- Insya Allah saya akan bertolak ke bandar Toronto pada malam esok.
- Pengangkutan udara merupakan cara terbaik untuk bergerak dari Edmonton ke Toronto kerana saiz negara Kanada yang besar. Masa penerbangan antara Edmonton ke Toronto adalah selama lebih kurang 6 jam.
- Saya masih teringat akan pengalaman sewaktu mula-mula menggunakan kapal terbang. Perasaan takut akan kematian setelah memikirkan nahas yang mungkin berlaku seperti tidak boleh dielakkan.
- Seolah-olah sudah menempah tiket antara hidup dan kematian, ternyata ia banyak mendekatkan saya dengan Allah. (* bila rasa nak mati baru teringat amal ibadat yang sikit*)
- Perkataan maaf juga diungkapkan dari bibir agar kesilapan terhadap insan-insan lain dilangsaikan sebelum bertemu Maha Pencipta.
- Semasa berada dalam kapal terbang, saya hanya berdiam diri dan cuba berzikir kerana perasaan takut yang menyelubungi diri pada ketika ini.
- Saya akan tersenyum lega dan memanjatkan kesyukuran sebaik sahaja Kapten memberitahu tentang pendaratan kapal terbang.
- Saya sudah banyak kali menggunakan kapal terbang untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi yang lain.
- Perasaan takut saya juga tidak seperti dahulu. Malah saya amat gembira melihat kapal terbang memecut laju atas landasan bagi pelepasan.
- Situasi ini agak menggembirakan saya namun hari ini baru saya sedar yang saya tidak lagi mengingati kematian seperti satu masa dahulu. Sedangkan setiap insan mesti beribadah seolah-olah tiada lagi hari esok untuknya.
- Jika dahulu saya akan berdiam diri dan mengisi masa dengan berzikir ketika penerbangan. Namun sekarang, saya berseronok dengan menonton filem dan hiburan yang disediakan dalam kabin.
- Tidak salah sebenarnya untuk merehatkan diri dengan menonton hiburan sedemikian namun saya agak kesal dengan perubahan diri saya. Seolah-olah mati itu tidak pasti lagi setelah rasa takut akan penerbangan mulai pudar.
- Sepatutnya saya sedar yang Malaikat Maut boleh mengambil nyawa saya pada bila-bila masa termasuk pada saat saya sedang menulis ini.
- Amalan yang dilakukan secara giat dan aktif ketika pada saat dahulu tidak lagi diamalkan pada hari ini.
- Saya semakin kurang mengingatiNYA :'(
p/s: Bekerja/belajar seolah-olah kamu akan hidup selama 1000 tahun. Beribadah seperti tiada lagi hari esok untuk kamu.
p/s/s: Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
p/s/s/s: Janganlah kita bertangguh untuk bertaubat kerana tiada siapa yang tahu ajalnya.
No comments:
Post a Comment