Sunday, January 10, 2010

Nasi Putih

Salam rakan-rakan,

  • Nasi merupakan makanan ruji bagi rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa mahupun agama. Namun begitu, nasi putih yang kosong tanpa sebarang lauk pasti mengurangkan selera kita untuk terus menikmati makanan ruji tersebut.

Nilai sepinggan nasi putih
  • Rakyat Malaysia amat beruntung kerana negara kita dikurniakan dengan rezeki yang melimpah ruah. Kita juga harus berterima kasih kepada insan-insan yang bertanggungjawab yang mengolah makanan ruji seperti nasi menjadi makanan yang lazat seperti nasi goreng pattaya, nasi dagang dan nasi kerabu.
  • Di samping itu juga, lauk-lauk yang kaya dengan rasa dan khasiat telah menambahkan lagi nilai nasi putih. Bayangkan jika rakan-rakan hanya menjamah nasi kosong tanpa modifikasi ataupun tanpa sebarang lauk. Rakan-rakan masih mampu meneruskan hidup tetapi kemanisan sebuah kehidupan sebagai seorang manusia pastinya tidak setara mana jika dibandingkan dengan kehidupan yang dimana kita mampu menjamah makanan yang beraneka rasa.
  • Bayangkan juga kehidupan ini jika manusia menolak untuk berfikiran kreatif dalam kehidupan seharian. Jika ini terjadi maka kita hanya mampu menikmati nasi putih sepanjang hayat kerana tiada seorang insan mampu berfikir untuk menambah nilai nasi putih. Kita juga mungkin terus hidup di zaman purba kala jika manusia enggan menggunakan akal fikiran untuk mencipta alat-alat yang berguna bagi memajukan tamadun manusia.
Hasil kreativiti makhluk Allah bernama manusia

Rakan-rakan yang dihormati sekalian,

  • Kehidupan sebagai seorang pelajar tidak ubah seperti norma rakyat Malaysia yang memerlukan nasi bagi meneruskan kehidupan seharian.
  • Ilmu umpama nasi putih yang dijamah oleh hampir seluruh rakyat Malaysia. Ilmu di dada mampu menjamin kehidupan yang lebih baik sebagaimana nasi terus membekalkan tenaga untuk dibakar untuk manusia.
  • Namun begitu, tidak ramai pelajar yang mencintai suasana universiti yang dimana para pelajar dituntut untuk mempelajari ilmu-ilmu yang agak sukar untuk difahami. Ini menyebabkan ramai pelajar berputus asa di pertengahan jalan. Sebahagiannya berjaya menamatkan pengajian dengan jayanya tetapi sebahagian mungkin hanya bernasib baik kerana mampu bertahan hingga ke penghujung jalan walaupun pada hakikatnya mereka mengalami mimpi buruk sepanjang perjalanan.
  • Perkara ini boleh disamakan dengan pemakanan nasi putih oleh rakyat Malaysia. Jika hari-hari kita disumbat dengan nasi putih tanpa sebarang lauk mungkin kita mula berfikir untuk mengubah selera. Dalam kes yang lain, kita mungkin terus menelan nasi putih tanpa lauk itu dengan harapan kita dapat menghabiskannya secepat mungkin.
Terlalu banyak untuk difahami tetapi jika kita menikmatinya pasti pembelajaran merupakan pengalaman yang menarik
  • Dalam kes insan yang luar biasa, mereka mungkin meletakkan sedikit usaha bagi menambahkan kelazatan nasi putih dengan memakannya dengan lauk pauk. Insan-insan seperti ini berasa lebih gembira malah mereka tidak akan jemu untuk terus menjamah nasi putih kerana mereka percaya nilai nasi putih amat bermakna jika mereka sanggup berusaha dan berfikiran kreatif.
  • Oleh saya ingin menekankan kepentingan pemikiran secara kreatif di kalangan insan-insan yang bergelar penuntut ilmu. Kemanisan sesuatu ilmu hanya dapat dinikmati jika kita sudi berusaha dan berani untuk berfikir secara kreatif.
  • Sebagai contoh, nota yang diberi oleh pensyarah adalah yang terbaik bagi pensyarah terbabit kerana ia ditulis dari sudut pemahaman beliau namun halnya mungkin berbeza untuk para pelajar. Para pelajar harus berusaha untuk melakukan ulangkaji tambahan dan berusaha untuk membuat nota sendiri yang mudah difahami oleh diri sendiri. Langkah ini bukan sahaja memudahkan kita memahami material yang dipelajari malah ia melatih otak kita berfikir secara lebih luar biasa.
  • Banyak lagi perkara-perkara kreatif yang boleh dilakukan seorang pelajar bagi menikmati ilmu-ilmu yang berguna di jalan Allah. Contoh tambahan, jika rakan-rakan berjaya menyiapkan kerja-kerja makmal lebih singkat daripada yang sepatutnya (mengikut langkah-langkah yang ditulis dalam manual), rakan-rakan mungkin boleh menggunakan peluang ini untuk menguji beberapa teori yang dipelajari dalam kelas agar mendapat kefahaman yang lebih mendalam.
  • Ini hanya beberapa contoh ringkas, saya percaya rakan-rakan mampu berfikir secara lebih kreatif dan kritis.

Koleksi air jus yang terdapat dalam bilik tidur. :D


MusicPlaylist
Music Playlist at MixPod.com


lagu kegemaran minggu ini.

p/s: seorang rakan bertanya apakah rahsia untuk memperoleh A+? saya menjawab "jadi sedikit luar biasa"


2 comments:

Fakhrul Islami said...

salam..
tq bro atas komen ko kat blog aku. blog ko pun apa kurang hebatnya. lagi hebat dari aku. ak pun dapat inspirasi nak tulis blog pn lepas baca blog ko, sbb tulisan ko 'sedap' untuk dibaca.

pasal entry ni, perkaitan antara nasi dan belajar, haha... memang menarik.

p/s: kenapa jus epal dengan oren je? dah tu epal lg bnyak dpd oren.. huhu...

ali said...

hyep...gempak giler blog...