Pages

Monday, February 1, 2021

Hari Wilayah

1 Februari merupakan Hari Wilayah Persekutuan.
Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya.
Mengimbau memori hampir 16 tahun yang lalu.

2005

Seusai solat maghrib di surau, seorang rakan datang ke arah saya. Tarikh itu merupakan 31 Jan 2005.
Beliau memberitahu yang PK HEM ingin bertemu dengan saya di luar surau.

Saya dimaklumkan oleh PK HEM yang sekolah kami dijemput untuk menyertai perbarisan Hari Wilayah yang akan diadakan di Dataran Merdeka. Jumlah peserta yang diperlukan adalah seramai 60 orang. Saya masih boleh ingat yang saya berdebar apabila mendengar perkataan 'ESOK' dan 'PERBARISAN'. Mana mungkin dapat saya dan rakan sempat berlatih untuk perbarisan esok dalam tempoh yang singkat. 

PK HEM hanya tersenyum melihat saya cemas dan beliau hanya ketawa apabila saya memohon kebenaran untuk membuat latihan kawad sehingga lewat malam.

"Bertenang Ahmad. Ini perbarisan biasa bukannya kawad. Beratur di Dataran Merdeka sahaja dengan peserta lain. Jangan risau," ujar PK HEM sambil menepuk bahu saya.

"Make sure cari pelajar yang luar dari KL Selangor. Beri mereka peluang untuk lihat Dataran Merdeka. Esok minta semua orang berkumpul di hadapan dewan sekolah selepas subuh ya," sambung PK HEM sambil menghidupkan motorsikalnya.

Benar kata PK HEM. Esoknya tiada kawad cuma perbarisan biasa sahaja. Kami tidak bergerak pun sebenarnya. Hanya berbaris mengikut agensi dan menunggu Tan Sri Isa Samad (Menteri Wilayah) bergerak ke arah kami dan bersalaman. Acara selesai dalam masa sejam dan perbarisan kami bersurai tanpa perlu berjemur di bawah terik matahari.

Sementara menunggu ketibaan bas sekolah, kami berjalan-jalan di sekitar Dataran Merdeka. Rata-rata rakan yang turut serta merupakan dari Tingkatan 4 dan berasal dari Pantai Timur. Mereka baru sahaja mendaftar di sekolah kurang dari sebulan yang lalu. Mungkin tidak semua tetapi kebanyakannya menjejak kaki buat kali pertama di Dataran Merdeka. 

Saya masih lagi teringat saat pertama menjejak kaki di Dataran Merdeka. Peristiwa tersebut berlaku pada tahun 2004 iaitu semasa partandingan King of The Road Adidas. Ianya merupakan hari pertama saya melihat Bangunan Sultan Abdul Samad dengan mata kasar sendiri.

Perkara yang kecil bagi kita mungkin besar ertinya kepada orang lain. 
Begitu juga sebaliknya.
Raikanlah pendapat.
Enjoy every little moment.

Dataran Merdeka. 6 September 2020.


No comments: