Pages

Sunday, September 21, 2008

Pagi yang indah

Salam Rakan Pembaca,

Akhir Ramadan

Hari ini genap 20 hari umat Islam di Kanada menunaikan ibadah puasa Ramadan. Saya yakin rakan pembaca pasti pernah mendengar perihal 20 malam terakhir di bulan Ramadan. Umat Islam digalakkan untuk menggandakan ibadah dalam tempoh ini bagi mendapatkan manfaat dari LailatulQadar. Ibadah yang dilakukan pada malam ini menyamai dengan ibadah yang dilakukan selama 1000 bulan. Oleh yang demikian, saya menyeru rakan-rakan untuk mengisi malam-malam terakhir Ramadan ini dengan sebaik-baiknya kerana kita tidak pasti samada jasad kita masih bernyawa untuk menyambut kedatangan Ramadan yang akan datang. Jika sebelum ini kita tidak berupaya untuk melakukan solat sunat terawikh, saya berdoa agar kita semua dibukakan hati oleh Allah S.W.T bagi merebut peluang keemasan di ambang perpisahan kita dengan Ramadan. Jika rakan-rakan berminat untuk mendapatkan bukti mengenai kewujudan Lailatul Qadar, sila klik sini (kredit untuk ahlami)

Seorang rakan saya pernah berkata," Hipokrit benar orang yang datang terawikh di akhir Ramadan sedangkan orang tersebut tidak pernah datang di awal Ramadan". Pada pendapat saya, tanggungjawab kita sebagai muslim di Bumi ini adalah beribadah kepada Allah S.W.T. Samada ibadah tersebut diterima oleh Allah S.W.T atau tidak ianya bukan urusan kita sebagai insan yang kerdil. Sesungguhnya Allah Maha Pemurah terhadap hamba-hambaNYa. Secara perbandingan, jika kita ditawarkan kebijaksaan yang tinggi di saat-saat akhir sebelum mengambil peperiksaan, sudah tentu kita akan mengambil peluang tersebut walaupun pada hakikinya kita tidak meletakkan usaha yang konsisten sejak permulaan semester bagi mendapatkan keputusan yang cemerlang. Sekali lagi, saya menyeru rakan-rakan untuk meluangkan masa bagi menggandakan ibadah kita di akhir Ramadan.

Hujung Minggu

Sahabat saya, Ali Ashraf baru sahaja tiba di rumah dari Misericordia Community Hospital yang terletak berhampiran West Edmonton Mall. Beliau meluangkan satu malam di hospital berkenaan bagi menemani Encik Mazri yang dibawa ke hospital kerana mengalami kesakitan dalam perut. Ali nampak keletihan kerana beliau tidak melelapkan mata sepanjang malam bagi menenangkan Encik Mazri yang menanggung kesakitan dalam perut. Alhamdulillah, tepat jam 10 pagi tadi, Encik Mazri sudah dimasukkan ke bilik pembedahan.

Kisah Paramedik.

Semalam. saya agak menggelabah apabila mendengar Encik Mazri mengerang kesakitan sambil memegang perutnya dalam bilik Razly. Encik Mazri datang ke rumah kami untuk menunaikan solat terawih secara berjemaah tetapi beliau tidak terus pulang ke rumahnya kerana badannya yang kurang sihat. Kami semua menyangka masalah yang dihadapi oleh Encik Mazri itu hanya masalah kecil seperti senak perut atau sakit perut.

Disebabkan Encik Mazri tidak mampu mengagahkan dirinya untuk bergerak, saya dipinta oleh rakan-rakan untuk menelefon ambulan (juga dikenali sebagai Emergency Medical Services). Operator kecemasan memaklumkan pasukan paramedik sudah bergerak ke rumah saya bagi memberi perkhidmatan kecemasan. Ini merupakan kali pertama, saya menelefon ambulan dalam hidup saya.

Selang 10-15 minit, pihak paramedik tiba di rumah bersama alat-alat seperti dalam siri " E.R". Saya agak kagum dengan mana-mana insan yang menyarungkan pakaian seragam khas ketika berkerja seperti paramedik dan polis. Terdetik dalam hati untuk mengambil gambar ketika pasukan paramedik tersebut memeriksa Encik Mazri. Namun hasrat berkenaan terpaksa dibatalkan kerana tindakan itu agak kurang sopan di kala Encik Mazri sedang mengerang kesakitan yang amat sangat. Kami semua hanya terpaku di muka pintu tatkala paramedik memeriksa dan menyoal Encik Mazri.

Selepas itu, kami dimaklumkan yang Encik Mazri terpaksa dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut. Namun begitu, paramedik terbabit memohon Encik Mazri menuruni tangga setinggi tingkat tiga kerana mereka tidak dibenarkan menggunakan pengusung di kawasan tangga atas sebab-sebab keselamatan.

Walaupun bilangan kami agak ramai untuk membantu Encik Mazri namun kami tidak mampu berbuat apa-apa kerana lebar tangga yang kecil. Sebaik sahaja sampai ke ambulan berkenaan, Ali mengiringi Encik Mazri ke hospital.

Awal pagi tadi, Ali menelefon saya bagi memaklumkan keaadan Encik Mazri. Beliau mengalami kesakitan yang amat sangat kerana masalah apendiks. Mari kita mendoakan keselamatan Encik Mazri sepanjang pembedahan sedang yang berlangsung pada ketika ini. Mudah-mudahan beliau pulih sepenuhnya dalam tempoh masa yang singkat.

Kerja....

Saya pula akan bergerak ke West Edmonton Mall bagi melakukan rutin hujung minggu saya sebagai seorang pekerja Winners. Insya allah saya akan singgah sebentar di hospital bagi melawat Encik Mazri ketika perjalanan pulang dari West Edmonton Mall


~~TyRoX SaN~~

Thursday, September 18, 2008

Drama

Winter Sonata

Can't return to my side, it's impossible now
I console myself that I should stop loving you now
If I can't meet you again,
I really hope to forget you, to forget the entire you in my heart
Every time I want to smile, you let me cry
You make my everything go wrong
Every time I think of you, all my defences gave way
Tried hard to forget you, but I just can't
If I can't meet you again,
I really hope to forget you, to forget the entire you in my heart
Every time I want to smile, you let me cry
You make my everything go wrong
Every time I think of you, all my defences give way
I tried hard to forget you, but I just can't forget
I never know it is so hard to love someone
Every time I want to smile, you let me cry
You make my everything go wrong
Every time I think of you, all my defences gave way
Tried hard to forget you, but I just can't


Petikan kata-kata Yujin yang menyentuh perasaan:

  • I love the same person twice. The only thing I can think of is having him back alive. I don't care if he doesn't love me or if he can't remember. I just want him to live..... Mom, you said I'd pay a price. I'll pay the price..
  • I love you... I will continue to love you.Just keep me in your memory because I'll carry our memories to my grave.


Nota:

Buat sesetengah pembaca, lirik lagu di atas mahupun petikan kata-kata Yujin pasti tidak memberi sebarang kesan. Namun begitu, saya sebagai peminat drama ini merasa tertarik dengan jalan cerita ini yang menyentuh perasaan walaupun pada hakikatnya cerita ini agak berbelit. Jalan ceritanya yang agak kompleks dan penuh dengan konflik inilah yang telah membuatkan drama ini menjadi kegilaan ramai penonton di seluruh dunia.

Pesanan:

  • Jangan asyik melayan drama Korea jika saudara/saudari mempunyai kerja yang perlu diselesaikan kerana drama-drama ini akan menimbulkan semangat ingin tahu yang akhirnya mengakibatkan ketagihan drama.
  • Jangan taksub dengan drama yang ditonton dan cuba mempraktikkannya secara total dalam kehidupan seharian kerana batas agama yang dianuti oleh kita.
  • Anggap drama hanya sebagai hiburan sampingan. Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Budaya yang baik harus diaplikasikan dalam kehidupan seharian manakala budaya yang bertentangan dengan agama mesti dijauhi tanpa sebarang kompromi.

~~Penulis keletihan setelah bertungkus lumus menyiapkan dua kerja rumah dalam satu malam

Wednesday, September 17, 2008

Satu Impian Satu Kehidupan..

Salam rakan pembaca,

Sebelum memmbuka bicara, saya ingin mengucapkan," Selamat menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadan al- Mubarak". Tahun ini juga merupakan tahun kedua bagi saya dan rakan-rakan berpuasa di Edmonton,Alberta,Kanada. Namun begitu, waktu berpuasa agak panjang pada tahun ini kerana awal Ramadan jatuh pada penghujung musim panas. Seperti yang sedia maklum, waktu siang lebih panjang daripada waktu malam pada musim panas.

Semester baru....

Semester baru sudah bermula hampir dua minggu. Ini bermakna sudah 2 minggu saya tinggal di rumah baru yang terletak dalam kampus. Walaupun rumah ini tidak sebesar rumah yang didiami oleh saya ketika musim panas lalu, namun harga dan lokasi membuatkan kediaman ini menjadi rebutan ramai pelajar. Sewa bulanan bagi unit yang mempunyai 4 bilik tidur hanya CAD 362.00 yang ternyata amat murah jika dibandingkan dengan rumah-rumah di sekitar University of Alberta. Sewa ini juga meliputi kos utiliti seperti air, elektrik dan gas. Saya amat berpuas hati untuk tinggal di rumah ini biarpun terpaksa melabur sejumlah wang untuk membeli perabot untuk bilik tidur.

Apabila direnungkan kembali, saya merasakan cuti musim panas lalu berlalu dengan pantas sekali. Rutin harian saya pada ketika itu adalah bekerja hampir setiap di Winners. Apabila pulang dari kerja, saya dan rakan saya iaitu Razly akan menghabiskan masa lapang dengan sesuka hati. Waktu untuk tidur dan bermain ketika semester akademik terpaksa dikawal kerana menyedari kerja-kerja rumah dan laporan makmal sentiasa membelenggu diri. Malah saya yakin rakan pelajar terpaksa memikirkan perihal peperiksaan yang sentiasa membuatkan kita semua berwaspada.Situasi ini ternyata berbeza ketika musim panas yang lalu. Saya dan rakan gemar meluangkan masa untuk menonton drama-drama Korea apabila pulang dari tempat kerja. Aktiviti hujung minggu pula diiisi dengan lawatan berbayar ke panggung wayang dan berjalan-jalan di sekitar Edmonton. Suasana seperti itu benar-benar memberi keselesaan kepada saya kerana tidak perlu memikirkan tanggungjawab sebagai pelajar yang perlu mendapat keputusan cemerlang bagi setiap semester sebagaimana yang ditetapkan oleh Yayasan Tenaga Nasional.

Syukur ke hadrat illahi kerana doa dimakbulkan ketika musim panas yang lalu. Elaun sara hidup bagi pelajar tajaan Yayasan Tenaga Nasional telah dinaikkan setaraf dengan elaun yang dinikmati oleh pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam. Terima kasih.


Peristiwa Semalam

iPod yang digunakan oleh saya selama hampir setahun gagal berfungsi secara tiba-tiba. Ketika itu saya cuba untuk mengubah lagu yang dinyanyikan oleh Utada Hikaru kepada lagu yang seterusnya. Saya cuba berfikiran optimis dengan menganggap masalah tersebut dapat diselesaikan apabila iPod saya disambungkan ke komputer. Jangkaan saya meleset sama sekali kerana masalah terbabit tidak dapat diselesaikan walaupun saya sudah mencuba untuk "restore" iPod saya.

Dalam kesedihan pasti ada sinar harapan. Saya berasa gembira apabila mendapati "warranty" yang ditawarkan oleh Apple Canada masih sah sehingga 30 Disember 2008. Hati berasa sukacita apabila memikirkan pihak Apple akan menggantikan iPod yang rosak ini dengan iPod yang baru. Buat pengetahuan rakan pembaca, polisi "warranty" di Kanada amat menyenangkan para pengguna. Sekiranya barang yang dibeli rosak dalam tempoh "warranty", barang gantian akan diberikan tanpa banyak soal.

Impian untuk mendapat iPod baru lebur pada jam 11.45 malam (15/09/2008) lebur apabila iPod saya secara tiba-tiba dapat berfungsi dengan baik tetapi saya kehilangan kesemua data yang disimpan dalam iPod. Secara purata iPod saya mengambil masa selama hampir 10 jam untuk di"restore" oleh komputer........

Sebuah Impian.

Setiap individu mempunyai impian masing-masing kerana impian yang membuatkan kita bersemangat untuk meneruskan satu kehidupan.

Contohnya:

1) Saya mempunyai impian untuk menjadi seorang jurutera elektrik yang disegani dalam bidang profesional dan bidang sosial. Saya juga berharap dapat memiliki gelaran IR. dalam usia 30-an

2) Paklah mempunyai impian untuk kekal berkuasa sebagai Perdana Menteri sehingga tahun 2010.

3) Anwar Ibrahim mempunyai impian mengubah Malaysia pada 16 September 2008 walaupun secara hakikinya tarikh tersebut sudah berlalu. Beliau mungkin akan melakukan perubahan pada impian tersebut agar ianya dapat dicapai jua.

4) Seorang bapa membanting tulang siang malam kerana mengimpikan keluarga yang bahagia dan selesa buat isteri dan anak-anaknya.


Jadi, setiap individu bermula dari rakyat biasa dan pemimpin negara pasti mempunyai impian tersendiri dalam kehidupan seharian. Impian masing-masing pasti tidak akan berkubur dengan begitu sahaja walaupun setiap individu diasak dengan pelbagai rintangan dalam mencapai sasaran terbabit.

Contoh:

a) Impian asal saya yang ingin bergelar seorang juruterbang tetapi impian ini terpaksa ditangguhkan kerana kos untuk bidang terbabit agak tinggi. Namun begitu, saya berusaha untuk memastikan impian ini dapat dicapai di masa depan.

b) Impian asal Anwar Ibrahim ternyata lebur. Yang pastinya beliau tidak akan membiarkan impian tersebut berkubur begitu sahaja setelah mencanangkan cita-cita ke seluruh dunia.


Di saat setiap individu termasuk saya memikirkan soal impian yang besar masih terdapat yang hanya mengimpikan sesuap nasi untuk diri dan keluarga. Saya pasti insan-insan ini juga mempunyai harapan untuk menjalani hidup yang selesa seperti jiran tetangga mereka. Namun begitu, insan-insan yang kurang bernasib baik ini hanya mampu menjadikan impian terbabit sebagai sebuah harapan yang tidak kunjung tiba kerana kehidupan mereka yang umpama " Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang."

Lebih menyedihkan, di saat kita enak diulit mimpi setelah kekenyangan dengan makanan berbuka puasa masih terdapat yang kesejukan di tepi jalan menagih simpati dari insan lain. Hati seorang ibu/bapa pastinya hancur luluh apabila si anak merengek kelaparan. Namun apakan daya, dek kesempitan hidup yang melampau, si ibu hanya mampu memeluk anaknya yang semakin kehilangan berat dari hari ke hari.

Saya pernah merungut kepada ibu saya kerana hanya menyediakan makanan yang ringkas untuk saya. Ibu cuba memujuk saya dengan menjelaskan bahawa beliau kehabisan wang dapur bagi bulan berkenaan. Namun begitu, darah muda ini cuba memberontak walaupun si ibu cuba untuk memujuk anak kecilnya. Sekarang saya sedar betapa bertuahnya diri ini kerana mempunyai keluarga di saat insan lain menangis kerana kehilangan insan tercinta. Sekurang-kurangnya saya mampu menikmati makanan walaupun secara ala kadar sedangkan insan yang kurang bernasib baik merintih dan menangis ketika menyuapkan sisa makanan orang lain ke dalam mulut anak mereka.

Gambar: 23 orang rakyat Indonesia mati ketika berhimpit-berhimpit bagi mendapat wang zakat dari seorang hartawan di Indonesia.

Tragedi meyayat hati ini ternyata menyentuh hati masyarakat terutamanya bagi umat Islam yang sedang menjalani ibadah puasa. Demi mendapatkan wang zakat yang bernilai RM 16( jumlah yang kecil bagi sebahagian besar rakyat Malaysia) , nyawa sebahagian daripada golongan ini tergadai. Sememangnya kita terutama rakyat Malaysia amat bertuah kerana masih mampu makan dan minum dengan secukupnya walaupun kadar kemiskinan di Malaysia masih tinggi.

Bulan Ramadan Bulan Mulia.

Ibadah zakat yang diwajibkan dalam Islam kepada golongan yang berkemampuan bertujuan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik menjalani kehidupan yang lebih selesa terutamanya pada Hari Raya Aidilfitri. Oleh itu, janganlah kita mengelak diri daripada mengeluarkan zakat kerana ianya bukan hanya untuk meringankan beban golongan ini malah ibadah ini merupakan salah satu daripada Rukun Islam.

Marilah kita membanyakkan ibadah sunat seperti bersedekah dalam bulan Ramadan. Jika kita risau wang yang kita sedekahkan akan disalahgunakan oleh sesetengah pihak, kita boleh menyalurkan sumbangan secara terus ke pada pihak yang memerlukan seperti anak yatim, ibu tunggal mahupun masjid. Walaupun sumbangan tersebut tidak mampu memberi kemewahan kepada golongan sasaran namun ia mampu meringankan beban mereka dalam menjalani kehidupan seharian.

Kemiskinan membawa kepada kekufuran. Namun ia tidak bermakna golongan miskin adalah golongan kufur. Setiap insan haruslah berusaha untuk memajukan diri dan keluarga agar tidak dihimpit kemiskinan. Kemiskinan akan membataskan kemampuan seseorang untuk beribadah kepada yang Maha Esa dengan sempurna malah boleh menjejaskan institusi kekeluargaan.

Sehubungan dengan itu, saya ingin menyeru rakan-rakan pembaca untuk tidak melupakan saudara-saudara kita yang berada dalam kesusahan kerana ianya menjadi tanggungjawab yang dipikul oleh kita di dunia dan akhirat. Hidup ini umpama roda. Ada masanya kita berada di atas tetapi ada masanya juga kita akan berada di bawah cuma kita tidak mengetahui bila waktu tersebut bakal menjelma.



Penulis bersama Ali Ashraf selepas sesi fotografi untuk Salam Perantauan



P/s : Selamat Hari Jadi kepada Ahmad Fuad Fudhail

~~TyRoX SaN~~