Pages

Thursday, October 8, 2009

Hebat

Salam rakan-rakan,

  1. Di saat saya menulis 'post' ini saya masih belum menyiapkan 'assigment' yang perlu dihantar hari Jumaat ini. Walaubagaimanapun dek kerana hati terdetik untuk meluahkan pendapat saya gagahkan tangan menaip 'keyboard'.
  2. Dahulu masa saya di tahun pertama, hampir kesemua peperiksaan akhir saya diadakan di 'Butterdome' atau gimnasium. Namun begitu, apabila melangkah ke tahun kedua saya tidak lagi menduduki peperiksaan di ' Butterdome'. Apa-apa pun saya lebih gemar jika peperiksaan diadakan di kelas bukannya di 'Butterdome' kerana suasana peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia benar-benar merisaukan saya.
  3. Saya pernah bertanya kepada rakan saya," Apakah kita perlu meninggalkan dewan peperiksaan jika siren berbunyi?" Pada ketika itu, saya berpendapat siren itu mungkin menjadi penyelamat bagi pelajar-pelajar yang kebingungan menjawab soalan. Namun begitu, semua ini hanya telahan nakal saya dan saya tidak pernah berharap perkara buruk seperti itu berlaku

Kisah di Tanah Air Tercinta

  1. Untuk makluman rakan-rakan, para pelajar sedang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah(PMR) pada ketika ini. Semoga adik/anak/rakan/saudara kita dapat melakukan yang terbaik dalam peperiksaan ini.
  2. Saya terkesima membaca tajuk akhbar yang menyatakan pelajar membakar dewan sekolah yang menjadi tempat peperiksaan PMR.
  3. Mungkin pelajar berkenaan cuba mensabotaj PMR di sekolah kerana beliau tidak yakin dengan kemampuan dirinya. Namun begitu, cubaan tersebut gagal kerana PMR tetap diteruskan tetapi kejadian ini ternyata memberi kesan kurang baik kepada rakan sebaya.
  4. Pihak polis mungkin dapat menahan suspek tetapi apakah hukuman setimpal yang patut diberikan kepada seorang pelajar berusia 15 tahun? Tambahan pula berdasarkan 'common law' ibu bapa tidak boleh dipertanggungjawabkan secara terus atas kesalahan anak mereka. Bagaimana pula dengan kerugian yang dialami oleh pihak sekolah?
  5. Yang berhormat boleh menggubal undang-undang bagi memastikan undang-undang terus berada di tempat yang sepatutnya. Persoalan yang ingin saya bangkitkan adalah mengenai sikap para pelajar yang semakin membimbangkan.
  6. Saya pasti rakan-rakan juga bersetuju yang tindakan undang-undang secara tegas tidak mungkin menjanjikan penyelesaian yang terbaik. Kita perlu mencari sebab yang mendorong pelajar berkenaan bertindak ganas sedemikian.
  7. Jika pada masa dahulu, pelajar yang kurang keyakinan diri lebih banyak berdiam diri tetapi keaadaanya ternyata berbeza pada hari ini. Pelajar dengan sewenang-wenangnya memilih cara yang salah untuk memberontak bagi mencari penyelesaian mudah.
  8. Saya masih ingat pada waktu saya bergelar murid sekolah rendah. Guru dihormati seperti ibu bapa di rumah. Malah, kami juga menerima hukuman guru dengan hati yang terbuka kerana faham yang guru bertujuan baik dalam mendidik anak bangsa. Namun, pada hari ini rasa hormat terhadap guru ternyata pada tahap rendah. Malah, sesetengah pelajar sudah berani untuk memberontak kepada guru secara terang-terangan.
  9. Memang benar dunia makin berubah dan manusia tentu berubah. Namun begitu, perlukah kita melihat elemen-elemen begini wujud di kalangan pewaris negara?
  10. Jangan kita menyalahkan nyamuk mengigit anak-anak kita jika kita sendiri membuka pintu dan tingkap dengan luas seolah-olah menyambut kedatangan nyamuk.
  11. Jangan juga kita hanya menyalahkan kucing memakan ikan goreng kita jika kita sendiri menghidangkan ikan tersebut di matanya.
  12. Kita perlu beringat manusia cenderung untuk bertindak setelah melihat hasil yang terdahulu. Tidak mustahil kejadian yang sama bakal berulang di sekolah lain pada masa depan.
  13. Jika dahulu punk,skinhead,gothic, beruk makyeh hanya menular di pusat-pusat bandar tetapi trend ini sudah menggila di pelusuk negara. Masalahnya siapakah yang menjadi mangsa?
  14. Mari kita umpama kan kemasukan elemen-elemen/ budaya barat yang negatif ini sebagai takungan air di sebuah empangan. Bayangkan jika air ini dilepaskan secara melampau dan tanpa kawalan. Apa nasih rakyat di kawasan tanah rendah.
  15. Sebagai penduduk di kawasan tinggi kita mungkin terus tersenyum kerana kita punya kuasa untuk terus melihat ke bawah. Kita juga mungkin tersenyum kerana air itu tidak menjejaskan singgahsana kita yang tersergam indah.
  16. Namun begitu, limpahan air yang melampau pasti akan menjejaskan penduduk tanah tinggi. Akibatnya, mahligai mereka juga pasti menyembah bumi. Pada saat itu, mereka hanya berputih mata dek kealpaan mengawal limpahan air.
  17. Semoga kita diberi kekuatan untuk melawan anasir-anasir yang ingin memusnahkan kita.

2 comments:

sarah-al-idrus said...

syok baca tulisan hang..

TyRoX SaN said...

mekasih... tp ang lg power seyh.... bca gila ang tulis dalam masa singkat... plus ang cam dah expert gile ngan fesyen.. respek sama lu ..