dapat hadiah juga ke? Keputusan saya teruk," soal Ahmad kepada Cikgu Letchumy.

"Siapa kata teruk? Ahmad budak rajin dan pandai. Cikgu pilih Ahmad untuk dapat anugerah kemajuan tau. Sekarang Ahmad ambil kertas ini dan pergi dengan kawan-kawan lain ke bangunan kantin," balas Cikgu Letchumy sambil menghulur sekeping kertas.

Kertas yang diberi itu sebenarnya berupa baucar buku untuk ditebus oleh penerima anugerah cemerlang. Ahmad tersenyum kerana dia boleh naik pentas semasa berumur darjah satu. Sebaik tiba di kantin, Ahmad diminta untuk mencari buku bersamaan atau lebih kurang dari nilai baucar yang diterimanya. Baucar yang diterima Ahmad bernilai RM 5. Sambil itu sempat Ahmad mengerling ke baucar rakannya yang mendapat tempat pertama dalam kelas. Jumlahnya lebih besar dari amaun yang diterima darinya tetapi dia tetap tersenyum kerana hadiah hari ini pun seperti tidak dijangka jika dibandingkan dengan keputusannya. 

Hadiah kemajuan merupakah anugerah yang dipilih oleh guru kelas kepada anak murid yang tidak mendapat tempat pertama hingga ketiga namun menunjukkan peningkatan yang baik dalam tahun itu. Ahmad memang agak lembap semasa awal persekolahan walaupun dia telah mengikuti kelas tadika pada tahun sebelum itu. 

4 + 4 = 14
5 + 5 = 15

Bagi Ahmad, itulah jawapan bagi soalan diatas. Puas cikgu tadika cuba jelaskan 4 + 4 = 8 namun Ahmad masih yakin nombor yang sama apabila ditambah dengan nombor yang sama akan menjadi 10 + nombor berkenaan.

X + X = 10 + X . Ini pegangan Ahmad. 

Setelah masuk darjah satu baru lah Ahmad reti mengira dan membaca tetapi dia ketinggalan berbanding rakan-rakan lain. Mujur Cikgu Letchumy banyak bersabar dengan kebodohan Ahmad.

"Adik. Buku yang adik pilih ni RM 6. Harga dia lebih daripada baucar jadi adik kena tambah RM 1 lagi,"kata abang yang menjaga buku kepada Ahmad.

Ahmad menyeluk saku buat-buat mencari duit tetapi sebenarnya dia tahu tiada wang sebanyak itu dalam poketnya. Mustahil untuk dia ada duit sebanyak itu sedangkan wang saku harian dia cuma RM 0.20 setiap hari. 

"Maaf bang. Duit saya tak cukup. Saya cari buku lain," balas Ahmad sambil memegang buku bertajuk Sang Kancil dan Buaya.

Ahmad berpatah semula tempat longgokan buku untuk menukar buku yang harga kurang daripada RM 5. Namun buku yang lebih murah ternyata cuma buku kecil yang berwarna hitam putih. Berbeza sekali dengan buku Sang Kancil yang sedang dipegang oleh Ahmad.

Buku Sang Kancil yang dipilih Ahmad saiznya agaknya A4, gambar berwarna dan kertasnya licin. Berat hati Ahmad untuk melepaskan buku tersebut kerana ini adalah detik pertama Ahmad membeli buku. Dia tak pernah ada buku cerita sendiri kerana dia sedar ibunya tidak mampu. 

Walaupun Ahmad agak bodoh berbanding rakan seusianya tetapi dia juga ada keinginan untuk membeli sebuah buku tetapi semua itu dipendam kerana tidak sampai hati meminta dari ibunya. Dan kali ini pun dia terpaksa mengambil buku lain kerana sebenarnya Ahmad tidak mampu.

"Takpelah. Aku amik je lah buku kecil ini," bisik hati Ahmad sambil meletakkan semula buku Sang Kancil dengan mata yang agak berkaca.

"Adik suka buku ni ke?"soal abang cashier tadi yang kini tiba-tiba berdiri di belakang Ahmad.

Ahmad hanya mengangguk sambil melihat lantai simen kantin. "Takpe bang. Saya nak tukar dengan buku lain. Tadi silap pilih tak perasan harga," jawab Ahmad sambil tersengih cuba menutup kesedihan.

"Adik ambil ye buku ini. Baki RM 1 tu abang tolong bayarkan. Abang hadiahkan kat adik. Belajar rajin-rajin so tahun depan boleh beli lagi banyak buku," kata abang itu sambil memegang bahu Ahmad.

"Terima kasih abang," jawab Ahmad dan terus menyerahkan buku dan baucar kepada abang itu. Ahmad terus berlalu pergi dan pulang kelas. Mungkin sepatutnya dia peluk abang itu kerana telah memberi hadiah bermakna namun Ahmad terlalu gembira sehingga terlupa.

Ahmad tak sabar menunggu hari anugerah cemerlang untuk menerima buku tersebut di atas pentas. Itulah kisah buku pertama seorang budak bodoh bernama Ahmad.

Terima kasih Cikgu Letchumy kerana memilih Ahmad.
Terima kasih abang cashier yang bermurah hati belanja RM 1. Besar nilai RM 1 pada tahun 1995.

Sang Kancil dan Buaya. 

Friday, December 14, 2018

Kita berubah

Kita semua berubah samada kearah baik atau buruk. Tetapi apa pun bergantung kepada perspektif kita atau orang yang melihat. Ada orang kelihatan 'selfish' pada mata kita tetapi sebenarnya beliau hanya bertindak demikian pada waktu itu atau selepas sekian lama menjadi orang yang terlalu mengambil berat perasaan orang lain.

Dan yang pasti apa yang kekal dalam kehidupan adalah perubahan. Jangan putus asa hanya kerana awang kelihatan mendung atau saat air laut surut terlalu lama. Apa yang penting adalah kita masih yakin dan percaya bahawa tindakan itu yang terbaik untuk kita atau sekurang-kurangya untuk yang disayangi.

Ada pepatah sebenarnya, bunga akan kembang atau layu dan mungkin juga gugur. Tetapi dalam masa yang bunga itu pasti bercambah dari hari ke hari melalui benih-benihnya. Biarlah ia layu jika ia perlu layu. Yang penting jangan dicampak benih-benih itu. Tanam la benih itu semula. Benar ia memakan masa tetapi jangan putus asa.

Jika bunga ada kitarannya begitu juga cuaca.
Jangan pula kita pelik dengan makhluk Allah bernama manusia.
Kerana manusia itu pastinya lebih kompleks.
Tetapi ia punya akal untuk berfikir.
Dan berusaha menjadi hamba Allah yang lebih baik.



Thursday, December 13, 2018

Cebisan Memori

"Ahmad. Boleh awak cuba fikir perkara yang lebih positif?" soal Dr Sofia.

"Maaf doktor," jawab Ahmad.


Sebenarnya Ahmad akur dengan pesanan Dr Sofia cuma mungkin dia masih belum cukup kuat untuk benar-benar melawan perasaan itu.

Ahmad sudah bertekad sekurang-kurangnya buat masa ini, dia akan cuba menulis apa yang terlintas atau cebisan memori yang dapat dia ingati. Biar ia manis atau pahit, Ahmad mahu menulis.


Wednesday, December 12, 2018

Anak Petani


" Man. Jomlah singgah rumah aku. Kita sambung main, " ajak Mael.

" Takpelah mael. Aku nak balik rumah terus sebab dahaga sangat ni, " balas Man sambil mengayuh laju basikal.

"Man!!! Tunggu la sat. Mai minum ayaq kat rumah aku. Lepas minum kita sambung la main. Awal lagi man. Takkan ayah hang marah kot kalau balik lambat sikit," jerit Mael sambil mengejar dari belakang.

Man terus membrek basikal di tepi selekoh yang juga mempunyai jalan kecil ke teratak keluarga Mael. Man memang selalu singgah di rumah Mael kerana lokasi teratak yang berada dalam laluan pulang ke rumahnya. 

Namun hari ini, Man bertekad untuk pulang terus ke rumah walau dia sedar Mael masih belum berpuas bermain dengannya di sekolah selesai kelas kafa tadi.

"Sorry Mael. Aku nak balik rumah terus hari ini. Kita jumpa semula esok la ye. Esok pagi pukul 7 pagi aku sampai rumah hang," tutur Man perlahan.

"Man. Aku minta maaf tau kalau selama ni aku ada buat salah dekat hang. Bye," balas Mael sambil tersengih. 

Mael memang seorang ceria dan gemar tersenyum. Dia seorang anak petani yang agak susah tetapi tidak pernah sekali pun beliau merungut dengan kekurangan keluarganya. Di saat rakan-rakan ke sekolah dengan basikal lengkap dengan gear, Mael pula selesa menunggang basikal tua hitam milik ayahnya. Rumah Mael tiada telefon dan juga paip air namun syukur ada bekalan elektrik. Isi rumahnya bergantung kepada sebuah telaga yang berada di sisi rumah. 

Peti ais juga tiada dalam rumah itu. Tetapi entah mengapa Man gemar untuk melepak di rumah Mael. Mungkin kerana Mael yang sentiasa menanti dia dengan senyuman.

Tersenyum lega Man saat meneguk air setibanya di rumah. Sayup-sayup mata Man melihat daun kipas siling sebelum dia terlelap di atas katil.

"Abang. Abang. Bangun. Kawan telefon tu,"kejut Mak.

Sambil menenyeh mata dia melangkah ke arah telefon. Man berjalan keluar rumah sebaik dia selesai bercakap dengan Sayuti. Man memandang ke arah basikalnya yang diletakkan di bawah pokok durian muda sambil menghela nafas panjang. Dia sendiri pun tak pasti dengan perasaannya pada waktu itu.

"Abang. Jom ikut abah cepat," ajak Abah sambil menolak motor keluar.

Man hanya akur tetapi melangkah berat ke ke arah motor.

"Man. Mael dah takda. Dia baru je meninggal tadi. Mael dah mati. Aku nak pi rumah Mael ni," tutur Sayuti dalam telefon.

Man cuma terdiam. Dia tak tahu nak balas apa. Gagang telefon cuma dipegang. Betul ke rakan baik dia yang baru berumur 10 tahun dah pergi selamanya. Tapi Man tak boleh menangis. Nak Nak senyum lagi lah tak boleh.

Dalam perjalanan, Man cuma terdiam seribu bahasa. Dia masih lagi terbayang detik terakhir dengan Mael.

"Kalaulah aku...." bisik Man setibanya di rumah Mael. Kali ni pipi dia benar panas dengan air mata yang entah terbit dari mana. Man terpandang basikal tua Mael yang bersandar di tepi teratak. Seakan Mael sedang melambai tersengih. Man kesal kerana dia enggan singgah di rumah Mael pada hari itu kerana dia mementingkan keinginan untuk meneguk air sejuk dari peti ais. Air minuman di rumah Mael rasa agak payau kerana dari telaga dan juga tidak sesejuk ais. Selalunya Man minum sahaja air itu tanpa banyak songeh tetapi entah mengapa hari itu dia lebih memilih itu mementingkan diri.

Kelihatan sekumpulan lelaki tua berkopiah putih menunggu di luar pintu. Man mula menerima hakikat yang Mael sudah meninggal dunia.

Sehingga selesai jasad Mael disemadikan, Man langsung tidak berganjak untuk menatap wajah rakan baiknya buat kali terakhir. Man seolah hilang kekuatan walau hati dia meronta nak melihat Mael.

Setibanya di rumah, Man tak putus menyalahkan diri. Kalaulah dia setuju untuk singgah di rumah Mael. Mungkin Mael masih ada lagi untuk bersama-sama ke sekolah. Dan mungkin Mael takkan mati kerana terjerut tali yang diikat di tetulang atap rumah. Leher Mael terjerut semasa beliau cuba bermain tali itu sambil disaksikan oleh adik kecilnya.

Man langsung tidak melihat jenazah Mael apatah lagi tali yang menjerut leher kecil rakannya. Namun, senyuman terakhir dan pergelutan Mael di saat akhir seolah-olah hidup dalam ingatan Man.

Kini, Mael sudah pergi selama hampir 20 tahun. Susuk dan suara Mael masih lagi jelas dalam ingatan lagi-lagi apabila Man melalui selekoh berhampiran rumah Mael.

"Maafkan aku Mael. Tunggu aku di sana," bisik hati Man.



Tuesday, December 11, 2018

Pudar

Salam,

  • Saya merasakan diri ini tergolong dalam kategori manusia yang mempunyai memori agak kuat. 
  • Saya boleh mengingat dengan jelas cebisan memori seawal umur 5 tahun seperti saya baru sahaja melaluinya. 
  • Dahulu semasa di sekolah menengah, agak mudah untuk saya skor dalam subjek sejarah. Bukan kerana minat yang mendalam tetapi boleh dikatakan apa yang dibaca itu seolah melekat dalam otak. 
  • Ataupun sebenarnya semua orang ada kebolehan seperti ini cuma mereka tidak menulis di sini? Entahlah.
  • Mungkin sebab itu juga saya masih lagi memakai jam tangan yang dibeli semasa umur 16 tahun dan juga sehelai baju yang dipakai sejak 14 tahun. Kerana saya masih ingat detik saya menjawab SPM sambil melihat jam tersebut. Begitu juga saat saya sedih kerana air tertumpah ke atas baju baru itu.

Semakin Pudar

  • Cuma sekarang yang jelas, saya agak sukar mengingat kembali memori lama. Semakin kuat dicuba maka semakin sakit kepala.
  • Akhirnya, potongan memori pahit yang akan diimbas. Yang peritnya apabila potongan itu terkeluar, saya susah untuk keluar dari memori itu.
  • Bukan bermaksud dahulunya saya tiada atau tidak mampu mengingat semula memori pahit. Cuma ianya hanya cebisan hidup yang normal. Contohnya, saya pernah jatuh basikal kerana degil tidak mendengar nasihat mak untuk tidak ............................................... Ianya hanya setakat itu sahaja. Tidak pula saya merasakan kesakitan dan kekecewaan acap kali teringat perkara ini.
  • Kini ianya agak lain. Contoh yang lain, saya ambil masa beberapa hari untuk mengingat semula memori saya bersama Cikgu Gayah. Sepanjang proses itu juga memori pahit yang lebih mudah diingati dan lebih perit.
  • Sebelum lebih banyak memori yang hilang atau saya sendiri yang hilang dalam buih hidup ini. Maka lebih baik saya menulis di sini apa sahaja yang terlintas. 
  • Mungkin diri saya pada hari esok akan lebih memahami dan menghargai diri sendiri pada waktu itu. Dan ia juga menjadi bingkisan buat orang-orang yang ingin melihat, membaca dan mendengar.

p/s      : Ahmad jatuh. Ahmad sakit. Ahmad berdarah. Ahmad terus berjalan. Ahmad terus berfikir. Ahmad terus menerus berfikir. Lalu Ahmad pun sudah jauh pergi. Ahmad .........


Monday, December 10, 2018

Tajam

Salam,


  • Saya teringat semasa sekolah rendah dahulu. Cikgu Rogayah pernah bertanya kepada murid-murid dalam kelas. Apakah benda yang lebih tajam dari pisau?
  • Cikgu Rogayah (nama sebenar) adalah guru bahasa Melayu saya semasa di tahun 4. Wajahnya kelihatan garang tapi beliau sebenarnya seorang yang lemah lembut. Saya cuma sempat belajar dengan beliau selama hampir 6 bulan sahaja kerana beliau berpindah ke negeri Sabah mengikut suami. 
  • Oh ya. Cikgu Gayah juga pernah memuji saya sebagai seorang penyair yang baik. Sekarang saya sedar yang suara saya tidak sedap tetapi beliau puji sebagai galakan kepada semua murid. Pada waktu itu Cikgu Gayah minta seseorang baca syair bertajuk Puteri Bongsu tetapi kelas sunyi sepi tiada respon. Tiba-tiba ada seorang budak tidak tahu malu bernama Akmal mengangkat tangan......... Maka bermula la syair sepenuh hati......
  • Antara bait syair yang masih saya ingat
        • Tersebut kisah suatu cerita
        • Puteri Bongsu cantik jelita
        • Sangat dikenali rakyat jelata
        • Nasibnya malang berduka cita.
  • Terima kasih cikgu kerana puji saya 20 tahun yang lalu. Bermula dari situ juga saya agak yakin dengan frasa "Cuba dulu Akmal. Insya Allah". Semoga cikgu sentiasa dalam lindunganNya sentiasa.
Tajam.

  • Berbalik kepada pertanyaan tadi. Jawapan cliche yang pasti ramai dah tahu pastinya kata-kata. Ya. Kata-kata itu lebih tajam dari sebilah pisau.
  • Sebilah pisau boleh melukakan seseorang sehingga berdarah atau mati. Kata-kata pula sakitnya  pula dalam, pedih dan berpanjangan.
  • Bayangkan seorang anak yang membesar asyik dimomokkan dengan kata nista dari ayah ibu?
  • Bayangkan seorang isteri yang dimaki hamun hanya kerana tidak sempat menyiapkan juadah makan malam buat sang suami disebabkan keletihan?
  • Bercakap itu mudah. Ekspresi pun mudah. Seperti mana ada lampu isyarat yang perlu dipatuhi semasa di jalan raya maka tutur kata manusia juga perlu disusun dengan hormat.
  • Ada orang tidak suka dikritik hatta benda yang sebenarnya baik untuk beliau. Namun jika diberi peluang maka dia pula yang mengkritik sehingga lupa kata-katanya menyiat hati insan yang mendengar.
  • Benarlah jika kita tiada apa-apa yang baik untuk dituturkan maka lebih baik berdiam diri.

p/s : Saya tak pasti kenapa Cikgu Gayah membebel sedemikian.

p/s/s: Entah kenapa saya menulis benda yang cliche. Mungkin kerana saya teringat akan Cikgu Gayah. Mungkin kerana tulisan ini lebih hidup berbanding memori saya yang kian pudar hari demi hari.


~~Akmal~~


Wednesday, December 5, 2018

Tulisan yang hidup

Tatkala roh meninggalkan jasad,
Urusan kita hanya dengan Pencipta,
Keluarga dan harta kekayaan,
Hanya melihat pemergian kita.

Sedekah jariah ke jalan Allah,
Ilmu yang bermanfaat,
Doa anak yang soleh,
Jadi bekalan bertemu Pencipta.

Yang mati kekal mati,
Yang hidup terus hidup,
Melangkah pergi menghampiri mati,
Hidup atau mati ada urusannya.

Ada yang mati,
Namun terasa ada,
Bila dilihat video lama,
Gelak tawa mengusik jiwa.

Monday, December 3, 2018

Bercakaplah Wahai Bulan

Sang Bulan,
Ku lihat mu jauh di atas,
Ingin digapai,
Ingin disentuh.

Sang Bulan,
Aku melihat sejak dari ku kecil,
Saat aku sudah mengerti,
Apa erti cahaya dan kecantikan.

Sang Bulan,
Ingatkah lagi saat aku menyanyi,
Bersama rakan di bawah cahaya mu,
Dengan melodi umpama katak kodok.

Sang Bulan,
Wajahmu sama di Malaysia,
Secantik wajahmu jauh nun di Canada,
Sungguh original.

Kau sentiasa sama,
Cuma berubah bergantung kepada masa,
Juga pada sudut pemuja mu,
Atau kerna selimut awan tebal.

Sang Bulan,
Kini ku sudah berusia,
Aku mengerti lebih dari dahulu,
Tapi semakin banyak yang rahsia.

Sang Bulan,
Apakah rahsia mu,
Kekal menjadi bulan,
Menjadi saksi kegelapan malam.

Sang Bulan,
Biarlah malam mendatang,
Aku melihat mu sebagai pemuja,
Bukan sebagai pengembara yang melambai pergi.

Sang Bulan,
Terima kasih kerana ada di situ,
Walau mungkin bukan disisi.