Pages

Sunday, June 9, 2019

Mereka Pergi.

Malam ini mata Ahmad terasa sukar untuk tidur. Dia terbayangkan hari esok yang bakal tiba. Masa berlalu terlalu pantas sehingga dia terasa banyak lagi perkara yang belum dilaksanakan.

"Ahmad. Kau dah ambil belum baju kat laundry? Aku tengok dari tadi ada kat bawah. Nanti lewat kau bersiap," ujar Ali yang tiba-tiba menguak daun pintu bilik Ahmad.

Rupanya Ali juga seperti Ahmad yang masih belum terlelap. Mencari alasan dengan mencuci baju pada jam 3 pagi. Mungkin Ali juga terasa berat hati untuk meninggalkan tempat ini.

Tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat menuntut ilmu selama hampir 4 tahun.

Esok mereka akan meninggalkan bumi Kanada untuk pulang ke tanah air. Mengikut itinerari mereka akan singgah di Dubai selama 2 hari untuk bersiar-siar.

Lumrah untuk Ahmad melakukan stopover setiap kali pulang ke Malaysia kerana kos yang lebih berpatutan.

Namun kali ini berbeza, tiket yang dibeli adalah sehala. Mereka tidak akan pulang semula ke Kanada.

Tepat jam 8 pagi, abang Syed tiba di pintu 9001 Hub Mall. Awalnya, mereka ingin ke lapangan terbang menggunakan van Sky Shuttle namun pada saat akhir abang Syed menawarkan diri untuk menghantar mereka buat kali terakhir.

Hati Ahmad terasa sebak saat membuka pintu rumah kerana kelihatan sekumpulan rakan-rakan junior telah lama menanti mereka. Bertambah berat langkah Ahmad menuruni anak tangga Hub Mall.

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Jika tak kerana masa dan jarak, manusia tetap asing saat mereka dijemput Illahi. Apa yang penting adalah memori yang ditempa sepanjang perjalanan hidup.

"Selamat tinggal Edmonton," bisik hati Ahmad saat melabuhkan punggung atas kerusi kereta abang Syed.

Sepanjang perjalanan, Ahmad hanya mendiamkan diri. Min sememangnya diam seperti kebiasaannya.

Hanya kedengaran suara Ali yang berbual di hadapan bersama abang Syed.


No comments: