Pages

Wednesday, December 12, 2018

Anak Petani


" Man. Jomlah singgah rumah aku. Kita sambung main, " ajak Mael.

" Takpelah mael. Aku nak balik rumah terus sebab dahaga sangat ni, " balas Man sambil mengayuh laju basikal.

"Man!!! Tunggu la sat. Mai minum ayaq kat rumah aku. Lepas minum kita sambung la main. Awal lagi man. Takkan ayah hang marah kot kalau balik lambat sikit," jerit Mael sambil mengejar dari belakang.

Man terus membrek basikal di tepi selekoh yang juga mempunyai jalan kecil ke teratak keluarga Mael. Man memang selalu singgah di rumah Mael kerana lokasi teratak yang berada dalam laluan pulang ke rumahnya. 

Namun hari ini, Man bertekad untuk pulang terus ke rumah walau dia sedar Mael masih belum berpuas bermain dengannya di sekolah selesai kelas kafa tadi.

"Sorry Mael. Aku nak balik rumah terus hari ini. Kita jumpa semula esok la ye. Esok pagi pukul 7 pagi aku sampai rumah hang," tutur Man perlahan.

"Man. Aku minta maaf tau kalau selama ni aku ada buat salah dekat hang. Bye," balas Mael sambil tersengih. 

Mael memang seorang ceria dan gemar tersenyum. Dia seorang anak petani yang agak susah tetapi tidak pernah sekali pun beliau merungut dengan kekurangan keluarganya. Di saat rakan-rakan ke sekolah dengan basikal lengkap dengan gear, Mael pula selesa menunggang basikal tua hitam milik ayahnya. Rumah Mael tiada telefon dan juga paip air namun syukur ada bekalan elektrik. Isi rumahnya bergantung kepada sebuah telaga yang berada di sisi rumah. 

Peti ais juga tiada dalam rumah itu. Tetapi entah mengapa Man gemar untuk melepak di rumah Mael. Mungkin kerana Mael yang sentiasa menanti dia dengan senyuman.

Tersenyum lega Man saat meneguk air setibanya di rumah. Sayup-sayup mata Man melihat daun kipas siling sebelum dia terlelap di atas katil.

"Abang. Abang. Bangun. Kawan telefon tu,"kejut Mak.

Sambil menenyeh mata dia melangkah ke arah telefon. Man berjalan keluar rumah sebaik dia selesai bercakap dengan Sayuti. Man memandang ke arah basikalnya yang diletakkan di bawah pokok durian muda sambil menghela nafas panjang. Dia sendiri pun tak pasti dengan perasaannya pada waktu itu.

"Abang. Jom ikut abah cepat," ajak Abah sambil menolak motor keluar.

Man hanya akur tetapi melangkah berat ke ke arah motor.

"Man. Mael dah takda. Dia baru je meninggal tadi. Mael dah mati. Aku nak pi rumah Mael ni," tutur Sayuti dalam telefon.

Man cuma terdiam. Dia tak tahu nak balas apa. Gagang telefon cuma dipegang. Betul ke rakan baik dia yang baru berumur 10 tahun dah pergi selamanya. Tapi Man tak boleh menangis. Nak Nak senyum lagi lah tak boleh.

Dalam perjalanan, Man cuma terdiam seribu bahasa. Dia masih lagi terbayang detik terakhir dengan Mael.

"Kalaulah aku...." bisik Man setibanya di rumah Mael. Kali ni pipi dia benar panas dengan air mata yang entah terbit dari mana. Man terpandang basikal tua Mael yang bersandar di tepi teratak. Seakan Mael sedang melambai tersengih. Man kesal kerana dia enggan singgah di rumah Mael pada hari itu kerana dia mementingkan keinginan untuk meneguk air sejuk dari peti ais. Air minuman di rumah Mael rasa agak payau kerana dari telaga dan juga tidak sesejuk ais. Selalunya Man minum sahaja air itu tanpa banyak songeh tetapi entah mengapa hari itu dia lebih memilih itu mementingkan diri.

Kelihatan sekumpulan lelaki tua berkopiah putih menunggu di luar pintu. Man mula menerima hakikat yang Mael sudah meninggal dunia.

Sehingga selesai jasad Mael disemadikan, Man langsung tidak berganjak untuk menatap wajah rakan baiknya buat kali terakhir. Man seolah hilang kekuatan walau hati dia meronta nak melihat Mael.

Setibanya di rumah, Man tak putus menyalahkan diri. Kalaulah dia setuju untuk singgah di rumah Mael. Mungkin Mael masih ada lagi untuk bersama-sama ke sekolah. Dan mungkin Mael takkan mati kerana terjerut tali yang diikat di tetulang atap rumah. Leher Mael terjerut semasa beliau cuba bermain tali itu sambil disaksikan oleh adik kecilnya.

Man langsung tidak melihat jenazah Mael apatah lagi tali yang menjerut leher kecil rakannya. Namun, senyuman terakhir dan pergelutan Mael di saat akhir seolah-olah hidup dalam ingatan Man.

Kini, Mael sudah pergi selama hampir 20 tahun. Susuk dan suara Mael masih lagi jelas dalam ingatan lagi-lagi apabila Man melalui selekoh berhampiran rumah Mael.

"Maafkan aku Mael. Tunggu aku di sana," bisik hati Man.



No comments: