Pages

Thursday, January 14, 2010

Gunung Pancasari

Kes pertama
  • Jika kita dihidangkan dengan air kopi yang panas, apakah kita akan terus meneguk air tersebut sekaligus? Saya agak pasti yang tiada sesiapa sanggup berbuat demikian jika beliau masih mempunyai deria-yang baik dan tidak dipengaruhi oleh alasan yang kukuh.
  • Sebaliknya, ramai yang akan menunggu seketika untuk air tersebut mencapai suhu yang sesuai atau mereka cuba untuk meneguknya secara cermat dan perlahan-lahan.
Secawan kopi pekat tanpa gula tidak mempunyai nilai pada kebanyakan orang
  • Walaubagaimanapun, jika kita sudah buta deria mungkin kita terus meneguk air tersebut tanpa menyedari kesakitan yang dialami.
  • Atau mungkin kita terlalu keras kepala sehingga sanggup mengabaikan kesakitan yang dialami akibat tegukan yang agak tergopoh gapah tersebut.
  • Mungkin kita mampu menahan kesakitan itu bagi jangka masa pendek tetapi kita tidak seharusnya lupa yang badan kita tidak dicipta kebal. Sedikit sebanyak kesakitan yang dialami bakal mengundang padah pada hari yang mendatang jika kita tidak melakukan sesuatu bagi membendung masalah terbabit.
Kes kedua

  • Jika kita sudah berjaya menikmati kopi tersebut tanpa mendatangkan kesakitan tetapi di pertengahan jalan kita menyedari kopi yang dinikmati sudah tidak selazat seperti dahulu.
  • Apakah kita terus meminum kopi tersebut walaupun rasa semakin pahit untuk ditelan ke dalam tekak? Atau kita mungkin akan terus membuang kopi tersebut lalu memesan makanan lain iaitu teh.
  • Atau mungkin kita akan duduk mengenangkan detik-detik menikmati kopi yang lazat pada satu ketika dahulu agar kita mampu melupakan kepahitan kopi yang dinikmati.
Kes ketiga
  • Jika kita dihidangkan dengan air kopi yang lazat setanding dengan rasa Cappucino yang biasanya hanya mampu dinikmati oleh golongan bangsawan pada ketika dahulu mungkin kita akan terus menikmati setiap titik kopi tersebut dengan penuh kenikmatan.
  • Namun, setelah beberapa lama menikmati kopi tersebut kita baru tersedar yang kopi tersebut mempunyai kelazatan yang tinggi kerana mengandungi gula yang sangat banyak sehingga boleh menjejaskan kesihatan kita.
  • Sejak daripada itu, kita mula menghidap beberapa penyakit yang tidak pernah dijangka namun walaupun kita sedar bahaya penyakit tersebut kita mungkin sukar untuk berhenti daripada menikmati kopi tersebut kerana ketagihan yang melampau.
Kes keempat

  • Seorang pemuda yang ingin berjaya mempunyai hajat untuk menerokai bidang keusahawanan kerana beliau yakin akan peluang dalam perniagaan kopi.
  • Namun begitu, beliau memerlukan sebuah ladang kopi bagi memulakan perniagaannya tetapi pemuda ini terlalu degil kerana bertegas untuk membuka ladangnya di atas puncak Gunung Pancasari walaupun pada dasarnya terdapat banyak tanah-tanah yang sesuai bagi penanaman kopi yang terletak di kaki gunung.
  • Walaupun diberi tawaran oleh pelbagai pihak untuk menjual tanah mereka , sang pemuda tetap termenung ke arah Gunung Pancasari dengan harapan impian beliau akan tercapai.
  • Walhal, Sang Kencana Puri yang juga merupakan pemilik Gunung Pancasari pula mengatakan tanah di puncak gunung masih belum subur untuk sebarang tanaman walaupun si pemuda tidak jemu memujuk agar diberi kebenaran untuk bercucuk tanam.
  • Malangnya, pada suatu hari si pemuda mendapat khabar dari Penghulu Dewata bahawa saudagar seri alam dari kepulauan Borneo sudah membuka ladang di atas puncak Gunung Pancasari.
Mungkin ini Gunung Pancasari?

Pengajaran

Kes pertama

  • Kita perlu sentiasa bersabar dalam melakukan sesuatu pekerjaan kerana sesungguhnya sabar itu adalah separuh daripada iman.
  • Di samping itu juga, kita haruslah bertenang dalam menghadapi sesuatu masalah walaupun jalan penyelesaian agak sukar untuk dijumpai. Sebaliknya, kita perlu memberi diri kita secukup masa untuk membuat sesuatu keputusan dan bertindak sewajarnya.
Kes kedua

  • Langit tidak selalunya cerah pada setiap masa walaupun tidak dilanda oleh cuaca buruk. Langit tetap akan bertukar warna setelah melalui proses siang dan malam. Oleh itu, kita tidak seharusnya beranggapan kehidupan kita akan sentiasa diulit dengan keseronokan dan kenikmatan yang berpanjangan.
  • Sebaliknya kita seharusnya berwaspada dan beringat akan masa-masa susah yang mungkin menimpa diri dan keluarga. Hidup ini umpama roda, ada ketika kita berada di atas manakala ada kalanya kita terpaksa berada di bawah.
  • Selain itu juga, manusia sentiasa berhadapan dengan konflik dalam sepanjang perjalanan hidupnya. Mungkin pada awalnya kita beranggapan segala keputusan yang diambil oleh kita adalah tepat namun setelah beberapa ketika menyedari bahawa kita telah melakukan kesilapan. Walaubagaimanapun, harga yang perlu dibayar untuk membuka buku baru atau meneruskan buku lama ternyata mempunyai nilai yang cukup untuk membuat kita berada dalam dilema
  • Sebagai contoh, pelajar tahun ketiga jurusan kedoktoran menyedari bahawa beliau tidak mempunyai minat dan tidak mampu lagi meneruskan cita-citanya untuk bergelar seorang doktor. Beliau cuba untuk meyakinkan dirinya bahawa beliau akan bertemu sinar mentari di penghujung jalan tetapi sebahagian dirinya pula meronta-ronta untuk berpatah balik bagi mengelakkan terus tersesat dalam terowong yang gelap.
  • Dalam berdepan dengan masalah yang melibatkan konflik, individu boleh terus menguatkan diri bagi berhadapan dengan cabaran yang mendatang atau cuba mencari kaedah bagi meringankan beban yang ditanggung (sebagaimana kita menambah gula ke dalam air kopi bagi menambahkan rasanya).

Sebanyak mana gula yang sanggup ditambahkan ke dalam secawan kopi?
  • Individu juga boleh mengambil keputusan yang ternyata berbeza dengan matlamat asal hidupnya pada saat ini tetapi harus menerima risiko-risiko yang agak besar.

Apakah secawan teh mempunyai nilai yang sama seperti secawan kopi?
  • Akhirnya, kita seharusnya redha dengan segala keputusan yang diambil oleh kita bagi menyelesaikan masalah yang melanda. Tawakkal adalah kaedah terbaik setelah kita berusaha sedaya upaya.

Kes ketiga
  • Manusia mudah lupa diri apabila diulit dengan keseronokan dunia walaupun pada hakikatnya kita mengetahui tindakan kita salah di sisi agama.
  • Kita terlalu alpa mengejar kebahagiaan dunia sehingga kita terlupa asal usul dan juga tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka Bumi. Akibatnya,kita tidak sedar yang kehidupan kita makin terpesong daripada ajaran al-Quran dan As-sunnah.
  • Cara terbaik untuk mengelakkan diri kita daripada terpesong adalah dengan cara bermuhasabbah diri. Luangkan masa sebelum tidur di waktu malam untuk mengenang kembali perlakuan kita pada sepanjang hari.Insya Allah kita akan berusaha untuk menjadikan hari esok lebih baik daripada hari-hari yang sebelumnya
Kes keempat
  • Saya serahkan kes keempat untuk difikirkan oleh para pembaca yang dikasihi

Semoga kita semua beroleh manfaat daripada ilmu yang dikongsi bersama. Perkara yang baik itu datang daripada ALLAH manakala yang cacat cela sifatnya datang daripada kelemahan diri saya.


p/s: luka di tangan nampak parutnya. luka di hati tiada siapa yang tahu

4 comments:

Aidi-Safuan said...

wow! nice entry!
mendalam makna nih.
thanx~

TyRoX SaN said...

thanks bro sbb kasik feedback

AreDa said...

wooo...dgn kopi ko bleh wat byk versi cite ek...nway, aku tertarik ngn p/s kt bawah tu jer...hahah

TyRoX SaN said...

areda: hooooo.... byk la songeh ko.