Pages

Sunday, March 3, 2019

Badan beruniform

Ahmad sangat berminat untuk menjadi seorang pengakap. Sejak dari tahun satu lagi dia tidak sabar menanti tahun empat dengan harapan dia dapat menyarung baju kelabu pengakap.

Ya. Baju pengakap kelihatan cool di mata Ahmad. Dia juga amat tertarik dengan lencana yang boleh dikutip dalam alam pengakap. Maka dia terus berangan menanti hari itu tiba. Tiada dosa atau salah untuk kanak-kanak sekecilny untuk terus bermimpi.

"Apa aku nak cakap dengan mak satgi. Mesti mak susah hati," monolog Ahmad sambil mengayuh basikal pulang dari sekolah.

Ahmad baru sahaja mendaftar sebagai seorang pengakap. Impiannya sudah tercapai tetapi ada sesuatu yang agak mengganggu mindanya.

Ahmad berhenti sebentar di tepi jalan dan terus menyelongkar beg galas bagi mencari borang pengakap tadi. Harga uniform pengakap yang tertera menyebabkan Ahmad rasa susah hati. Dia pasti akan menyusahkan mak jika perlu membeli baju baru demi impian Ahmad. Sedangkan nak makan seharian pun agak susah.

Ahmad terus mengayuh basikal pulang dengan perasaan berat.

"Hang dah daftar pengakap ka tadi?" soal kak ani saat Ahmad tiba di rumah.

Ahmad hanya berlalu tanpa sepatah kata.

Pilihan yang lebih murah adalah menjadi ahli PBSM. Modal cuma tshirt putih dan hanya perlu membayar RM5 kepada cikgu sebagai upah cop lambang bulan sabit.

"Assalamualaikum cikgu zain. Saya nak batalkan pendaftaran pengakap semalam. Saya nak tukar masuk PBSM. Boleh ke cikgu?" ujar Ahmad perlahan di hadapan Cikgu Zain.

"Awat ni Ahmad? Bukan hang minat sangat ka nak jadi pengakap dari dulu?" soal cikgu yang cukup mengenali minat Ahmad kerana pernah menjadi guru kelas selama 2 tahun.

"Takpalah cikgu. Saya rasa nak masuk PBSM saja lah. Rasa nak jadi doktor senang sikit nanti," balas Ahmad.

"Awat hang dok bohong ni? Ahmad ada masalah takda duit nak beli baju ka?" soal cikgu.

"Takla cikgu. Saya memang nak masuk PBSM," jawab Ahmad sambil tersengih.

"Kalau hang takda duit. Cikgu boleh tolong bayaq. Kira sedekah la," potong cikgu cuba memujuk Ahmad.

"Takpa cikgu. Yea saya tak mampu. Tapi jadi PBSM pun best juga," jawab Ahmad semakin perlahan. Dia mula rasa air mata mula berkaca.

Menyedari Ahmad mula menundukkan kepala maka Cikgu Zain hanya mengangguk kepalanya tanda akur.

Benar pilihan milik kita. Tetapi adakalanya tidak semua pilihan menepati selera kita.

Untuk Ahmad biarlah impian itu berkubur dahulu.

No comments: