Pages

Monday, May 13, 2019

Anak Sungai

"Ahmad. Mai la lompat sekali," jerit Mail tanpa seurat benang di atas tubuh.

Kanak-kanak lelaki sebaya Ahmad memang gemar untuk mandi di anak sungai berhampiran sekolah. Tambah menyeronokkan apabila ramai-ramai bertenggek di laluan air deras pintu air.

Setiap kali itu juga Ahmad hanya akan terpaku melihat rakan-rakannya dari tebing sahaja. Mungkin Ahmad malu untuk bertelanjang bulat atau risau akan dimarahi oleh emak bila pulang ke rumah.

"Mael. Jom la balik. Aku lapaq ni," jerit Ahmad memanggil rakan baiknya.

Mail pun berlari terkocoh kocoh naik dan mencari baju seluar yang dilempar tadi.

"Hang bila nak pandai berenang kalau asyik dok kat tepi ja weyh?" soal Mail. Dia tahu Ahmad teringin benar nak belajar berenang.

"Tak tau la Mail. Tunggu aku kaya pi belajaq kat swimming pool kot," gelak Ahmad.

"Ceit. Tak yah dok perasan. Ang belajaq dengan aku sudah. Aku jadi tok guru hang," tepuk Mail sambil menarik tangan Ahmad ke basikal.

Dan mereka berdua pun berlalu pergi menuju ke rumah masing masing.

"Papa. Ayaq apa tu?" tanya Alia sambil mencuit tangan Ahmad.

Ahmad tersedar dari lamunan. Air sungai itu tidak lagi sejernih dahulu. Ianya berwarna teh susu. Pintu air masih sama seperti dahulu.

Pohon kayu yang menjadi tapak lompatan juga masih ada tetapi lebih besar.

Lambaian dan jeritan Mail nampak jelas di mata Ahmad.

"Mail. Aku dah pandai berenang," bisik hati Ahmad.


No comments: