Pages

Monday, January 7, 2019

Cawan Kantin

Zaki ke hulur hilir dalam kawasan kantin. Matanya melilau dari satu ke satu meja. Telatah Zaki menyebabkan sesetengah pelajar melihatnya dengan pandangan yang menjelikkan.

"Patut ke aku tinggalkan cawan ini atas meja atau aku bawa ke makcik Z untuk refund sekupang?" bisik hati Ahmad seraya memandang Ahmad yang pantas mengutip cawan yang ditinggalkan atas meja-meja kantin.

Di kantin Sek Men Jatir, harga secawan air minuman adalah lima kupang. Namun sekiranya, cawan tersebut dipulangkan semula ke makcik Z di bahagian minuman maka sekupang akan diberikan semula bagi setiap cawan. Sebenarnya langkah ini untuk menggalakkan para pelajar untuk mengemas meja dan memulangkan cawan ke tempat yang dikhaskan. Kantin bersih dan pelajar pun dapat insentif.

Kempen ini seperti lubuk emas bagi Zaki yang kebetulan datang dari keluarga yang kurang berkemampuan. Ahmad hanya mengenal Zaki secara luaran sahaja kerana berlainan kelas. Namun setiap kali dia melihat kelibat Zaki menolak basikal tua melepasi pintu pagar utama sekolah, Ahmad terkenang akan rakan baiknya iaitu arwah Mael.

"Ahmad. Hang dah habih minum ka? Aku amik cawang ang boleh ka?" soal Zaki sebaik sahaja Ahmad meneguk baki air minuman dalam cawan.

"Ambik la," jawab Ahmad secara tawar kerana dia sebenarnya ingin menghantar cawan itu untuk mendapatkan semula sekupang dari Makcik Z tetapi tidak sampai hati sebaik melihat kesungguhan Zaki.

Gelagat Zaki yang agak gelojoh itu ternyata menyebabkan sekumpulan pelajar perempuan mencebik bibir kerana tidak selesa dengan sikapnya. Di mata mereka, Zaki seorang yang gelojoh tetapi bagi Zaki pula ini peluangnya untuk mencari wang poket. Di mana lagi seorang pelajar boleh mendapatkan wang tambahan di sekolah secara percuma.

Seperti juga manusia yang lain, Zaki juga pasti mempunyai perasaan namun hati seperti keras untuk memikirkan persepsi orang lain. 

No comments: