Pages

Saturday, February 20, 2021

Bahulu

Semasa kecil dahulu.
Jiran di kampung merupakan penjual kuih bahulu yang diusahakan oleh sepasang suami isteri tua.
Mereka hanya tinggal berdua sahaja manakala anak cucu tingal di kota raya.

Kisah bahulu ini bermula dengan aktiviti masak gotong royong antara keluarga saya dan penjual kuih (Cik Tom).
Pada tahun 1996, tiada lagi akses internet malah agak mustahil untuk menemui komputer di rumah orang kebanyakan.
Pada satu hari, Cik Tom datang singgah ke rumah bersama satu buku resipi. Pada waktu itu resipi samada dalam kepala orang-orang tua atau dari buku resipi. Tiada resipi dari hujung jari.

Setelah sepakat akhirnya ibu, nenek dan Cik Tom bersetuju untuk membuat kuih bahulu mengikut buku resipi Cik Tom. Seingat saya bahulu dimasak menggunakan sabut kelapa sebagai bahan bakar. Bahulu yang dimasak ternyata sedap yang mempunyai bentuk ikan dan kandis.

Bermula dari saat itu, Cik Tom menyedari yang beliau mempunyai bakat dan resipi yang betul untuk membuat bahulu yang sedap. Keluarga saya pula berhenti setakat itu sahaja.

Saya gemar bermain di hadapan laman rumah Cik Tom. Setiap waktu itu juga Cik Tom akan menyajikan kuih bahulu yang baru siap dibakarnya. Saya menjadi saksi improvement terhadap ruang dapur Cik Tom. Bermula dari satu ketuhar kecil sehingga beberapa ketuhar sehingga ketuhar skala industri. Rezeki Cik Tom masuk mencurah- curah hari demi hari.

Tetapi ini bukan cerita utama. Ceritanya Cik Tom hanya akan menjamu saya kuih bahulu setelah suaminya keluar untuk penghantaran bahulu ke kedai-kedai. Pak Teh (suami) agak lokek tentang perkara ini.

Sekiranya ibu meminta saya membeli kuih bahulu, kebiasaannya saya akan mengintai samada kereta Pak Teh ada di hadapan rumah atau tidak. 

Kini semua hanya tinggal kenangan.
Kelurga saya tidak lagi tinggal di situ.
Kali terakhir saya bersua dengan Cik Tom adalah semasa majlis perkahwinan hampir 10 tahun lalu.

Terima kasih Cik Tom untuk bahulu yang pernah disajikan satu masa dahulu.


No comments: