Pages

Tuesday, February 26, 2019

Pumpkin

Hampir 15 tahun lalu,
Aku dipaksa oleh guru,
Untuk ke situ,
Katanya syarat wajib.

Aku bertegas tak sudi,
Kerana bagiku tak layak,
Digelar seorang pemimpin,
Kerna ingin jadi suruhan.

Itu suratan takdir,
Yang aku tidak ke sana,
Kerana suratan yang tertulis,
Kita tidak bertemu.

Allah lebih tahu,
Dua tahun berlalu,
Aku bertemu denganmu,
Seorang insan yang mengusik jiwa.

Aku hanya mampu melihat,
Melihat dari kejauhan,
Kerna ku tak mampu,
Kerna itu bukan masanya.

Friday, February 22, 2019

Jatuh

Ahmad bangun sebaik sahaja imam mengaminkan bacaan doa selepas solat Jumaat. Dia bergegas untuk pulang semula ke pejabat secepat mungkin. Disebabkan dia tiba lewat di masjid maka terpaksa dia solat di ruangan atas yang lazimnya khas muslimat.

Saat menuruni anak tangga tiba-tiba pandangan mata Ahmad menjadi gelap. Apabila sedar dia sedang dipangku oleh seorang jemaah lelaki yang mungkin berada di belakangnya. Mujur Ahmad turun semasa orang bersesak jadi ada hamba Allah yang sempat menyambutnya.

Jika tidak Ahmad mungkin jatuh bergolek sehingga ke aras bawah.

Dan mungkin sedarnya nanti bukan lagi di dunia ini. Satu impian yang selalu terlintas di mindanya selalu,

Thursday, February 21, 2019

Travel Insurance/Takaful

Salam,

Penting untuk membeli perlindungan insurans/takaful untuk tujuan melancong. Banyak kes rakyat Malaysia stranded sepatutnya sudah membuka mata kita untuk sedar kepentingan insurans/takaful.

Sekarang ni banyak syarikat yang menawarkan insurans perjalanan. Tak terhad kepada syarikat penerbangan. Nasihat saya sebolehnya jangan ambil dari syarikat airlines kerana mahal dan perlindungannya hanya sikit.

Selain dari itu, saya merasakan insurans yang menawarkan cashless payment melalui Guarantee Letter adalah lebih baik dari Pay And Claim Later. Kebanyakan orang melancong hanya ada margin wang yang sikit seteleh membayar tiket dan hotel.

Setakat ini rasa hanya Etiqa Takaful yang menawarkan CASHLESS PAYMENT. Jadi pilihan di tangan masing masing

Wednesday, February 20, 2019

Kamal


Kamal,
Apa khabar kau di sana?

Kamal,
Tiada berita lagi darimu,
Jika kau tak lagi mendengar,
Ku harap kau boleh membaca.

Kamal,
Aku minta maaf,
Kerana peluang yang datang,
Aku biarkan dengan tidak menegurmu.

Sepatutnya aku menghulur tangan,
Di saat kau terkapai dalam derita,
Seperti mana kau,
Aku juga tahu erti kegelapan.

Yang tahu derita itu pastinya kamu,
Tapi aku boleh mengerti,
Saat dunia seakan berakhir,
Tiada lagi secebis harapan.

Kamal,
Doaku cuma satu,
Agar kau terus kuat,
Untuk terus hidup.

Di saat mati lebih mudah,
Percayalah yang ada sebab lain,
Untuk kamu terus bernyawa,
Teruskan hidup Kamal.

Monday, February 18, 2019

Guni Beras

"Ahmad. Jom kita pergi main snow sledge dekat bukit tu. Ramai tengok mat saleh main kat situ. Jom la," ajak Sulaiman walaupun sebenarnya dia tiada pun sledge untuk bermain di situ.

"Ang serius ke bang? Malas la nak beli sledge tu. Nak guna duit untuk benda lain banyak lagi ni," balas Ahmad secara malas.

Ahmad malas baru 4 bulan menjejak kaki ke bumi Canada. Masih banyak benda yang perlu dibeli malah elaun bulanan yang diterima pula hanya cukup-cukup makan.

"Tak payah semua tu. Kita main guna guni beras sahaja. Free of charge! Aku pernah nampak mat saleh main guna guni je," jawab Sulaiman sambil membulatkan matanya dalam usaha nak meyakinkan Ahmad.

Berguling Ahmad dan Sulaiman saat guni beras yang sepatutnya menjadi lapisan punggung mereka terbang dibawa angin. Akibatnya mereka menuruni bukit tersebut dengan laju dengan hanya beralaskan seluar sendiri. Teras kebas dan pedih saat mereka melanggar bonggol kecil yang tidak rata sepanjang perjalanan turun.

Sampai sahaja di kaki bukit kelihatan beberapa anak kecil beranak mata biru terkekek melihat orang asing yang berguling-guling menahan kesakitan. Ahmad terasa nak menyembur muka Sulaiman kerana mengajak dia main di situ menggunakan guni beras. Malu dapat sakit pun dapat.

Namun perasaan itu terbantut apabila seorang lelaki datang menyapa Ahmad dan Sulaiman.

"Are you okay? You may take this as I'm leaving. And please be careful," ujar lelaki itu sambil menghulurkan alat sledge miliknya dan berlalu pergi.


Sunday, February 17, 2019

Gergasi Merah

Kapalnya merah menyala,
Tampak segak membelah angkasa,
Dahulunya kerdil saat lahir,
Kini gergasi kapal besi.

Dahulu hanya yang elit,
Terbang bersama burung besi,
Rakyat marhaen mendongak,
Meleleh air liur.

Now everyone can fly,
Motto syarikat gergasi merah,
Tiket versi telanjang,
Tapi rakyat akhirnya bersayap.

Murah jika beli awal,
Murah kalau promo,
Murah kalo bersendirian,
Murah jika hanya bawa diri.

Itu bukan isunya,
AirAsia sudah ubah minda,
Kini mereka percaya,
Semua boleh terbang.

Benarlah hidup ini tentang pilihan,
Nak terbang pun pilihan,
Berpeluk tubuh juga ikut suka,
Tapi jangan pula menuding jari.

Saturday, February 16, 2019

Feri Langkawi

Feri membelah laut dengan tenang,
Tiada langsung rasa golakan,
Namun hati tidak tenang,
Kerana perut mula bergoncang.

Dilihat ke kanan,
Senang diulit mimpi,
Dilihat ke kiri,
Sang peraih cuba mencari duit.

Tangan kebas,
Mendukung seketul daging,
Yang kini terlena,
Tenang dalam dunia si kecil.

Tiada siapa yang tahu apa di depan,
Hanya kapten dan pembantunya,
Itupun terbatas,
Setakat mata dan teknologi.

Kita hanya boleh melihat,
Tetapi ada batasnya,
Kebanyakannya kita berserah,
Kepada yang lebih tahu.

Yang arif pun ada batasnya,
Diperah keringat dengan ilmu,
Untuk mencapai matlamat,
Selebihnya berserah kepada takdir.

Saat aku sedar,
Feri sudah tiba,
Petanda berakhir,
Sebuah perjalanan.

Kaki terus melangkah,
Kerana pengembaraan tidak terhenti,
Mencari erti dan keberkatan,
Selagi roh dikandung badan.

Alangkah indah,
Kiranya pengembaraan ini ditamatkan,
Dengan tusukan pisau,
Tepat ke jantung aku.



Friday, February 15, 2019

HIG

Melangkah masuk ke Kompleks HIG.
Terlihat lambakan coklat di merata rata.
Bakul disumbat sehingga melimpah.
Manusia bagai hilang arah.

Membeli bagai tiada lagi esok.
Kemahuan melangkaui keperluan.
Label promosi hanya wayang.
Untuk bermain dengan persepsi.

Jualan murah dan potongan harga.
Hakikatnya tidak semurah mana.
Mungkin lebih murah dari semenanjung.
Tetapi nafsu merajai hati.


Thursday, February 14, 2019

Kuah.

Panas mentari membakar kulit pipi Ahmad yang sedang mengelamun dalam van. Perjalanan terasa amat jauh dan tekak sudah mulai loya. Penghawa dingin menghembus angin sejuk dengan kuat namun Ahmad semakin rasa mual sehingga dia tidak mampu memejamkan mata lagi.

"Ahmad. Kau ok ke ni?" soal Pak Usop yang merupakan seorang boss besar di syarikat Ahmad. Mereka berdua dalam perjalanan melawat tapak kerja.

"Cuba kau tarik nafas dalam-dalam. Aku pun nak muntah juga sebenarnya. Rasa cam ada benda berpusing dalam perut. Siapalah punya kerja yang hantar kita sampai jauh camni. Tak guna betul," bebel Pak Usop sendirian.

Sebenarnya Ahmad tidak dapat tidur dengan nyenyak semalam. Ada sesuatu yang menggangu fikiran. Mimpi yang pelik itu juga kerap berulang.

Ahmad rasa letih kerana di hari pagi memang dia hanya mengharap dia akan berbaring dalam van putih sahaja. Malam hari pula semacam ada satu seksaan yang menyiat dirinya. Ahmad hanya mampu simpan kerana tiada yang akan dengar.

Wednesday, February 13, 2019

Kulit

Jika disiat kulit manusia,
Kita semua sama,
Yang berbeza cuma warna kulit,

Ada berlari mencari mentari,
Berjemur ingin terbakar,
Ada cair bak lilin,
Berlari mencari bayang.

Darah pelbagai jenis,
Tapi warna tetap merah,
Jika lain bukannya manusia,
Tetapi namanya Mahsuri.

Ada orang pitam,
Saat terbau hanyir darah,
Tapi dia juga,
Yang mengelar kulit tiap hari.


Tuesday, February 12, 2019

Langkawi

Langkawi,
Pulau Lagenda,
Permata Negeri Kedah.

Pulau masih sama,
Pelawat juga sama,
Waktu dan darjat,
Yang mungkin berubah.

Sepasang mata yang sama,
Melihat ufuk yang sama,
Tapi lain pengalaman,
Kerana bezanya darjat.

Kita boleh melihat bulan yang sama,
Tetapi di lantai berbeza,
Aku di lantai pasir,
Kau beralas kayangan.

Cuma kau suka lihat ke bawah,
Bagi kau segala isi dunia sedang mencerca,
Di saat kau ada pilihan,
Untuk bangun dan mendongak.


Monday, February 11, 2019

Tidak mengapa

Tidak mengapa jika kau terus membenci,
Dan terus mencari alasan untuk membenci,

Tidak mengapa jika kau rasa jijik,
Dan terus memilih merasa jijik.


Sunday, February 10, 2019

Perkataan

Benarlah kata mereka,
Kata itu lebih tajam,
Merobek tanpa simpati,
Berbisa bak sembilu.

Mudah untuk berkata,
Apabila tiada pertaruhan,
Mudah juga untuk menuduh,
Bila tiada beg digalas.

Adakala bara digenggam,
Demi benih yang dilindungi,
Sehingga tangan terbakar,
Menanti benih menjadi pohon.

Biarpun tahu akan menjadi sepi,
Di saat pohon sudah dewasa,
Menunggu masa untuk mencantas,
Menghitung hari yang akan tiba.

Adakala aku ingin pergi,
Menanti jemputan dari Pencipta,
Agar ikatan itu terlerai,
Seperti yang diimpikanmu.

Kerana yang pasti,
Pemergian itu bahagia,
Bahagia bagi orang yang terikat,
Dalam penjara dunia.

Maaf maaf maaf maaf,
Ucapan yang mampu diatur,
Dengan harapan,
Terpadam segala benci dan jijik.

Saturday, February 9, 2019

Lebih teruk

Hanya kerana orang itu lebih teruk,
Tidak bermakna dia sampah.

Hanya kerana orang itu lebih bersabar,
Bukan bererti dia tiada perasaan.

Hanya kerana dia lelaki,
Bukan bererti dia sangat kuat

Friday, February 8, 2019

Silence

Di saat kita memilih untuk diam,
Sebenarnya dunia tidak berdiam,
Dunia tidak begitu wahai insan,
Ia boleh jadi lebih kejam.

Di saat kita memilih diam,
Sebenarnya ada insan yang perlu berkata,
Bukan untuk mengadu domba,
Sekadar menjawab soalan.

Saat kita selesa,
Ada yang sakit demi sesuatu.

Thursday, February 7, 2019

Fake

Benar ahli politik tidak perlu ijazah untuk menjadi seorang ahli politik. Jadi secara automatik juga seorang Menteri tidak dikehendaki mempunyai ijazah.

Cuma yang menjadi persoalan adalah isu integriti. Jika tiada mengaku ada. Jika ijazah itu tiada sebarang merit untuk lantikan politik jadi mengapa mesti menipu.

Mengaku sahajalah. Hanya kerana taksub jangan pula kita butakan mata tentang integriti.

Wednesday, February 6, 2019

Canang

Disalah erti seperti pesalah,
Saat dia menitiskan air mata.

Mungkin dia hanya perlu ketawa,
Mungkin membisu seribu bahasa.

Saat dia sendiri hilang akal,
Mencari arah tuju.

Disalaherti sebagai pencanang,
Sedang dia hanya menyimpan seribu duka.

Tiada satu nista dikeluarkan,
Hanya cuba mengawal keadaan.

Keadaan yang dia sendiri tak tahu,
Sehingga dia terluka.

Akibatnya dia tersungkur,
Kerana cuba menanggung derita sendirian.


Tuesday, February 5, 2019

Kepulangan

Akhirnya Makcik Bawang kembali berniaga. Alhamdullilah dia masih hidup dan sihat.

Semoga dimurahkan rezeki.

Monday, February 4, 2019

Iris

Iris,
Kulitnya cerah,
Matanya bulat,
Rambutnya helmet.

Iris,
Mulutnya petah,
Hatinya mudah terluka,
Tapi mudah juga dipujuk.

Iris,
Bibirnya muncung,
Saat cuba menegakkan kebenaran,
Biar salah jawapannya.

Iris,
Maafkan ayah.

Sunday, February 3, 2019

Pandangan Malam

"Assalamualaikum," ucap Ahmad saya dia menguak pintu utama rumahnya.

Rumah tersebut sudah ditinggalkan hampir 2 bulan lamanya. Meremang bulu roma di tengkuk Ahmad saat dia meraba raba mencari kotak agihan elektrik rumah bagi menghidupkan lampu rumah. 

Ahmad terasa ada sesuatu di belakangnya. Dia rasa ingin berlari namun terfikir reaksi paniknya hanya akan menyebabkan isteri dan anak anaknya menjadi lebih tak keruan. Benarlah di saat semua ketakutan, seseorang perlu menjadi lebih berani demi yang lain.

Selesai membersihkan diri, Ahmad terus melaungkan azan di bilik bacaan. Sekali lagi bulu roma sehingga di muka pun rasa terpacak. Ahmad hanya mengabaikan perasaannya dan terus menghabiskan azan Maghrib.

"Arghhhhh!!!!" jerit Ahmad sekuat hati saat dia sedang jatuh dari tingkat 20. Apakan daya untuk melawan graviti yang abadi.

Ahmad memejamkan mata sambil cuba mengimbau kenangan manis membesarkan Alia, Iris dan Maya. Rupanya Ahmad hanya bermimpi ngeri dan dia sebenarnya masih bernafas.

Tetapi Ahmad dapat merasakan ada sesuatu yang sedang merenung tajam ke arahnya dari arah dapur. Kelam kabut Ahmad cuba mencari telefon untuk membuka bacaan ayat suci Quran.

Bacaan berkumandang tetapi pandangan itu masih ada. Ahmad terus memejamkan mata walaupun jantungnya masih berdebar. Demi mereka yang sedang tidur

Saturday, February 2, 2019

Duit

Wang ringgit tidak mampu membeli kebahagiaan,
Seperti kata pujangga malam,
Kerana sang pujangga tidak pernah putus wang,
Hidup senang perut kenyang.


Friday, February 1, 2019

Hajat

Sang perindu,
Apakah hajat mu?

Aku bukannya Tuhan,
Hanya insan biasa seperti kamu.