Pages

Tuesday, June 4, 2019

L Express

Suhu yang dingin terasa sehingga ke tulang hitam. Ahmad menarik selimut untuk menyambung tidur namun dilihatnya jam sudah hampir 7 pagi.

Rasa malas mula merajai fikir ditambah pula suhu membeku musim sejuk.

Ahmad mula mengeluh apabila memikirkan yang dia juga perlu bekerja separuh masa di Canada kerana elaun yang diberi oleh penaja tidak mencukupi untuk kehidupan seharian.

Sebagai pemegang permit belajar, Ahmad hanya boleh bekerja dalam kawasan kampus sahaja. Dia terpaksa menunggu lagi 6 bulan untuk memohon permit kerja untuk membolehkannya bekerja di luar kampus universiti.

Kehidupan di negara luar tampak menarik di mata orang lain tetapi tidak semuanya indah. Namun, pengalaman jugalah yang menginsankan seorang manusia. Seorang jurutera itu bukan diukur dengan skrol ijazahnya tetapi dibentuk dengan perjalanan getir penuh ranjau untuk bergelar jurutera.

Bekerja di dalam kampus bermakna pilihan tempat kerja agak terhad dan gaji agak rendah. Setelah beberapa kali mencuba dan hasil pertolongan rakan, Ahmad akhirnya beroleh kerja di restoran L Express dengan gaji CAD 8.50 sejam.

Memasak bacon strip, scramble egg, pasta dan hash brown merupakan rutin kerja Ahmad yang bertugas pada hari Sabtu dan Ahad. Antara pengalaman yang masih menggamit memori adalah aktiviti menyusun bacon strip atas dulang sebelum dimasak dalam ketuhar. Setelah selesai dimasak, Ahmad akan membuka pintu ketuhar dan terus berlari kerana tidak mahu menyedut asap bacon. Terasa hidungnya perlu disamak jika terbau asap itu.



No comments: