Pages

Saturday, December 15, 2018

Kemajuan

"Senarai penerima anugerah cemerlang tahun 1995 ialah .................................,"ucap Cikgu Letchumy sambil tersenyum.

"Cikgu. Saya dapat hadiah juga ke? Keputusan saya teruk," soal Ahmad kepada Cikgu Letchumy.

"Siapa kata teruk? Ahmad budak rajin dan pandai. Cikgu pilih Ahmad untuk dapat anugerah kemajuan tau. Sekarang Ahmad ambil kertas ini dan pergi dengan kawan-kawan lain ke bangunan kantin," balas Cikgu Letchumy sambil menghulur sekeping kertas.

Kertas yang diberi itu sebenarnya berupa baucar buku untuk ditebus oleh penerima anugerah cemerlang. Ahmad tersenyum kerana dia boleh naik pentas semasa berumur darjah satu. Sebaik tiba di kantin, Ahmad diminta untuk mencari buku bersamaan atau lebih kurang dari nilai baucar yang diterimanya. Baucar yang diterima Ahmad bernilai RM 5. Sambil itu sempat Ahmad mengerling ke baucar rakannya yang mendapat tempat pertama dalam kelas. Jumlahnya lebih besar dari amaun yang diterima darinya tetapi dia tetap tersenyum kerana hadiah hari ini pun seperti tidak dijangka jika dibandingkan dengan keputusannya. 

Hadiah kemajuan merupakah anugerah yang dipilih oleh guru kelas kepada anak murid yang tidak mendapat tempat pertama hingga ketiga namun menunjukkan peningkatan yang baik dalam tahun itu. Ahmad memang agak lembap semasa awal persekolahan walaupun dia telah mengikuti kelas tadika pada tahun sebelum itu. 

4 + 4 = 14
5 + 5 = 15

Bagi Ahmad, itulah jawapan bagi soalan diatas. Puas cikgu tadika cuba jelaskan 4 + 4 = 8 namun Ahmad masih yakin nombor yang sama apabila ditambah dengan nombor yang sama akan menjadi 10 + nombor berkenaan.

X + X = 10 + X . Ini pegangan Ahmad. 

Setelah masuk darjah satu baru lah Ahmad reti mengira dan membaca tetapi dia ketinggalan berbanding rakan-rakan lain. Mujur Cikgu Letchumy banyak bersabar dengan kebodohan Ahmad.

"Adik. Buku yang adik pilih ni RM 6. Harga dia lebih daripada baucar jadi adik kena tambah RM 1 lagi,"kata abang yang menjaga buku kepada Ahmad.

Ahmad menyeluk saku buat-buat mencari duit tetapi sebenarnya dia tahu tiada wang sebanyak itu dalam poketnya. Mustahil untuk dia ada duit sebanyak itu sedangkan wang saku harian dia cuma RM 0.20 setiap hari. 

"Maaf bang. Duit saya tak cukup. Saya cari buku lain," balas Ahmad sambil memegang buku bertajuk Sang Kancil dan Buaya.

Ahmad berpatah semula tempat longgokan buku untuk menukar buku yang harga kurang daripada RM 5. Namun buku yang lebih murah ternyata cuma buku kecil yang berwarna hitam putih. Berbeza sekali dengan buku Sang Kancil yang sedang dipegang oleh Ahmad.

Buku Sang Kancil yang dipilih Ahmad saiznya agaknya A4, gambar berwarna dan kertasnya licin. Berat hati Ahmad untuk melepaskan buku tersebut kerana ini adalah detik pertama Ahmad membeli buku. Dia tak pernah ada buku cerita sendiri kerana dia sedar ibunya tidak mampu. 

Walaupun Ahmad agak bodoh berbanding rakan seusianya tetapi dia juga ada keinginan untuk membeli sebuah buku tetapi semua itu dipendam kerana tidak sampai hati meminta dari ibunya. Dan kali ini pun dia terpaksa mengambil buku lain kerana sebenarnya Ahmad tidak mampu.

"Takpelah. Aku amik je lah buku kecil ini," bisik hati Ahmad sambil meletakkan semula buku Sang Kancil dengan mata yang agak berkaca.

"Adik suka buku ni ke?"soal abang cashier tadi yang kini tiba-tiba berdiri di belakang Ahmad.

Ahmad hanya mengangguk sambil melihat lantai simen kantin. "Takpe bang. Saya nak tukar dengan buku lain. Tadi silap pilih tak perasan harga," jawab Ahmad sambil tersengih cuba menutup kesedihan.

"Adik ambil ye buku ini. Baki RM 1 tu abang tolong bayarkan. Abang hadiahkan kat adik. Belajar rajin-rajin so tahun depan boleh beli lagi banyak buku," kata abang itu sambil memegang bahu Ahmad.

"Terima kasih abang," jawab Ahmad dan terus menyerahkan buku dan baucar kepada abang itu. Ahmad terus berlalu pergi dan pulang kelas. Mungkin sepatutnya dia peluk abang itu kerana telah memberi hadiah bermakna namun Ahmad terlalu gembira sehingga terlupa.

Ahmad tak sabar menunggu hari anugerah cemerlang untuk menerima buku tersebut di atas pentas. Itulah kisah buku pertama seorang budak bodoh bernama Ahmad.

Terima kasih Cikgu Letchumy kerana memilih Ahmad.
Terima kasih abang cashier yang bermurah hati belanja RM 1. Besar nilai RM 1 pada tahun 1995.

Sang Kancil dan Buaya. 

No comments: