Pages

Saturday, February 14, 2009

Cuba fikirkan

Salam rakan pembaca,

syukur alhamdulillah kerana saya telah selesai menduduki peperiksaan pertengahan semester. Walaubagaimanapun saya agak kurang berpuas hati dengan prestasi yang ditonjolkan oleh saya pada semester ini. Saya yakin dan percaya bahawa semua yang berlaku ini pasti ada hikmah disebaliknya. Jika ingin dikatakan saya tidak mengulangkaji pelajaran dengan baik, saya rasakan saya telah melakukan yang terbaik tetapi seperti ada sesuatu yang tidak kena pada musim peperiksaan kali ini. Mungkin Allah ingin memberi peringatan kepada saya yang lalai mengingatiNya dalam kehidupan seharian.

E E 231

Ini merupakan subjek yang mudah kerana ianya hanya berkaitan analisis nombor sahaja. Namun begitu soalan yang muncul dalam peperiksaan tidak semudah seperti yang dijangka. Ia merupakan soalan yang mencabar tetapi saya masih boleh menjawab. Namun apa yang dikesalkan apabila saya gagal menjawab bahagian paling mudah dek kerana kegagalan saya mengingati formula yang betul

E E 238

Subjek ini lebih sukar daripada E E 231 tetapi saya agak berpuas hati dengan tahap kesukaran soalan yang dibuat oleh pensyarah. Namun begitu, saya berkemungkinan hilang banyak markah hanya kerana kesalahan saya menyalin semula persamaan yang disediakan.

E E 250

Ini merupakan subjek lanjutan bagi subjek E E 240 yang diambil oleh saya pada semester lepas. Saya amat membenci subjek E E 240 pada satu ketika dahulu namun saya mula menyukainya setelah memahami subjek ini dengan sebaik-baiknya. Walaupun saya kurang menggemari pensyarah E E 250 tetapi memandangkan ianya merupakan subjek kesukaan saya pada semester ini, saya memperuntukkan masa hampir setiap hari untuk mengulangkaji subjek ini. Malah saya juga membuat nota tambahan yang diolah daripada kelas apabila pulang ke rumah. Secara terus terang, ini merupakan subjek yang diharapkan saya akan melonjakkan CGPA saya. Namun begitu, kesemuanya serba tidak kena ketika peperiksaan pada pagi tadi. Saya gagal menjawab soalan litar frekuensi kompleks walaupun ianya merupakan soalan termudah berbanding soalan-soalan lain.Saya hanya mampu terpana melihat wajah pensyarah saya ketika beliau mengutip kertas peperiksaan dari tangan saya yang masih mencuba untuk menjawab soalan terbabit. Soalan berkenaan bernilai 40 %!!! bayangkan berapa banyak markah yang sudah lesap tanpa sempat pensyarah saya memeriksa kertas berkenaan.

Kesimpulan.....

Manusia tidak selalunya akan berada di atas puncak kerana pada satu ketika kita boleh tergelincir walaupun kita telah mengambil langkah berjaga-jaga yang sepatutnya. Ujian daripada datangAllah dalam pelbagai bentuk dan kita sebagai hambaNya harus menghadapinya dengan penuh rasa tabah. Saya berharap agar saya dapat membaiki kesilapan saya ini agar pembelajaran saya di sini dapat berjalan dengan baik. Sekurang-kurangnya saya masih ada peluang untuk membetulkan keadaan ini daripada menjadi lebih parah.

Saya juga harus bermuhasabah diri bagi mengenal pasti punca kesilapan saya. Sepatutnya sebagai manusia kita harus bermuhasabah diri setiap hari agar hari esok lebih baik daripada hari ini.Saya bersyukur kerana diberi peringatan daripadaNYA lebih awal sebelum nasi menjadi bubur.



p/s: markah maksimum yang mampu saya dapat untuk E E 250 adalah 40%. sedih....

No comments: