Pages

Thursday, January 3, 2019

Penjual Nasi Lemak

Salam,

Makcik Bawang

Saya gelarkan beliau dengan nama demikian kerana sambal yang dijual oleh beliau mengandungi banyak bawang. Sangat banyak. Makcik ni suka bercakap dan bercakap.

Oleh kerana beliau menggunakan banyak bawang dalam sambal maka harga nasi lemak juga bergantung kepada harga pasaran bawang (ini statement makcik itu).

Makcik akan baca Quran saat menunggu pelanggan singgah di gerainya di pagi hari. Apa yang kurang digemari adalah Makcik suka mengeluh. Pada mulanya saya agak rimas tetapi sekarang saya cuba mendengar dan memberi respon seperti oooooo, aaaaa dan sebagainya. Mungkin Makcik stress dan penat bekerja dalam mencari wang untuk survival hidup.

Baru-baru ini Makcik gembira bercerita tentang beliau akan ke tanah suci untuk menunaikan umrah kali pertama. Sebenarnya lambat lagi tarikh penerbangan tetapi jelas terpancar riak wajah gembira Makcik apabila membuka bicara. Daripada ceritan beliau, beliau berjaya mengumpul wang umrah hasil dari pendapatan jualan nasi lemak.

Terkadang bantuan yang kita boleh berikan kepada orang asing adalah senyuman dan telinga yang mendengar.

Akak Nobody

Saya gelarkan beliau nobody kerana tidak tahu nama. Nak bertanya nama rasa tidak manis dan tidak perlu. Berlainan dengan Makcik Bawang, sambal nobody tidak mempunyai bawang yang banyak.

Nobody juga gemar bercakap tetapi belum pernah saya mendengar beliau mengeluh. Antara topik perbualan sama adalah keadaan trafik di hadapan gerai beliau. Ini bermaksud beliau hanya bercakap untuk menghidupkan suasana berbanding makcik yang perlu seseorang untuk melepaskan beban di dada.

Ada seorang lelaki yang saya agak suami kepada Nobody akan duduk dalam jarak 3 meter dari gerai. Beliau berpakaian selekeh dan menghembus asap rokok. Saya sebenarnya agak jelek melihat gaya suami yang langsung tidak membantu Nobody.

Hari ini saya ringankan mulut untuk menyapa sang suami. Rupanya beliau bekerja sebagai pengawal keselamatan yang waktu kerjanya berakhir jam 6.00 pagi hampir setiap hari. Dari matanya saya dapat rasakan beliau sebagai suami sebenarnya agak keberatan melihat isteri terpaksa berniaga untuk menampung kehidupan keluarga. Mungkin sedar dengan pandangan serong saya, sang suami pun menjelaskan yang beliau akan menemani isterinya sehingga jam 8.00 pagi bagi memastikan keselamatan isteri.

Kenapa beliau langsung tidak membantu isteri? Wallahualam. Mungkin beliau penat bekerja semalaman. Mungkin dia dah tolong tetapi kita manusia kerdil mana nampak kan?

Tetapi yang penting itu kehidupan mereka sekeluarga. Siapa kita sesuka hati untuk menghukum.

Saya bersyukur kerana tidak pernah pula bercerita tentang suami Nobody kepada sesiapa sebelum ini.


Semoga Akak Nobody dan Makcik Bawang sentiasa dimurahkan rezeki.

No comments: