Pages

Tuesday, December 18, 2018

Hari Pendaftaran

Ahmad pernah tinggal di Bandar Sunway pada satu ketika dahulu untuk hampir satu tahun. Hari pertama Ahmad menjejak kaki di Bandar Sunway merupakan hari pendaftarannya di Kolej Universiti Sunway.

"Mak. Ok tak baju dan tie cheq ni?" tanya Ahmad sambil membetulkan tie di hadapan mak.

Emak hanya tersenyum. Boleh katakan emak walaupun tidak belajar tinggi kerana berkahwin awal tetapi mak tergolong sebagai orang yang pandai menguruskan hidup. Emak mungkin tak mampu beli makanan enak untuk anak anak tetapi emak akan cuba masak makanan yang lebih sedap untuk menjimatkan kos.

Namun oleh kerana ayah adalah seorang pesara polis berpangkat kopral maka emak semestinya tidak pernah mengikat tie.

"Cantik la anak emak ikat tie," balas emak tersenyum bangga.

Saat menjejak kaki di kolej, Ahmad terkejut kerana rata-rata pelajar memakai baju santai seperti seluar jeans dan t-shirt kolar bulat. Semua kelihatan seperti anak orang berada. Ahmad seperti berada di dunia asing. Malah ada pelajar yang menyapa Ahmad sebagai pensyarah kerana pakaian kemasnya.

"Kurang asam betul Puan Anisah tak habaq awai yang tak payah pakai baju skema," getus hati Ahmad.

Sebaik pendaftaran selesai dan berpelukan dengan emak. Ahmad mengambil masa untuk berjalan-jalan di sekitar kolej. Satu perkara yang Ahmad perasan adalah tidak ramai pelajar Melayu di situ.

"Mak aih mahainya harga," bisik hati Ahmad saat melihat papan tanda harga di kafe.

Ahmad pun mencongak elaun saraan bulanan yang bakal diterima dari penaja dengan bilangan hari dalam sebulan.

Secara kasar, Ahmad cuma boleh berbelanja sehari RM15 sahaja. Lebih dari itu Ahmad tidak akan cukup wang untuk survive. Ahmad memang tiada wang simpanan saat di menjejak kaki di Sunway. Ibunya sendiri terpaksa meminjam wang RM500 dari saudara untuk membayar deposit pendaftaran. Mujur di saat akhir pihak penaja memaklumkan bahawa deposit itu akan ditanggung sepenuhnya maka bolehlah emak pulangkan semula wang itu.

Ahmad juga sudah berjanji dengan diri sendiri yang dia tidak akan sesekali minta duit dari emak lagi. Biarlah Ahmad cuba survive supaya adik beradik lain dapat peluang menggunakan wang bulanan keluarga.

Ahmad perlu survive. Ini permulaan hidup sendirian Ahmad. Ahmad perlu kuat.

No comments: